Jumaat, 12 Jun 2009

BI wajib SPM: Sediakah kerajaan?

TAN Sri Muhyiddin Yassin mengajak rakyat berbincang sama ada Bahasa Inggeris (BI) wajib lulus sebagai syarat lulus SPM. Ini kali pertama kita dengar kerajaan secara tulus bertanya kepada rakyat sebelum membentuk satu dasar perdana yang melibatkan rakyat.

Petanda baik bagi kita apabila kerajaan mula memikirkan apakah langkah yang setara dengan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) itu jika dimansuhkan, ia menjamin penguasaan BI generasi masa hadapan.

Kepentingan BI tidaklah sama timbangannya dengan Bahasa Malaysia (BM). BM adalah struktur tunjang pembinaan sebuah negara bangsa yang berdaulat. Malah bangsa Melayu itu sendiri akan hilang punca jika salah satu ciri-ciri Melayu iaitu bahasa Melayu, agama Islam dan amalan budaya Melayu itu hilang. Jika salah satu komponen itu hilang kita akan kata seseorang itu 'Melayu ragu.'

Dalam hasrat meletakkan BI sebagai wajib lulus untuk lulus SPM, adakah kerajaan benar-benar bersedia untuk pelaksanaannya? Bersedia dalam konteks perancangan strategik yang melibatkan sumber kewangan, tenaga pengajar, kemudahan peralatan, modul yang berkesan serta menyediakan persekitaran yang sesuai untuk pembelajaran.

Kedua, adakah rakyat terbanyak khususnya di luar bandar bersedia menerima cabaran ini?

Jawapannya mungkin 'ya' mungkin 'tidak'. Jika begitu keadaannya, kerajaan dan rakyat berada dalam keadaan was-was.

Sesuatu dasar yang diputuskan dalam keadaan ragu-ragu dan bercelaru akan timbul masalah besar kemudian hari.

Dalam merancang dasar strategik, kita hendaklah mengelakkan diri daripada memasang perangkap kepada anak bangsa. Kita wajar mampu melihat jauh ke hadapan akan halangan-halangan yang memerangkap anak bangsa kita.

Kita amat sedar dengan kemampuan kerajaan yang terbatas, apa akan jadi kepada sebilangan besar pelajar yang gagal SPM nanti kerana gagal menguasai bahasa penjajah itu?

BI menjadi penghalang besar anak bangsa kita tidak layak masuk institusi pengajian tinggi (IPT). Tidakkah kita menepuk kepala suatu hari nanti apabila IPT dipenuhi oleh orang lain sedangkan bangsa kita terkial-kial - terperangkap dalam jebak BI yang kita cipta sendiri?

Pada waktu itu kita sibuk mencari formula baru sedangkan satu atau dua generasi menjadi mangsa.

Satu Malaysia sedar BI adalah subjek maha penting untuk dipadankan dengan landskap dunia hari ini. Agenda bangsa tidak sehala dan dapat diselesaikan dengan satu jalan.

Dengan itu dicadangkan BI adalah mata pelajaran wajib untuk SRP dan SPM. Bagaimanapun ia bukan syarat wajib lulus bagi SPM.

Kedua, BI wajar diterapkan ke dalam jadual waktu pelajar setiap hari bersekolah dengan pelbagai kaedah seperti public speaking, presentation, report writting, debate dan lain-lain di samping modul teras BI.

Kelengkapan alat bantuan mengajar dipertingkatkan. Makmal Bahasa diperkembangkan ke sekolah-sekolah seluruh negara dan dilengkapkan dengan alat pandang dengar (audio visual) dan teknologi terbaru.

Ketiga, kerajaan menyediakan peruntukan masa tidak kurang empat hingga enam jam sebulan kelas tambahan BI di Makmal Bahasa kepada semua pelajar. Sediakan tenaga pengajar khas dan terlatih di Makmal Bahasa.

Jika persediaan sudah sampai ke peringkat ini dan tiada sebuah sekolah yang tertinggal maka kerajaan bolehlah menimbangkan syarat wajib lulus BI bagi SPM.

Tidak ada sebab rakyat menolak sebarang dasar jika rakyat mampu dan tidak menjadi beban fikiran dan halangan untuk kejayaan. Sama-samalah kita merenung ke dalam diri, apakah kekuatan dan kelemahan kita dalam menghadapi cabaran mendatang.

Semoga jerat yang kita pasang tidak menjerat kaki kita sendiri. Tidak perlu mengejar bayang.

AZIZAN YAAKOB

Jalan Raja Muda, Kuala Lumpur

Utusan Malaysia Online: 12 Jun 2009

Tiada ulasan: