KUALA LUMPUR 12 Jun - Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN) berpendapat subjek Bahasa Inggeris (BI) dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tidak sesuai diwajibkan kepada calon-calon dalam masa terdekat ini.
Ini kerana negara sedang berdepan dengan masalah nisbah guru bahasa itu yang rendah berbanding jumlah pelajar.
Presiden PIBGN, Prof. Madya Datuk Mohamad Ali Hasan yang menyokong cadangan kerajaan itu berkata, pelaksanaan dasar baru pendidikan negara itu hanya boleh dilakukan seawal-awalnya mulai 2012.
"Kita sedang berdepan dengan masalah kekurangan guru Bahasa Inggeris yang ketara dan jika diwajibkan sekarang, sudah pasti kesan negatifnya akan dirasai oleh pelajar.
"Kementerian Pelajaran menyedari hal ini. Kekurangan ini belum lagi membabitkan guru-guru Bahasa Inggeris yang dikategorikan sebagai pakar, mahir dan separuh mahir," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin kelmarin yang mencadangkan supaya calon-calon diwajibkan lulus mata pelajaran Bahasa Inggeris dalam SPM.
Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran ketika mengutarakan cadangan itu berkata, pendekatan yang tidak mewajibkan calon SPM lulus BI sebelum ini menyebabkan tahap penguasaan bahasa antarabangsa itu sangat lemah terutama bagi pelajar di kawasan luar bandar.
Menurut Mohamad Ali, kerajaan perlu mengambil pendekatan proaktif mulai sekarang agar pada 2012 nanti jumlah guru Bahasa Inggeris yang terlatih mencukupi.
Katanya, kekurangan guru yang mampu mengajar mata pelajaran itu dengan baik sangat ketara apabila setiap seorang guru BI perlu mengajar sehingga 12 kelas berlainan.
Sedangkan, jelasnya, nisbah yang optimum ialah seorang guru hanya mengajar lima kelas agar fokus dan kaedah pengajaran serta pembelajaran dapat dilaksanakan dengan baik.
Utusan Malaysia Online: 13 Jun 2009
Tiada ulasan:
Catat Ulasan