Beliau mengemukakan permohonan bertukar sejak 2007 hingga kini tapi masih tidak diluluskan Jabatan Pendidikan Teknik (JPTek). Seperti kebiasaan, setiap permohonan pertukaran memerlukan alasan yang munasabah berserta dokumen tertentu termasuk surat keizinan suami? Alasan permohonan pertama adalah kerana mengikut suami dan mempunyai kediaman di daerah yang dimohon. Permohonan pertama kami gagal atas sebab kekurangan bekalan atau tenaga pengajar. Saya bersabar biar pun sebab yang diberikan JPTek tidak dapat saya terima.
Pada 2008, isteri saya keguguran kandungan dua kali iaitu pada Mac 2008 dan Ogos 2008. Permohonan tukar kali kedua untuk sesi Jun 2008 gagal begitu juga dengan Januari 2009. JPTek sudah maklum akan masalah ini tetapi masih berkeras dengan keputusan yang tidak memihak kepada kami.
Saya sendiri bertemu salah seorang Pegawai Atasan JPTek di Putrajaya untuk berbincang. Hampir 20 minit saya dan isteri berbincang dengan beliau dalam keadaan berdiri. Beliau maklum bahawa kami dari Johor Bahru. Melihat keadaan isteri saya yang lemah, saya minta isteri saya duduk kerana masih belum pulih sepenuhnya selepas mengalami keguguran. Pada beliau, keguguran adalah perkara biasa.
Pertemuan kedua dengan pegawai atasan yang sama pula hanya di dalam lif setelah saya menunggu beliau hampir sejam setengah tapi hanya sempat berbincang lebih kurang lima minit dan kemudian beliau bersahaja berlalu pergi.
Isteri saya amat tertekan dan kini hamil 7 bulan tinggal berseorangan dan berjauhan dengan suami.
Saya memohon pihak berkaitan terutama Kementerian Pelajaran dan JPTek bertolak ansur bagi kes tertentu. Kami merasakan seperti kebajikan kami sebagai guru tidak diendahkan biar pun kes keguguran kandungan.
MZN,
Simpang Renggam,
Johor.
Berita Harian Online: 6 Julai 2009
Tiada ulasan:
Catat Ulasan