Khamis, 18 Jun 2009

Ramai setuju wajib lulus BI

KUALA LUMPUR 17 Jun - Cadangan untuk mewajibkan pelajar lulus mata pelajaran bahasa Inggeris dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mendapat maklum balas positif daripada pelbagai pihak di negara ini.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kira-kira 80 peratus daripada orang ramai yang mengemukakan pendapat bersetuju supaya calon-calon peperiksaan SPM wajib lulus Bahasa Inggeris.

Katanya, persetujuan mereka bagaimanapun disertakan dengan syarat dan sedang dikaji oleh Kementerian Pelajaran untuk dijadikan garis panduan sebelum meluluskan cadangan itu dalam tempoh terdekat ini.

''Cadangan mewajibkan mata pelajaran Bahasa Inggeris kepada calon SPM belum lagi kita luluskan kerana masih mengumpul maklum balas walaupun hampir 80 peratus bersetuju dengan cadangan dan pandangan yang saya suarakan itu.

''Kita akan buat kajian lebih terperinci kerana walaupun umum orang bersetuju dengan cadangan itu, tetapi kita perlu memperkukuhkan tenaga pengajar bahasa Inggeris dan melihat situasi pelajar-pelajar sekolah luar bandar terlebih dahulu," katanya pada sidang akhbar di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini hari ini.

Beliau yang juga Menteri Pelajaran mengulas mengenai perkembangan lanjut tentang cadangan yang dikemukakannya baru-baru ini supaya calon-calon diwajibkan lulus mata pelajaran Bahasa Inggeris dalam SPM.

Utusan Malaysia Online: 18 Jun 2009

Tiada ulasan: