Isnin, 1 Jun 2009

Perbincangan terakhir had subjek


Alimuddin Mohd. Dom beramah-mesra dengan penerima anugerah kecemerlangan Institut Pendidikan Guru Malaysia pada majlis Konvokesyen Kampus Zon Timur di Kota Bharu semalam.


KOTA BHARU 31 Mei - Kementerian Pelajaran dan Lembaga Peperiksaan akan mengadakan perbincangan terakhir pada minggu hadapan berhubung langkah mengehadkan calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mengambil 10 mata pelajaran sahaja.

Perbincangan bagi penyelarasan itu termasuklah dalam menentukan susunan mata pelajaran bagi calon SPM mulai tahun hadapan dan diikuti dengan mesyuarat profesional sebelum laporan itu diserahkan kepada menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk diteliti dan dibawa kepada Kabinet.

Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Alimuddin Mohd. Dom berkata, walaupun kerajaan telah membuat ketetapan namun pihak kementerian masih membuka peluang pelbagai pihak mengemukakan pandangan.

''Dengan tumpuan terhadap 10 mata pelajaran membolehkan pelajar mengikuti pelajaran lebih baik sekali gus memberinya peluang melibatkan diri dalam aktiviti kokurikulum dan lain," ujarnya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Konvokesyen (sidang 1) Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) kampus Zon Timur 2009 di sini hari ini.

Di majlis tersebut seramai 1,165 guru menerima diploma perguruan termasuk kumpulan graduan yang mengambil Kursus Perguruan Lepasan Ijazah (KLPI) di Kampus Kota Bharu, Kampus Dato' Razali Ismail, Kuala Terengganu dan Kampus Sultan Mizan, Besut.

Alimuddin menambah, larangan pelajar mengambil lebih 10 mata pelajaran itu dibuat untuk menyedarkan ibu bapa dan pelajar bahawa tujuan pendidikan tidak hanya bermatlamatkan peperiksaan semata-mata.

''Apabila mengambil jumlah mata pelajaran yang banyak ia seolah-olah peperiksaan sahaja yang penting sedangkan pendidikan juga bertujuan melahirkan modal insan yang mempunyai kemahiran dalam bidang tertentu di samping memiliki nilai-nilai hidup terpuji.

''Peperiksaan adalah penilaian kepada pencapaian seseorang pelajar dan tidak sepatutnya jumlah mata pelajaran yang banyak dikejar kerana dengan 10 mata pelajaran sahaja, seseorang itu sudah boleh melayakkan diri memasuki institusi pengajian tinggi," ujarnya.

Katanya, jumlah mata pelajaran yang diambil juga bukan kayu pengukur kepada pelajar cemerlang memperoleh biasiswa kerajaan kerana penglibatannya di dalam kokurikulum, persatuan dan sukan juga akan diambil kira.

''Malah terdapat beberapa lagi temu duga terhadap pelajar cemerlang dalam akademik untuk memperoleh biasiswa termasuk kemahiran serta komunikasi," ujarnya.

Sementara itu beliau menafikan dakwaan kini terdapat lambakan guru lepasan KPLI yang dihantar ke kawasan pedalaman dan gagal mempraktikkan pilihan utama subjek yang sepatutnya diajar.

''Setiap guru sedar kepada keperluan semasa dan telah bersedia dihantar mengajar di mana sahaja termasuk di pedalaman. Bagaimana pun kementerian masih menimbang menghantar guru wanita ke kawasan yang kekurangan kemudahan asas atau telah bersuami berbanding guru lelaki yang dianggap lebih sesuai.

''Bagi tugasan pula, setiap guru akan mengajar pilihan subjek utama semasa kursus supaya kemahiran melebihi keupayaan pelajar namun dalam kes-kes tertentu mereka diminta menyelia subjek yang berbeza terutama di sekolah yang mempunyai jumlah pelajar yang sedikit," ujarnya.

Bagaimana pun katanya, pihaknya masih tidak berkompromi dengan subjek-subjek utama seperti bahasa Inggeris dan pengetahuan agama Islam kerana ia memerlukan penguasaan yang lebih.

Utusan Malaysia Online: 1 Jun 2009

Tiada ulasan: