KUALA LUMPUR 8 Mac - Kementerian Pelajaran diminta memberi latihan bahasa Inggeris secukupnya kepada guru jika mahu meneruskan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI).
Bekas Naib Canselor Universiti Industri Selangor (Unisel), Kolonel Profesor Datuk Dr. Kamarudin Kachar berkata, kebanyakan guru masih tidak fasih berbahasa Inggeris terutamanya di kawasan luar bandar.
"Sudahlah kefahaman bahasa Inggeris di kalangan murid luar bandar berada pada tahap membimbangkan, ia ditambah pula dengan masalah guru yang bertutur salah dalam bahasa itu.
"Akibatnya, pelajar gagal menguasai ilmu yang diajar selain penguasaan bahasa Inggeris mereka turut menjadi lebih bercelaru dan lemah," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Kamarudin mengulas mengenai tentangan beberapa pihak yang mahu PPSMI dimansuh dan digantikan dengan bahasa ibunda mengikut jenis sekolah.
Kekecohan berlaku akibat daripada tentangan itu apabila perhimpunan yang dianjurkan Gerakan Memansuhkan PPSMI (GMP) semalam bertukar menjadi 'medan perang' antara pihak berkuasa dan peserta.
Sementara itu, sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Ibu Bapa Untuk Pendidikan (PAGE) melahirkan rasa kecewa terhadap kekecohan yang terjadi.
Pengerusinya, Datin Noor Azimah Abdul Rahim berkata, kekecohan sebegitu tidak digalakkan oleh Islam di samping tidak mencerminkan nilai-nilai murni masyarakat Melayu.
"Perbuatan mereka nyata menggugat ketenteraman awam. Sebelum ini, pembangkang PPSMI telah diberi ruang menyuarakan pandangan kepada Kementerian Pelajaran.
"Kesimpulan yang boleh dibuat adalah tindakan mereka itu merupakan satu ugutan terhadap kementerian," katanya.
PAGE dalam kenyataannya turut berpendapat demonstrasi membantah dasar PPSMI itu hanya berasaskan kepada kepentingan politik semasa.
"Kami berharap agar pemimpin dan penggubal dasar tidak dipengaruhi unsur-unsur politik apabila menetapkan dasar pendidikan supaya masa depan generasi akan datang tidak terjejas," katanya.
Utusan Malaysia Online: 9 Mac 2009
Tiada ulasan:
Catat Ulasan