Jumaat, 3 Julai 2009

Tindakan tatatertib gagal lapor kes H1N1 di sekolah

KUALA LUMPUR 2 Julai - Tindakan tatatertib akan dikenakan kepada pengetua dan guru besar yang didapati cuai tidak melaporkan kes selesema babi (H1N1) di sekolah masing-masing kepada Kementerian Pelajaran.

Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr. Wee Ka Siong menegaskan, pihaknya akan memberikan surat tunjuk sebab kepada pentadbir sekolah bagi menjelaskan secara terperinci punca sebenar kegagalan mereka berbuat demikian.

"Pengetua dan guru besar dipertanggungjawabkan sepenuhnya dalam perkara ini, sekiranya kita mendapat maklumat mengenainya daripada sumber lain dan bukannya pihak sekolah sendiri, maka kita tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tatatertib," katanya kepada pemberita di Parlimen di sini hari ini.

Tambah beliau, pihaknya juga mengekalkan arahan sebelum ini yang membekukan setiap program guru dan pelajar ke luar negara sehinggalah wabak H1N1 pulih sepenuhnya.

Katanya, kementerian akan menghantar surat pekeliling ke seluruh sekolah melalui Jabatan Pelajaran negeri yang secara automatik membatalkan setiap perancangan pihak sekolah yang mengaturkan lawatan atau program ke luar negara.

Bagaimanapun, beliau berkata, pihaknya sedia menimbangkan sebarang program di luar negara yang jika dibatalkan akan mendatangkan implikasi kepada hubungan antarabangsa atau keselamatan negara.

"Rayuan boleh dikemukakan kepada Majlis Keselamatan Negara yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Menteri Pelajaran untuk dipertimbangkan," katanya.

Sementara itu, Ka Siong juga merayu kepada ibu bapa memastikan anak-anak yang belajar di sekolah yang terlibat dalam penutupan akibat penularan H1N1 baru-baru ini hadir ke sekolah mereka.

Sehingga kini, katanya, hanya kira-kira 80 peratus pelajar Sekolah Rendah Kebangsaan Assunta 1, Petaling Jaya yang hadir dan perkembangan ini tidak menggalakkan serta tidak elok untuk perkembangan pendidikan pelajar.

"Saya rasa mungkin ibu bapa masih bimbang dengan keselamatan anak-anak mereka, saya beri jaminan Kementerian Pelajaran bersama Kementerian Kesihatan mengambil langkah dan penjagaan terbaik bagi memastikan keselamatan pelajar sentiasa terjamin," katanya.

Utusan Malaysia Online: 3 Julai 2009

Tiada ulasan: