Rabu, 10 Jun 2009

Teliti cadangan wajib lulus Bahasa Inggeris

PULAU PINANG 9 Jun - Cadangan mewajibkan lulus subjek Bahasa Inggeris sebagai syarat wajib lulus Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) hanya boleh dilaksanakan setelah ia dikaji secara teliti.

Bekas Menteri Pendidikan, Tan Sri Musa Mohamad berkata, kajian itu penting supaya hasrat baik tersebut dilaksanakan secara tersusun dan membawa manfaat kepada semua terutama golongan pelajar.

Katanya, jika aspek berkenaan diabaikan, ia hanya akan menjadi masalah kerana tidak mampu berjalan seiring dengan langkah yang ingin dilaksanakan itu.

Tambah beliau, jika cadangan itu bagi meningkatkan keupayaan dan penguasaan bahasa Inggeris di kalangan pelajar, ia sangat baik tetapi perlu dilakukan setelah mengambil kira semua perkara.

"Perancangan yang teliti perlu dilakukan antaranya mengenai kemampuan kita menyediakan tenaga pengajar terlatih untuk mengajar subjek berkenaan dan adakah ia mencukupi.

"Begitu juga masalah yang dialami pelajar luar bandar. Ini semua perlu diambil kira supaya mereka ini tidak menjadi mangsa," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan ucaptama pada Seminar Pertubuhan Penyelidik-penyelidik Bidang Pengurusan dan Pembinaan Malaysia (MiCRA) 2009 di Universiti Sains Malaysia (USM) di sini hari ini.

Turut hadir Naib Canselor USM, Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak; Dekan Pusat Pengajian Perumahan, Bangunan dan Perancangan, Prof. Ir. Mahyuddin Ramli dan Presiden Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia Pulau Pinang, Datuk Mohamed Fadzill Hassan.

Sementara itu, Dzulkifli yang juga Pengerusi Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM) berkata, dalam meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris di kalangan pelajar, MPM cuba menjadikan kelulusan ujian Malaysian University English Test (MUET) sebagai syarat wajib memasuki universiti.

Bagaimanapun, katanya, masalahnya ketika ini ialah pelajar yang hanya lulus Aras 1 iaitu kelulusan paling minimum sudah boleh memohon untuk memasuki universiti.

"Apa yang sedang kita cuba lakukan sekarang ialah mendesak kementerian mengetatkan syarat berkenaan iaitu hanya mereka yang mendapat Aras 3 saja boleh memohon.

"Oleh itu, semua pihak tidak perlu takut apabila rancangan ini dilaksanakan kelak," katanya.

Utusan Malaysia Online: 10 Jun 2009

Tiada ulasan: