Sabtu, 7 Mac 2009

Bangunan tiga tingkat atasi isu murid sesak

Oleh Mohd Hamizar Hamid
mizar@bharian.com.my


IMBAS kembali laporan Berita Harian kelmarin.

Langkah sementara selesai masalah SK Taman Putra Perdana

PUTRAJAYA: Kementerian Pelajaran akan membina sebuah bangunan tiga tingkat di Sekolah Kebangsaan Taman Putra Perdana (SKTPP) di Puchong, dekat sini bagi menampung jumlah murid yang semakin bertambah.

Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Alimuddin Mohd Dom, berkata bangunan itu mengandungi 12 kelas yang dijangka siap dalam tempoh setahun.

Katanya, ia langkah jangka pendek bagi menyelesaikan kesesakan di SKTPP sebelum sekolah baru dibina di kawasan berhampiran.

“Kita sedar pertambahan mendadak murid di sekolah itu dan mengambil langkah awal dengan menghantar dua kabin untuk dijadikan bilik darjah tambahan, tetapi tidak menyangka ia masih tidak dapat menyelesaikan masalah.

“Kita sedang mengenal pasti beberapa kawasan sesuai di situ untuk dijadikan tapak sekolah baru,” katanya ketika dihubungi Berita Harian, di sini, semalam.

Beliau mengulas laporan akhbar ini kelmarin mengenai rungutan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SKTPP bahawa sekolah berkenaan yang mampu menampung kira-kira 1,000 murid berdasarkan infrastruktur dimiliki kini menempatkan 2,517 murid.

Sebahagian murid terpaksa mengikuti sesi pelajaran di dua kabin yang dijadikan kelas sementara dalam keadaan panas dan kurang selesa berikutan setiap kelas dipenuhi lebih 40 pelajar.

Yang Dipertua PIBG sekolah berkenaan, Shaharuddin Ajam dilapor berkata, pertambahan mendadak murid itu berikutan banyak kawasan perumahan baru wujud di sekitarnya seperti Taman Putra Perdana, Taman La Cottage, Nusa Putra dan Aman Putra.

Shaharuddin berkata, disebabkan terlalu ramai murid, aktiviti kokurikulum sukar dijalankan kerana sekolah itu tiada kawasan sesuai termasuk padang yang tidak sempurna.

Berita Harian Online: 7 Mac 2009

Tiada ulasan: