|
|
MELAKA 3 Julai - Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SMK St. David sedang mengatur pelbagai program dan perancangan bagi memastikan pembinaan bangunan tambahan sekolah itu yang bernilai RM1.5 juta menjadi kenyataan.
Pengerusinya, Adillah Ahmad Nordin berkata, melalui penganjuran Karnival Makanan dan Bersuka Ria Sabtu lalu, pihaknya berjaya membuat kutipan melebihi sasaran RM20,000 yang ditetapkan sebelum ini.
Menurutnya, sebanyak RM75,000 berjaya diperoleh menerusi karnival sehari itu bagi disalurkan kepada Tabung Pembangunan Sekolah terbabit.
''Selepas ini, kita bercadang untuk menganjurkan makan malam di Seri Negeri bagi menambah dana tabung," katanya di sini hari ini.
Katanya, masalah kekurangan kelas yang dihadapi di sekolah itu semakin ketara pada tahun ini sehingga memaksa pihak pentadbiran sekolah menyediakan dua kelas terapung bagi menampung pertambahan pelajar.
Menurut Adillah, tahun ini, pertambahan pelajar sekolah itu meningkat kepada 200 pelajar.
''Ekoran masalah itu, kita terpaksa mengurangkan pengambilan pelajar terbabit memandangkan sekolah ini sudah tidak mampu menampung keperluan mereka.
''Hakikatnya, banyak permohonan masuk ke sekolah ini terpaksa ditolak namun semakin banyak ditolak, semakin ramai ibu bapa datang memohon menghantar anak-anak mereka belajar di SMK St. David," katanya.
Katanya, pencapaian sekolah itu yang cemerlang dalam akademik dan aktiviti kokurikulum membuatkan SMK St. David menjadi tumpuan ibu bapa untuk menghantar anak masing-masing.
Selain itu, katanya, sekolah tersebut juga menghadapi masalah kekurangan kemudahan kerusi dan meja yang sempurna bagi kegunaan harian pelajar dalam kelas.
''Ada sesetengah kerusi dan meja yang digunakan pelajar khususnya dalam peringkat kelas peralihan telah rosak dan tidak sesuai lagi digunakan.
''Walaupun menghadapi kekurangan kemudahan ini, pelajar tiada pilihan selain terpaksa terus menggunakan peralatan yang telah rosak ini bagi menuntut ilmu di sekolah ini," katanya.
Utusan Malaysia Online: 4 Julai 2009
Tiada ulasan:
Catat Ulasan