KUALA LUMPUR 7 Mac - Rakyat diminta merenung dan mencari dalang di sebalik penentangan terhadap dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) sehingga berlakunya kekecohan pada perhimpunan bantahan di ibu negara hari ini.
Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, muslihat dan matlamat pihak berkenaan perlu dipertikaikan kerana kementerian telah bertindak proaktif dengan membuat pelbagai penjelasan mengenai PPSMI.
Menjadi kemusykilan katanya, bantahan dan laporan polis bahawa PPSMI bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan hanya dibuat selepas enam tahun dasar itu diperkenalkan.
"Biarlah orang ramai berhenti seketika melihat keadaan sebenar yang berlaku di negara kita dan tanya siapa sebenarnya yang menimbulkan isu ini, apa muslihat dan matlamat mereka?
"Sebenarnya kita mahu melihat ke depan, mahu rakyat bersatu terutamanya dalam keadaan ekonomi yang mencabar.
"Tetapi kalau setiap isu yang dibangkitkan dikaitkan dengan isu perkauman dan keagamaan, saya khuatir akhirnya kita tiada masa untuk melihat perkara yang lebih penting untuk masa depan dan kesejahteraan negara," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat antara Jawatankuasa Pengurusan UMNO Pusat dan Badan Perhubungan UMNO Kedah di sini hari ini.
Perhimpunan membantah dasar PPSMI di Masjid Negara petang ini bertukar kecoh apabila ribuan penyokong penganjur bertindak di luar kawalan dengan mengingkari arahan pihak polis.
Dianggarkan 5,000 penyokong yang berkumpul di pekarangan Masjid Negara dan Pasar Seni serta Kompleks Sogo berarak ke Istana Negara walaupun polis melarang mereka berbuat demikian.
Mengulas lanjut, Hishammuddin berkata, sebelum ini kementerian telah memberikan seluas-luasnya ruang untuk pihak yang membantah dasar PPSMI menyatakan pandangan mereka.
Katanya, kertas kabinet juga telah disiapkan untuk dibawa kepada jemaah menteri dan kementerian juga sudah menyatakan komitmen bagi menilai kedudukan dasar itu di peringkat sekolah rendah khususnya di luar bandar.
"Kita telah mengambil kira pandangan mereka yang dinyatakan melalui memorandum dan persidangan meja bulat.
"Sekali lagi menjadi tanda tanya kenapa selepas enam tahun baru buat laporan polis kerana mendakwa ia bertentangan dengan Perlembagaan dan sekarang mengadakan perhimpunan bantahan," ujarnya.
Utusan Malaysia Online: 8 Mac 2009
Tiada ulasan:
Catat Ulasan