Rabu, 10 Jun 2009

Selesaikan dulu isu berkaitan PPSMI

APABILA orang ramai dipelawa mengemukakan pandangan masing-masing kepada Kementerian Pelajaran mengenai isu mewajibkan calon lulus mata pelajaran Bahasa Inggeris (BI) sebagai syarat lulus peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), beberapa soalan perlu diketengahkan.

Pertama, apabila Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, satu lagi perkara yang memerlukan pandangan orang ramai ialah pembelajaran Bahasa Inggeris di sekolah pada masa ini yang tidak melibatkan pengajaran tatabahasa tetapi hanya untuk berkomunikasi, adakah ini tepat.

Kami berpandangan bahawa pengajaran BI di sekolah setakat ini amat meliputi soal tatabahasa dan komunikasi. Jika diperhatikan kedua-dua kertas BI dalam SPM, aspek-aspek yang berkaitan itu diajar. Akan tetapi yang menjadi masalah ialah ruang latihan dan penggunaannya secara praktikal.

Kedua, adakah benar pendapat yang mengatakan 'Mempelajari Bahasa Inggeris tetapi tidak mewajibkan pelajar untuk lulus subjek berkenaan dalam SPM menjadikan standard Bahasa Inggeris merosot'.

Kami berpendapat bahawa standard BI merosot bukan sebab tersebut malah adalah kerana metodologi pengajaran yang tidak berkesan. Sementara kita dapati semakin banyak bimbingan kelas BI, pihak kementerian harus menyemak semula bagaimana kaedah pengajaran dan pembelajaran BI dapat dipertingkatkan.

Ketiga, adakah pendekatan meningkat kualiti BI cukup berkesan di peringkat sekolah. Ini berkait dengan kemahiran guru mengguna pendekatan yang kreatif bagi menambat minat di kalangan pelajar terhadap kepentingan BI dalam menambahkan peluang memperluaskan ilmu.

Keempat, persoalan 'Adakah ketiadaan syarat yang mewajibkan lulus Bahasa Inggeris untuk lulus SPM menjadikan pelajar kurang minat menguasai Bahasa Inggeris' harus diiringi dengan soalan bagaimana para guru mahir melaksanakan pengajaran dengan cara yang sangat menyeronokkan?

Menjadikan BI wajib lulus bukan berkait dengan soal minat tetapi menjadikan pembelajaran BI sebagai suatu yang sangat membebankan. Kami berpendapat, minat timbul daripada pelbagai faktor (teknik pengajaran, kreativiti guru, peralatan pengajaran, aktiviti ko-kurikulum yang menarik) bukan dengan menjadikan ia subjek wajib lulus.

Kelima, adakah kualiti pengajaran dan pembelajaran BI di sekolah-sekolah luar bandar sama taraf dengan sekolah bandar? Harus diingat kita masih mempunyai komposisi pelajar sekolah luar bandar yang besar terutama di Sabah dan Sarawak.

Apakah mereka mungkin menjadi mangsa jika Bahasa Inggeris dijadikan subjek wajib lulus dalam SPM, Soalan ini amat relevan lantaran isu PPSMI yang menjadi kegusaran sebahagian besar masyarakat apabila pelajar-pelajar luar bandar akan berada dalam keadaan tidak setara dengan pelajar bandar.

Jika pada tahap sekolah kebangsaan, pelajar luar bandar sudah pun menghadapi masalah apatah lagi di peringkat SPM.

Daripada persoalan-persoalan tersebut, kami berpendapat isu yang masih belum selesai berkaitan dengan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) perlu terlebih dahulu dirungkai sebelum kita sekali lagi dibawa berdebat dengan isu baru.

MOHD. AZMI ABDUL HAMID
Presiden TERAS

Utusan Malaysia Online: 10 Jun 2009

Tiada ulasan: