Jumaat, 3 Julai 2009

SK Seri Hartamas anjur Karnival Kokurikulum

Oleh Basir Zahrom
basir@bharian.com.my


ALEX (kanan) menyerahkan replika cek bernilai RM5,000 kepada Iza sambil disaksikan Ahmad Roshdan di SKSH, kelmarin.

DALAM memastikan pelajar mendapat input seimbang, Persatuan Ibu bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan Seri Hartamas (SKSH) akan menganjurkan Karnival Kokurikulum bagi menggalakkan gaya hidup sihat di kalangan warga sekolah itu.

Pengerusi PIBG sekolah berkenaan, Nor Iza Abu Bakar, berkata program sehari esok (Sabtu) memberi peluang pelajar menunjukkan bakat masing-masing dalam kegiatan sukan dan kokurikulum disertai, selain fokus kepada pelajaran.

Katanya, program itu juga bertujuan mengumpul dana bagi membiayai aktiviti dirancang dan menambah baik prasarana sekolah terbabit.

“Kami bersyukur kerana menerima sumbangan berjumlah RM20,000 daripada pelbagai penaja termasuk Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk M Saravanan, Bukit Kiara Properties Sdn Bhd, Sunrise Berhad, Seni Nusantara Sdn Bhd, Pusat membeli belah Hartamas, Zaitun Industries Sdn Bhd, Clark Hatch Fitness Centre, Dawama Sdn Bhd dan KH Land Sdn Bhd.

“Pelbagai aktiviti menarik disusun, antaranya kejohanan catur, pertandingan futsal, bola jaring, sukan rakyat seperti lari dalam guni, congkak dan tarik tali, selain pembabitan stesen radio Hot Fm dan Fly Fm.

“Selain itu, persatuan penduduk di sini juga bersetuju mengadakan perlawanan persahabatan dengan guru sekolah serta mengikuti senamrobik,” katanya selepas Majlis Penyampaian Penajaan Karnival Kokurikulum di SKSH, kelmarin.

Hadir sama, Timbalan Yang Dipertua merangkap Ketua Biro Komunikasi PIBG sekolah berkenaan, Azman Shah Mohd Yusof; Pengurus Kanan Pemasaran dan Jualan Bukit Kiara Properties Sdn Bhd, Alex Chua serta Pengurus Pemasaran KH Land, Jenny Foo.

Sementara itu, Azman Shah, berkata pihaknya menjangkakan seramai 2,000 pengunjung akan hadir pada acara itu kerana aktiviti sampingan seperti permainan Paintball dan rumah berhantu dijangka akan diadakan.

“Konsep ‘Kejiranan Sejahtera’ seperti yang dicadangkan Datuk Bandar Kuala Lumpur akan dapat direalisasikan kerana interaksi pihak persatuan penduduk dan warga sekolah akan mengeratkan ikatan kemasyarakatan.

“Kami bertuah kerana dua orang kenamaan iaitu Pengarah Jabatan Pelajaran Wilayah Persekutuan, Sulaiman Wak dan Presiden Persekutuan Catur Malaysia, Tan Sri Ramli Ngah Talib sudah menyatakan kesudian masing-masing untuk menyempurnakan acara penyampaian hadiah serta menutup karnival itu,” katanya.

Berita Harian Online: 3 Julai 2009

Tiada ulasan: