Khamis, 18 Jun 2009

Tindakan guru paksa murid lakukan seks oral memalukan

KUALA LUMPUR: Tindakan guru berumur 24 tahun yang memaksa seorang murid Tahun Empat sebuah sekolah di Sebauh dalam Bahagian Bintulu, Sarawak melakukan seks oral adalah perbuatan memalukan dan memberi gambaran negatif terhadap kerjaya perguruan.

Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom, berkata tindakan tegas, termasuk membuang guru terbabit akan dilakukan kerana kejadian memalukan seperti itu tidak sepatutnya berlaku.

"Memandangkan kes ini sudah dilaporkan kepada polis dan siasatan sedang dijalankan, jadi kita tunggu hasil siasatan terlebih dulu," katanya ketika dihubungi di sini semalam.


Beliau mengulas laporan akhbar semalam mengenai tindakan seorang guru berasal dari Kuala Lumpur memaksa seorang murid Tahun Empat melakukan seks oral terhadapnya.

Selain itu, guru terbabit yang mengajar subjek Pendidikan Moral, Kajian Tempatan, Pendidikan Jasmani dan Pendidikan Kesihatan di sekolah itu sejak setahun lalu turut memaksa tiga lagi murid perempuan Tahun Dua dan Empat berbogel dan merakamkan gambar mereka.

Sementara itu, Presiden Majlis Pemuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Prof Madya Datuk Dr Mohamad Ali Hassan, ketika dihubungi menyifatkan perbuatan itu amat menjijikkan dan tidak boleh dipandang remeh kerana membabitkan imej kerjaya perguruan.

Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Hashim Adnan, pula berkata beliau amat sedih dan kecewa kerana ada guru yang mempunyai perangai yang amat memalukan itu.

Sementara itu di KUCHING, seorang guru lelaki berusia 24 tahun direman tujuh hari bermula semalam bagi membantu siasatan kes seorang murid Tahun Empat sebuah sekolah rendah di Sebauh dalam Bahagian Bintulu yang dipaksa melakukan seks oral antara 12 hingga 20 Mei lalu.

Timbalan Ketua Polis Daerah Bintulu, Deputi Superintendan Poniman Morgiman, berkata suspek ditahan di rumahnya malam kelmarin sebelum dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bintulu bagi siasatan awal.

"Perintah reman tujuh hari ke atas lelaki berkenaan diperolehi di Mahkamah Sesyen semalam bagi membolehkan siasatan lanjut ke atas suspek dilakukan secepat mungkin sebelum dia didakwa," katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Berita Harian Online: 18 Jun 2009

Tiada ulasan: