Saya begitu seronok melihat semua sekolah agama yang telah berdaftar di bawah program Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) diberi perhatian khusus oleh Kementerian Pelajaran Malaysia dari segi pengurusan, keselamatan dan penyelenggaraan.
Kini sekolah-sekolah tersebut sebanyak 154 buah di seluruh negara sudah dapat bergerak seiringan dengan sekolah-sekolah kerajaan yang lain.
Dalam keadaan kebanyakan sekolah agama semakin terhimpit dengan pelbagai masalah berkaitan dengan pengurusan sekolah, proses pengajaran dan pembelajaran, pengurusan sumber manusia serta prasarana dan kemudahan fizikal, SABK (dengan izin Allah ) menjadi penawar kepada segala permasalahan yang timbul.
Guru-guru dan kaki tangan di sekolah SABK diberi gaji yang bersesuaian dengan kelayakan, peluang kenaikan pangkat, berpeluang menikmati segala kemudahan sebagai penjawat awam serta peluang berkursus di dalam dan luar negara.
Murid-murid pula berpeluang mendapat biasiswa, bantuan makanan dan buku teks. Mereka juga berpeluang bersaing dengan murid-murid di sekolah aliran perdana dalam semua aktiviti Kementerian Pelajaran Malaysia sehingga berpeluang mewakili negara di peringkat antarabangsa.
Itu cerita mereka yang telah berpeluang berada dalam program SABK. Malangnya bagi lima buah Sekolah Agama Rakyat (SAR) di negeri Kedah, yang telah bersetuju berdaftar di bawah program SABK sejak tahun 2007, bagaikan menanti buah masak ranum tetapi masih belum mahu gugur.
Kini proses pendaftaran SABK sekolah-sekolah tersebut sudah selesai. Cuma menanti untuk menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) di antara pihak Majlis Agama Islam Negeri Kedah dengan pihak Kementerian Pelajaran Malaysia. Hari berganti hari, bulan berganti bulan, namun kelibat SABK belum juga nampak. Sampai bilakah kami harus menunggu?
Adakah sehingga lima buah sekolah ini - yang sudah tenat - dibiarkan rebah ke bumi dan guru serta muridnya membawa diri ke sekolah lain? Pihak ibu bapa yang kebanyakannya daripada golongan berpendapatan rendah sering mengeluh kerana terpaksa membayar yuran bulanan sekolah dan yuran makanan setiap bulan.
Guru-guru pula masih menerima gaji bulanan sekitar RM400 sehingga RM500. Bagaimanakah guru-guru yang masih menerima gaji sebanyak itu sebulan, dengan suasana ekonomi yang gawat, diminta memberi komitmen sepenuhnya dalam menjalankan tugas mereka, sedangkan di seberang sana rakan-rakan guru dan sekolah arus perdana menerima imbuhan yang berlipat kali ganda?
Kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran yang baru, tolonglah kami yang di dalam kesusahan ini.
GURU KECEWA
Alor Setar, Kedah
Utusan Malaysia Online: 3 Jun 2009
Tiada ulasan:
Catat Ulasan