Mohammad Azwan (kanan) bersalaman dengan 'Kong' di Sekolah Menengah Kebangsaan Lepar, Pekan, semalam. |
PEKAN: 'Sengketa' dua pelajar yang mengakibatkan seorang daripadanya cedera ditekap seterika panas, Khamis lalu berakhir selepas mereka saling bermaafan pada pertemuan khas di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Lepar, dekat sini, semalam.
Pelajar Tingkatan Empat yang dikenali sebagai `Kong' dengan wajah sayu memohon maaf kepada rakannya serta guru yang hadir pada majlis berkenaan.
Kedua-duanya juga kelihatan berpelukan sambil disaksikan ahli keluarga masing-masing.
Kong sudah memulakan persekolahan di sekolah lain berdekatan rumahnya, manakala rakannya, Mohammad Azwan Md Ribi, pelajar Tingkatan Tiga masih cuti sakit.
Dalam kejadian Khamis lalu, Mohammad Azwan mendakwa lengan ditekap seterika oleh Kong yang tidak berpuas hati kerana rakannya enggan menurut arahannya.
Akibatnya, lengan kanan Mohammad Azwan melecur teruk sehingga terpaksa mendapatkan rawatan di hospital daerah ini.
Berikutan kejadian itu, bapa Mohammad Azwan, Md Ribi Idris membuat laporan polis berkaitan kejadian itu.
Pertemuan semalam turut dihadiri Pegawai Pelajaran Daerah, Yahaya Zainal Abidin, Penolong Pengarah (Disiplin) Jabatan Pelajaran negeri, Ali Afandi dan Ketua Sektor Kemanusiaan JPN, Jaafar Idris.
Berita Harian Online: 7 Mac 2009
Tiada ulasan:
Catat Ulasan