Selasa, 30 Jun 2009

Guru harus jadi ejen perubahan

JOHOR BAHRU 29 Jun - Golongan guru menjadi ejen perubahan selaras dengan keperluan sistem pendidikan negara dalam usaha melahirkan modal insan berkualiti pada masa akan datang.

Sehubungan itu Pengarah Pelajaran negeri, Sufaat Tumin berkata, guru dituntut berfikiran kreatif dan kritis dalam mempelbagaikan kaedah pembelajaran selaras dengan keperluan semasa.

Beliau berkata, ia mampu memberikan impak yang besar dalam memastikan kualiti perkhidmatan pendidikan sentiasa memenuhi kehendak pelanggan iaitu ibu bapa kepada para pelajar.

"Sekolah merupakan ejen melahirkan modal insan dan ia harus bergerak selari dengan keadaan semasa bagi memastikan setiap pelajar mendapatkan pendidikan pada tahap terbaik.

"Profesion perguruan pada abad ke-21 berhadapan dengan pelbagai cabaran termasuk pelbagai perubahan dari pelbagai aspek dan ia memerlukan kreativiti para guru untuk menanganinya," katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya ketika merasmikan Sudut Sumber Pendidikan Pencegahan Dadah Contoh Negeri Johor di Sekolah Kebangsaan Taman Universiti 1, Skudai, dekat sini kelmarin.

Sufaat berkata, dalam usaha melahirkan modal insan kelas pertama, para pendidik harus memainkan peranan memastikan generasi muda menjauhi gejala penagihan dadah kerana ia mampu memusnahkan masa depan mereka.

Beliau berkata, proses pembudayaan sekolah selamat perlu diwujudkan di setiap sekolah secara berterusan dengan sokongan daripada semua pihak.

Katanya, ia bagi memastikan generasi hari ini dapat meneruskan pembelajaran secara kondusif di samping mengelakkan diri daripada terlibat dengan kancah penagihan dadah.

"Usaha ini amat penting kerana sekolah berperanan penting dalam menjana pembangunan minda generasi muda dan pada masa sama menyediakan prasarana yang selamat untuk menjamin kualiti pendidikan.

"Oleh itu, semua pihak harus memainkan peranan masing-masing dan jangan biarkan masalah dadah merosakkan masa depan generasi hari ini dan menggugat kesejahteraan negara," katanya.

Utusan Malaysia Online: 30 Jun 2009

Tiada ulasan: