Rabu, 10 Jun 2009

Lihat sudut luas BI demi modal insan

LAGI isu mengenai pengajaran Bahasa Inggeris di sekolah. Belum selesai dengan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI), kini timbul pula ura-ura untuk mewajibkan calon lulus mata pelajaran itu di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Jika dilihat pada sejarah, Bahasa Inggeris sentiasa menjadi sebahagian daripada sukatan pelajaran di sekolah-sekolah sama ada di peringkat rendah mahupun menengah.

Sejak negara mencapai kemerdekaan, kepentingan bahasa Inggeris dalam pendidikan tidak pernah diketepikan.

Cuma yang berbeza ialah polisi dan kaedah pengajarannya. Satu ketika setiap pelajar wajib lulus mata pelajaran ini sama ada di peringkat Penilaian Menengah Rendah (PMR) - dulu dikenali sebagai Sijil Rendah Pelajaran (SRP) - mahupun SPM.

Kemudian dasar itu diubah. Pelajar hanya wajib ambil tetapi tidak wajib lulus. Selepas itu ditukar lagi apabila bahasa Inggeris diajar hanya untuk tujuan komunikasi selain PPSMI.

Ketidaktentuan dalam pelaksanaan dasar pengajaran dan pembelajaran bahasa Inggeris di sekolah ini sememangnya memeningkan kepada pelajar dan ibu bapa.

Malah ia turut melahirkan generasi yang berbeza-beza daripada segi penguasaan bahasa Inggerisnya.

Oleh itu cadangan, ura-ura atau lontaran idea untuk mewajibkan pelajar lulus Bahasa Inggeris dalam SPM kena dilihat dari sudut yang luas.

Para pembuat dasar di Kementerian Pelajaran perlu melihat perkara ini secara menyeluruh dan kepentingannya kepada pembangunan modal insan negara.

Pada masa sama, pandangan semua pihak terutama ibu bapa, pemimpin masyarakat dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) kena juga diteliti supaya dasar yang bakal dilaksanakan itu memenuhi aspirasi semuanya.

Seperti kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, pandangan masyarakat perlu diambil kira supaya tidak ada yang menjadi mangsa.

Jangan hanya kerana permintaan daripada segelintir rakyat maka keperluan majoriti dipinggirkan begitu sahaja.

Setiap cadangan itu tentulah memerlukan penelitian dan kajian terperinci.

Tidak dinafikan, apabila kita mempelajari sesuatu ia perlu ada matlamat. Sama ada matlamat untuk lulus peperiksaan atau untuk keperluan sendiri apabila bersaing di pasaran pekerjaan.

Tetapi jika dilihat kepada sistem pendidikan kita yang berteraskan peperiksaan, pelajar tidak akan memberi tumpuan kepada mata pelajaran yang tidak wajib lulus.

Sebab itu pembelajaran Bahasa Inggeris bagi tujuan komunikasi terutama bagi pelajar-pelajar di luar bandar hanya dilakukan sambil lewa.

Oleh sebab tidak nampak keperluan untuk berkomunikasi menggunakan bahasa itu maka mereka mengabaikannya. Mereka hanya memberi tumpuan kepada mata pelajaran yang perlu lulus dalam peperiksaan untuk melayakkan mereka memperoleh sijil SPM.

Lagi pula, bagi pelajar luar bandar mereka tidak memerlukan bahasa Inggeris dalam kehidupan harian.

Ia diburukkan dengan tenaga pengajar ala bidan terjun yang tidak mempunyai asas mahupun kemahiran mengajar Bahasa Inggeris.

Sebab itu ramai bimbang, jika bahasa Inggeris mula diwajibkan lulus dalam SPM maka pelajar luar bandar yang akan menjadi mangsa.

Utusan Malaysia Online: 10 Jun 2009

Tiada ulasan: