Isnin, 8 Jun 2009

Guru kekal di pedalaman selepas 3 tahun

SAYA terpanggil untuk menulis perihal pertukaran guru merujuk kepada surat Maziah Izifah yang disiarkan Sabtu lalu. Saya mengalami nasib yang sama, malah boleh dikatakan lebih teruk lagi.

Saya berkhidmat tiga tahun di dua sekolah di kawasan pedalaman Pahang. Untuk sampai ke sekolah, perjalanan mengambil masa lebih lima jam menaiki bot. Namun, bukan itu saya ingin utarakan. Pada Januari 2009, saya memohon pertukaran untuk ke Terengganu dan diluluskan. Namun, apa yang mengecewakan adalah saya sekali lagi diletakkan di sekolah di pedalaman di Hulu Dungun. Saya terkilan mengapa saya masih ditempatkan di kawasan pedalaman.

Saya merujuk perkara ini ke Jabatan Pelajaran Terengganu dan diberitahu seorang pegawai bahawa pertukaran pada Jun 2009 saya akan di beri keistimewaan untuk bertukar ke kawasan bandar. Saya lega dan bersyukur kerana masalah saya akhirnya dipandang.

Baru-baru ini keputusan pertukaran keluar tetapi saya kecewa kerana pertukaran saya tidak diluluskan. Timbul tanda tanya sama ada pegawai yang berjanji itu berbohong? Sekali lagi saya ke sana membuat rayuan, dan saya sekali lagi dijanjikan pegawai lain untuk membuat permohonan pada akhir tahun ini. Apa yang menjadi persoalan, mungkinkah saya ditipu untuk kali kedua? Terus terang saya katakan saya kurang percaya dengan mereka.

Saya kesal masalah ini tidak dipandang oleh pegawai bertanggungjawab. Saya mempunyai sebab yang cukup untuk membuat pertukaran. Sebelum ini seorang guru Cina bertugas di sekolah tempat saya bertugas sekarang dan hanya enam bulan. Mungkin itulah yang dimaksudkan Maziah akibat tiada ‘kabel’ saya terpaksa mengisi kekosongan guru berkenaan.

Saya sudah banyak menghabiskan wang untuk berulang ke Temerloh untuk berjumpa isteri. Baru-baru ini saya tidak menghadiri mesyuarat yang diadakan oleh PPD kerana ketiadaan wang. Saya dikenakan surat tunjuk sebab. Ini menyebabkan saya tertekan dan semangat untuk bertugas semakin hari semakin luntur.

Mungkin jika bapa atau saudara mara saya berada di dalam jabatan barulah saya dapat menyelesaikan masalah ini. Saya harap Kementerian memandang berat masalah segelintir pegawai yang ‘pilih kasih’ ini. Saya juga berharap pegawai yang berkenaan ikhlas dan jujur dalam pekerjaan kerana masih ada mahkamah akhirat yang menanti.

GURU KECEWA,

Temerloh.

Berita Harian Online: 8 Jun 2009

Tiada ulasan: