Sabtu, 7 Mac 2009

Polis cadang gugur tuduhan

Oleh M Hifzuddin Ikhsan
hifzuddin@bharian.com.my

Tindakan disiplin selesai kes pelajar dibelasah sembilan senior

KUCHING: Polis dijangka akan mencadangkan dua tuduhan ke atas sembilan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Oya, Dalat, digugurkan susulan langkah penyelesaian yang sudah diambil jawatankuasa disiplin sekolah berkenaan bagi mendamaikan antara mereka.

Kira-kira jam 8 pagi semalam, 10 pelajar lelaki dan seorang pelajar perempuan sekolah berkenaan dipanggil semula polis ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dalat, bagi menjelaskan beberapa aspek siasatan yang belum lengkap sebelum dilepaskan dengan jaminan polis.

Ketua Polis Daerah Dalat, Deputi Superintendan Martin Koo, berkata semua mereka hanya dipanggil bagi menjelaskan beberapa perkara yang masih kabur dengan pelajar wanita berkenaan adalah pemilik sebenar telefon bimbit yang diguna bagi merakam kejadian pada 16 Februari lalu.

"Mereka cuma dipanggil sekejap bagi menjelaskan beberapa perkara namun setakat ini polis yakin bukan di kalangan pelajar berkenaan menghantar rakaman kejadian ke laman web You Tube.

"Telefon berkamera yang digunakan ialah milik seorang pelajar wanita yang meminjamkannya kepada salah seorang pelajar yang kemudian mengedarkan rakaman kejadian kepada seorang yang lain," katanya.

Dalam kejadian pada 16 Februari lalu, sembilan pelajar sekolah berkenaan bertindak membelasah seorang pelajar Tingkatan Tiga sekolah yang sama selepas dia didakwa mencuri telefon bimbit dengan kejadian dirakam sebelum disebarkan ke laman web YouTube.

Berikutan itu, dua laporan polis dibuat dengan sembilan pelajar berkenaan disiasat mengikut Seksyen 323 dan 380 Kanun Keseksaan kerana kesalahan sengaja mencederakan orang, merusuh dan mencuri dalam bangunan.

Koo berkata, beliau akan merujuk Jabatan Peguam Negara bagi melihat langkah terbaik menyelesaikan kes ini selepas langkah perdamaian dibuat Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Alimuddin Mohd Dom, kelmarin.

"Pada pendapat saya langkah yang dibuat sekolah menyelesaikan kes ini secara baik adalah yang terbaik namun saya perlu membincangkannya terlebih dulu dengan pihak pendakwaraya sebelum langkah seterusnya diambil," katanya.

Kelmarin, pada majlis perdamaian berkenaan, Alimuddin mengumumkan, empat pelajar yang terbabit dalam kejadian itu dibuang asrama sementara enam lagi termasuk mangsa digantung persekolahan selama tujuh hari bermula 4 Mac.

Berita Harian Online: 7 Mac 2009

Tiada ulasan: