Isnin, 6 Julai 2009

SK Batu Anam sekolah angkat ke-37 Petronas


SEBAHAGIAN pelajar mengikuti Program Bakti Pendidikan Petronas di Sekolah Kebangsaan Batu Anam, Segamat, kelmarin.


SEGAMAT 5 Julai - Sekolah Kebangsaan Batu Anam (SKBA) dekat sini terpilih sebagai sekolah angkat terbaru Petronas bagi melaksanakan Program Bakti Pendidikan Petronas (PBPP).

Pemilihan tersebut juga menjadikan SKBA sebagai sekolah angkat Petronas yang ke-37 di negara ini untuk pelaksanaan program berkenaan dan pertama di Johor.

Majlis perasmian pengambilan sekolah angkat itu disempurnakan oleh Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Noor Rezan Bapoo Hashim di sekolah tersebut semalam.

Berucap pada majlis itu, Noor Rezan berkata, beliau gembira dengan langkah Petronas yang terus menganjurkan PBPP kerana program tersebut sudah terbukti semakin baik dan berkesan.

''Kajian daripada pakar pendidikan negara iaitu Profesor Dr. Noriah Mohd. Ishak pada tahun 2008 telah membuktikan betapa PBPP menunjukkan peningkatan di kalangan murid yang menyertainya,'' katanya.

Dalam masa yang sama, beliau turut memuji tiga elemen pendekatan program itu yang dilihat menjadi pemangkin akademik dan motivasi murid-murid.

''Pendekatan seperti tuisyen, program sesi bukan akademik dan konsultasi dengan ibu bapa serta penjaga murid-murid dilihat menjadi keistimewaan PBPP.

''Ini satu program yang amat sukar dilaksanakan, meskipun mudah untuk disebut kerana tidak banyak pihak sanggup berkomunikasi dengan pihak ibu bapa atau penjaga,'' ujarnya.

Turut hadir pada majlis perasmian program itu ialah, Timbalan Pengarah Jabatan Pelajaran Johor, Markom Tiram.

Sementara itu, Pengarah Urusan Petronas Gas Berhad, Samsudin Miskon dalam ucapannya berkata, program tersebut adalah salah satu aktiviti pelaburan sosial syarikat dengan tumpuan diberikan pada pembangunan modal insan.

''Tumpuan Petronas adalah untuk meningkatkan pencapaian para pelajar dari kategori harapan lulus, sekolah-sekolah luar bandar serta golongan miskin dan kurang kemampuan.

''Perhatian ditumpukan dalam tiga subjek teras iaitu Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains,'' katanya.

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada Kementerian Pelajaran kerana telah mengiktiraf program itu dan menerima Petronas sebagai sebuah organisasi yang mempunyai bilangan sekolah angkat terbanyak di Malaysia.

PBPP yang dimulakan sejak tahun 2002 kini mempunyai penyertaan seramai lebih 3,000 murid tahun 4, 5 dan 6 di seluruh negara.

Berdasarkan keputusan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) tahun lalu, lebih 50 peratus daripada 1,028 pelajar angkat Petronas telah lulus kesemua subjek berkenaan.

Utusan Malaysia Online: 6 Julai 2009

Tiada ulasan: