Rabu, 10 Jun 2009

Modul ajar BI biar mudah difahami

SAYA berpendapat, subjek Bahasa Inggeris patut menjadi antara subjek wajib lulus Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) kerana ia adalah bahasa ilmu dan bahasa komunikasi di dunia. Namun, persoalannya, apakah guru Bahasa Inggeris kita mampu menjadikan pelajar kita mahir berbahasa Inggeris?

Kebanyakan alasan guru Bahasa Inggeris mengenai ketidakmampuan pelajar berbahasa Inggeris ialah pelajar malas dan persekitaran bahasa yang tidak banyak membantu.

Kebanyakan pelajar lebih suka bercakap bahasa ibunda masing-masing. Ia perkara biasa kerana bangsa lain di dunia ini pun berbangga dengan bahasa mereka.

Dalam konteks ilmu, bahasa Inggeris adalah antara bahasa paling utama kerana ia berperanan besar kepada ilmu seperti sains dan teknologi.

Tidak hairanlah ramai ilmuwan semasa adalah bangsa yang menuturkan bahasa Inggeris.

Siapa tidak kenal Albert Einstein. Beliau keturunan Yahudi yang fasih bahasa Inggeris.

Apabila kerajaan mewajibkan Bahasa Inggeris sebagai syarat lulus SPM, pelajar akan belajar dan berusaha dengan lebih mendalam.

Apa yang perlu kerajaan lakukan ialah sukatan kurikulum Bahasa Inggeris itu hendaklah sesuai dengan tahap dan budaya orang Malaysia. Jadikan ia lebih mudah difahami, dituturkan dan ditulis.

Kebanyakan pelajar sekarang boleh membaca dan faham dengan dibantu kamus Inggeris-Melayu tetapi kesukaran mereka ialah untuk bertutur.

Mereka boleh bertutur tetapi tatabahasa dan perbendaharaan kata agak lemah.

Oleh itu, tugas utama Kementerian Pendidikan dengan kerjasama lain-lain kementerian dan pihak swasta, atasi masalah tatabahasa dan perkayakan pelajar dengan vocabulary Inggeris dan bagaimana bahasa Inggeris itu boleh berkembang.

Setiap pelajar mempunyai tahap IQ berbeza. Tidak semua mempunyai gred A dan B.

Ada juga bergred C, D atau E. Kerajaan perlu memastikan, khususnya guru dan pembuat kurikulum Bahasa Inggeris, modul dan latihan yang bersesuaian dengan tahap mereka. Sekarang ini saya dapati penggunaan kamus terjemahan Inggeris ke bahasa Melayu atau lain secara elektronik dan harganya pula agak mahal.

Harap kerajaan dapat turunkan harga kamus elektronik seperti beri bantuan supaya semua pelajar dapat guna dengan mudah berbanding menggunakan kamus konvensional. Tebal dan sukar dibawa ke mana-mana.

Sementara itu, kualiti guru yang mengajar Bahasa Inggeris juga mesti dipertingkat. Apa yang berlaku kini ialah guru tidak mahir bahasa Inggeris terpaksa mengajar dalam bahasa Inggeris. Ini menyebabkan kualiti bahasa itu rendah.



REZA ALJUNAID,

Kuala Lumpur.

Berita Harian Online: 10 Jun 2009

Tiada ulasan: