Rabu, 10 Jun 2009

Boleh dilaksana tetapi bersyarat

KUALA LUMPUR 9 Jun - Boleh dilaksanakan, tetapi bersyarat.

Demikian pandangan Persatuan Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN) ketika ditanya mengenai cadangan kerajaan mewajibkan calon lulus mata pelajara Bahasa Inggeris sebagai syarat lulus peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Presidennya, Prof. Madya Datuk Mohamad Ali Hassan berkata, PIBGN berpandangan positif mengenai cadangan tersebut kerana Bahasa Inggeris adalah mata pelajaran teras seperti Bahasa Malaysia dan Matematik.

Bagaimanapun, beliau berkata, kajian mendalam dengan mengambil kira faktor jumlah tenaga pengajar bagi mata pelajaran tersebut perlu diberi perhatian sebelum cadangan itu dilaksanakan.

''Kita masih kekurangan tenaga pengajar bagi mata pelajaran ini di sekolah-sekolah berbanding subjek lain. Kalau ada pun, kebanyakan mereka lebih bertumpu di bandar-bandar besar, malah ramai yang mengelak untuk dihantar ke luar bandar kerana masalah elaun.

''Perkara ini perlu diseimbangkan, kerajaan kena pastikan tenaga pengajar di luar bandar mencukupi supaya pelajar dapat manfaat sama seperti pelajar di bandar," katanya di sini hari ini.

Semalam, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mempelawa orang ramai untuk mengemukakan pandangan masing-masing kepada Kementerian Pelajaran mengenai isu mata pelajaran Bahasa Inggeris itu.

Menurut Mohamad Ali, prasarana di setiap sekolah perlu dipertingkatkan sekiranya kerajaan mahu penguasaan bahasa Inggeris di kalangan pelajar mencapai sasaran.

''Ia termasuk kelengkapan untuk mengajar seperti makmal bahasa, bahan bacaan dan rujukan," katanya.

Sementara itu, Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Hashim Adnan yakin cadangan itu tidak akan menjejaskan kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi.

Beliau berkata, sebagai bahasa ilmu dan digunakan secara global di seluruh dunia, penekanan terhadap subjek itu sejak di bangku sekolah mampu memberi kesedaran kepada pelajar mengenai kepentingan bahasa Inggeris tanpa merendahkan bahasa Melayu.

Bagaimanapun, jelasnya, kajian mendalam perlu dibuat terlebih dahulu terutama dari segi kesan jangka panjang pelaksanaannya.

Utusan Malaysia Online: 10 Jun 2009

Tiada ulasan: