KUALA LUMPUR: Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN) semalam mencadangkan supaya konsep 'senior-junior' di asrama dihapuskan kerana ia menjadi antara penyumbang kepada masalah gangsterisme di sekolah.
Presiden PIBGN, Prof Madya Datuk Mohamad Ali Hasan berkata, konsep berkenaan turut menyumbang kepada gejala sosial lain seperti seks bebas serta membawa masuk pengaruh luar ke kawasan sekolah, khususnya asrama.
Mohamad Ali mencadangkan perkara itu sebagai antara langkah bagi membanteras gangsterisme di sekolah yang kini dilihat semakin berleluasa sehingga membabitkan kematian dan menimbulkan kegelisahan ibu bapa.
Walaupun Kementerian Pelajaran memandang serius gejala berkenaan dan pernah dilapor mengenakan hukuman berat terhadap pelajar yang terbabit, hukuman seperti dibuang sekolah dan tindakan disiplin tidak memberi kesan dan pengajaran kepada mereka.
Terbaru di Kuantan, Pahang, seorang pelajar Tingkatan Tiga ditendang empat pelajar senior akibat enggan mengambil air minuman manakala di Kuching, Sarawak, seorang pelajar Tingkatan Tiga sebuah sekolah berasrama di Dalat, Sarawak disepak dan dipukul sekumpulan pelajar lain.
Di KUALA LUMPUR, seorang pelajar tingkatan empat meninggal dunia di hospital selepas tidak sedarkan diri akibat cedera parah di kepala kerana dibelasah berhampiran sekolahnya di Cheras gara-gara berebut teman wanita.
Mohamad Ali berkata, konsep 'senior-junior' itu akan memburukkan lagi keadaan apabila seseorang pelajar itu sudah berada lama di sesebuah sekolah atau asrama berasa bahawa dia lebih berkuasa dan berhak membuat sesuka hatinya.
Beliau memberitahu Bernama di sini semalam bahawa selain konsep itu harus dihapuskan, warden di sekolah berasrama juga perlu meningkatkan lagi rondaan di blok asrama tanpa mengira waktu.
"Apa yang penting ialah bagaimana warden itu termasuk ibu bapa, pihak sekolah dan PIBG memainkan peranan. Semua pihak perlu peka mengenai sebarang perubahan tingkah laku pelajar manakala rondaan di blok asrama juga perlu dilakukan tanpa mengira waktu," katanya. � Bernama
Mohamad Ali, yang juga Naib Yang Dipertua Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Bhd (Angkasa), berkata kerjasama polis membuat rondaan secara kerap di persekitaran kawasan sekolah juga dilihat mampu membendung gangsterisme.
Selain itu, beliau turut menggesa supaya hukuman rotan secara tertutup diaktifkan bagi menghukum pelajar yang terbabit dalam masalah gangsterisme.
"Saya juga mencadangkan agar hukuman itu (rotan secara tertutup) dilakukan oleh ibu bapa pelajar terbabit dan untuk merotan, pihak sekolah mestilah mempunyai bukti yang kukuh sebelum menjatuhkan hukuman rotan.
"Dengan cara ini, pelajar itu akan sedar dan tidak akan mengulanginya kerana dia tahu ibu bapanya juga tidak berkompromi dengan kesalahan dilakukannya," katanya.
Sementara itu, seorang penjawat awam, Hashim Mansor, 49, pula berpendapat, bagi membendung gangsterisme, Kementerian Pelajaran harus mengadakan pemantauan yang lebih kepada sekolah yang mempunyai kadar jenayah tinggi.
Beliau yang mempunyai anak di sebuah sekolah berasrama di sekitar Lembah Klang, berkata kejadian yang dilaporkan di akhbar menimbulkan kerisauan sehingga beliau terpaksa membuat panggilan telefon setiap hari kepada anaknya untuk memastikan keselamatannya.
"Memang risau... Kementerian Pelajaran harus mengadakan pemantauan yang lebih terutama kepada sekolah yang mempunyai masalah," katanya. - Bernama
Berita Harian Online: 3 Mac 2009
Tiada ulasan:
Catat Ulasan