Isnin, 6 Julai 2009

Siasat pengetua berkaraoke di asrama puteri

PASIR PUTEH 5 Julai - Kementerian Pelajaran diminta menyiasat dakwaan seorang pengetua lelaki di salah sebuah sekolah menengah di sini berkaraoke di asrama puteri yang menempatkan pelajar perempuan.

Pengerusi Persatuan Ibu bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tok Janggut, Datuk Mohd. Jelani Jaafar berkata, siasatan perlu dilakukan untuk membuktikan sama ada dakwaan itu berasas atau tidak.

Langkah itu menurutnya, perlu untuk memberi keadilan dan kebaikan kepada pelajar dan pengetua terbabit di samping memberi keyakinan kepada ibu bapa terhadap integriti pengurusan sekolah berkenaan.

"Saya telah menerima banyak aduan yang berkaitan dan difahamkan guru berkenaan juga dikatakan telah menubuhkan kelab karaoke di asrama perempuan.

''Betul atau tidak ia bergantung kepada siasatan berkenaan," katanya di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan media kononnya seorang pelajar tingkatan enam dikenakan tindakan kerana membuat aduan salah laku pengetua itu kepada Penolong Kanan Hal Ehwal Pelajar (HEP) sekolah berkenaan.

Pelajar berumur 19 tahun itu dilaporkan mendakwa pengetua itu hampir setiap malam ke asrama untuk berkaraoke bersama beberapa pelajar perempuan.

Mohd. Jelani berkata, selepas menerima aduan termasuk daripada guru-guru sendiri, beliau telah memanjangkan perkara itu ke Pejabat Pelajaran Daerah Pasir Puteh (PPD), namun sehingga kini tiada sebarang tindakan diambil.

Menurutnya, sekiranya benar seperti yang dilaporkan oleh media, ia amat mendukacitakan ibu bapa selain menjatuhkan imej pengetua lain di jajahan ini.

"Jika didapati ada pihak yang bersalah, mereka perlu diambil tindakan tegas tanpa memilih kasih agar kejadian itu tidak berulang," katanya.

Sementara itu, jurucakap PPD ketika dihubungi menjelaskan, pihaknya tidak memendamkan aduan dan siasatan sedang dijalankan manakala laporan akan dihantar ke Jabatan Pelajaran negeri serta Kementerian Pelajaran.

Utusan Malaysia Online: 6 Julai 2009

Tiada ulasan: