Sabtu, 7 Mac 2009

Sembilan pelajar,

Oleh M Hifzuddin Ikhsan
hifzuddin@bharian.com.my


SEMBILAN pelajar menunggu giliran untuk bertemu Alimuddin di bilik mesyuarat Sekolah Menengah Kebangsaan Oya, semalam.

Majlis disaksikan ahli keluarga, ketua kaum

MUKAH: Suasana sayu dan sedih menyelubungi dewan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Oya, Dalat, apabila sembilan pelajar yang didapati memukul seorang pelajar Tingkatan Tiga sekolah itu bertemu sebelum bermaafan sebagai tanda perdamaian antara mereka.

Pada majlis yang dihadiri Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Alimuddin Mohd Dom itu, sembilan pelajar Tingkatan Tiga hingga Enam meminta maaf kepada mangsa, Reduan Sami, 15, sambil disaksikan ahli keluarga, ketua kaum dan penduduk kampung.

Alimuddin berkata, berdasarkan jumlah 5.4 juta pelajar di hampir 10,000 sekolah di seluruh negara, pihaknya menganggap kejadian itu kes terpencil dan hukuman yang dikenakan terhadap mereka oleh Jawatankuasa Disiplin SMK Oya adalah wajar.

"Kes ini berpunca daripada seorang pelajar kehilangan telefon bimbit mengadu kepada senior menyebabkan mangsa dipanggil mereka sebelum diminta mengembalikannya namun dia gagal berbuat demikian sehingga berlakunya insiden itu.

"Ini tiada kaitan dengan gangsterisme di kalangan pelajar namun ia mungkin berpunca apabila pelajar tidak mempunyai tempat mengadu ketika berdepan masalah hingga mengambil tindakan sendiri," katanya ketika sidang media di sini, semalam.

Turut hadir Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri Sarawak, Datin Fatimah Abdullah; Pengarah Pelajaran Sarawak, Dr Julaihi Bujang serta Pengetua SMK Oya, Piel Adeng.

Kelmarin, jawatankuasa disiplin sekolah itu memutuskan empat pelajar yang terbabit dalam kejadian buli berkenaan berkenaan dibuang asrama berkuat kuasa 4 Februari sementara enam lagi termasuk mangsa digantung persekolahan selama tujuh hari bermula tarikh sama.

Dalam kejadian 16 Februari lalu, sembilan pelajar sekolah itu membelasah seorang pelajar Tingkatan Tiga sebelum rakaman kejadian itu yang dibuat menggunakan telefon berkamera disebarkan di laman web YouTube.

Keadaan itu yang menyebabkan keluarga mangsa membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dalat pada hari sama sebelum satu lagi laporan polis mendakwa mangsa mencuri dibuat Isnin lalu.

Berita Harian Online: 6 Mac 2009

Tiada ulasan: