Isnin, 9 Mac 2009

Jangan rahsia disiplin pelajar

KUALA LUMPUR 7 Mac - Kementerian Pelajaran akan mengambil tindakan tegas terhadap pengetua dan guru besar sekolah yang merahsiakan masalah disiplin pelajar di sekolah mereka.

Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Noor Rezan Bapoo Hashim berkata, dalam usaha menangani masalah disiplin yang semakin serius, langkah merahsiakan perkara itu adalah tidak wajar selain boleh mengundang perkara yang lebih buruk.

''Tidak ada sebab perlu merahsiakan masalah disiplin yang berlaku di sekolah. Sebagai pengetua mereka bertanggungjawab membasmi perkara sedemikian kerana ia merupakan sebahagian tugas mereka.

''Mereka perlu melaporkannya kepada Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) mahupun kementerian supaya ia dapat ditangani segera dan jika gagal, tindakan tegas akan dikenakan terhadap mereka," katanya selepas merasmikan Simposium Wanita Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) sempena Hari Wanita Sedunia di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas gejala buli yang melibatkan pelajar sekolah di seluruh negara sehingga melibatkan kematian.

Selain itu, Noor Rezan berkata, pendekatan kaunseling juga perlu diberikan terlebih dahulu terhadap pelajar bermasalah di sekolah.

Menurutnya, walaupun jawatan guru kaunseling diwujudkan di setiap sekolah, hanya segelintir sekolah yang mengamalkan pendekatan tersebut ketika berhadapan dengan pelajar-pelajar bermasalah.

''Untuk apa kita wujudkan perkhidmatan kaunseling di sekolah jika pihak sekolah tidak memanfaatkannya, saya syorkan pihak sekolah merujukkan pelajar bermasalah kepada guru kaunseling terlebih dahulu sebelum mengambil sebarang tindakan disiplin," katanya.

Dalam pada itu, beliau meminta supaya semua guru turut memainkan peranan dalam menangani gejala negatif di sekolah tanpa bergantung kepada guru disiplin semata-mata.

Simposium tersebut dihadiri oleh 60 wakil NUTP dari seluruh negeri di Semenanjung dan hadir sama, Presiden NUTP, Hashim Adnan dan Naib Presidennya, M.Vasanta.

Utusan Malaysia Online: 8 Mac 2009

Tiada ulasan: