Isnin, 8 Jun 2009

Cikgu galas tanggungjawab besar

GURU adalah tugas mulia. Sejak dulu guru mempunyai peranan cukup besar dalam mendidik anak bangsa. Seperti dijelaskan oleh Usman Awang bahawa peguam, perdana menteri, cerdik pandai dan lain-lain lagi semuanya bermula dengan jasa seorang guru.

Namun, kedudukan guru pada masa kini semakin kurang sinarnya. Ini mungkin disebabkan oleh pelbagai faktor. Jika dulu guru hanya menjalankan tugas sebagai guru, sekarang guru perlu menjalankan tugas yang di luar bidang mereka.

Contohnya, kini guru berperanan sebagai kerani, pengasuh, juruaudit, tukang kebun, penasihat dekorasi dan sebagainya. Semua ini menuntut guru bersedia dan melaksanakan semua amanah itu dengan sebaik mungkin.

Semua ini menyebabkan guru hilang tumpuan terhadap tugas hakiki mereka sekiranya mereka tidak benar-benar bersedia. Hal ini juga menyebabkan guru tidak lagi dapat melaksanakan tugas sebagai pendidik dengan sempurna.

Kesannya ialah akhlak murid tidak terjaga, guru dibebani dengan pelbagai tugas, realiti ibu bapa masa kini yang tidak meletakkan sepenuh kepercayaan kepada guru dalam mendidik anak mereka serta pengaruh hiburan dan budaya Barat di kalangan remaja, semua ini menjadi faktor kepada merundumnya akhlak generasi kita masa kini.

Saya tertarik dengan sebuah buku Guru pendidik, pengajar atau pendakwah, tulisan Mohd Azam Mahat, terbitan Karisma Publications. Penulis buku ini, cuba mengajak guru memikirkan peranan sebenar guru dengan mengambil beberapa contoh realiti yang berlaku masa kini.

Penulis cuba mengingatkan kembali kepada guru bahawa tugas mereka bukan saja sebagai pengajar, malah mereka juga perlu mendidik dan berdakwah bagi membentuk generasi masa depan yang cemerlang, sesuai dengan hasrat negara seperti terkandung di dalam Falsafah Pendidikan Negara.

Apabila guru sudah sedar tugas dan cabaran mereka, secara tidak langsung masyarakat akan mula meletakkan guru di atas penghormatan yang selayaknya.

GURU,

Negeri Sembilan.

Berita Harian Online: 8 Jun 2009

Tiada ulasan: