Sabtu, 4 Julai 2009

Bina bangunan tambahan


KARNIVAL Riang Ria Sekolah Menengah Kebangsaan St. David di Bukit Baru, Melaka, baru-baru ini mendapat sambutan menggalakkan. - UTUSAN/ABDUL RAZAK LATIF


MELAKA 3 Julai - Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) St. David di Bukit Baru di sini cukup dikenali sebagai antara sekolah paling cemerlang di negeri ini setiap kali keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) diumumkan.

Malah, saban tahun SMK St. David tidak terkecuali berada dalam senarai teratas melihat pelajarnya sering memperoleh keputusan 10A atau 13A pada peperiksaan SPM.

Begitupun, Sabtu lalu, pekarangan sekolah tersebut riuh-rendah bagaikan pesta.

Keriuhan itu disebabkan pelajar-pelajar sekolah tersebut sibuk melayan pengunjung yang hadir sempena Karnival Makanan dan Bersuka Ria anjuran Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah itu.

Sempena karnival tersebut, pelbagai aktiviti menarik telah diatur oleh pelajar sekolah dengan bantuan tenaga pengajar.

Hasil keringat mereka berjaya menyediakan pelbagai aktiviti seperti rumah hantu, gerai-gerai makanan, jualan lelong pakaian dan flying fox.

Sejak pukul 8 pagi lagi, pekarangan sekolah tersebut mula dikunjungi ibu bapa dan orang ramai untuk menyertai karnival yang dianjurkan.

Malah, demi komitmen menjayakan karnival itu ada pelajar sanggup mengorbankan cuti hujung minggu dengan bermalam di rumah guru mereka semata-mata menyiapkan masakan untuk dijual pada karnival itu.

Hakikatnya, kepayahan yang dialami oleh guru dan pelajar SMK St. David mempunyai maksud tersendiri bagi menjayakan karnival yang julung kali diadakan di sekolah itu sejak diwujudkan sekitar tahun 1959.

Karnival itu diadakan untuk mengutip dana sumbangan bagi membina bangunan baru kerana sekolah tersebut tidak mempunyai cukup kelas bagi menampung pelajar sedia ada.

Walaupun SMK St. David mendapat bantuan pendidikan dari segi pengurusan operasi dari kerajaan, namun pihak sekolah menghadapi masalah kekurangan sumber kewangan.

Ekoran masalah itu, setiap tahun pasti ada pelajar yang terpaksa mengangkut kerusi dan meja belajar mereka ke mana-mana kelas yang kosong termasuk di dewan sekolah.

Atas kesedaran itu, 1,415 pelajar termasuk 69 guru SMK St. David begitu komited dan bersungguh-sungguh untuk mengutip dana menampung pembinaan bangunan kelas baru sekolah yang dianggarkan berjumlah RM1.5 juta.

Salah seorang pelajar yang ditemui, Richard Ho, 17, berkata, dia gembira dapat menyumbang tenaga bagi menjayakan karnival itu, sekali gus membantu PIBG sekolah itu mengumpul dana menampung perbelanjaan yang diperlukan.

''Sekolah kami kekurangan kelas dan saya rasa terpanggil untuk bersama-sama membantu mengatasi masalah ini.

''Biarpun sumbangan yang saya berikan ini tidak seberapa namun ia sekurang-kurangnya menjadi bukti keprihatinan kami sebagai pelajar di sini," katanya.

Richard dan hampir keseluruhan rakan kelasnya terlibat membina permainan rumah hantu yang memerlukan mereka mengeluarkan wang perbelanjaan RM100 bagi menyediakan acara tersebut pada penganjuran karnival tersebut.

Menurut Dennis Low, 17, selain dapat berhibur dengan pelbagai aktiviti hiburan yang terdapat pada karnival itu, mereka berpeluang merapatkan hubungan antara pelajar, ibu, bapa dan guru sekolah itu.

Ujarnya, sebagai pelajar di sekolah itu, dia berbangga dengan komitmen dan kesungguhan mereka yang terlibat menjayakan karnival demi mengumpul dana membina bangunan kelas tambahan sekolah itu.

Thong Kuan Kim berkata, dia gembira apabila melihat ramai pengunjung hadir memeriahkan sambutan karnival sehingga lewat petang walaupun ia sepatutnya berakhir lebih awal kira-kira pukul 4 petang.

''Kami tidak berasa letih walaupun memulakan acara seawal 8 pagi dan hanya berhenti kira-kira pukul 6 petang selepas semua pengunjung pulang. Pada saya, semua usaha ini amat berbaloi," katanya.

Utusan Malaysia Online: 4 Julai 2009

Tiada ulasan: