Rabu, 10 Jun 2009

Guru Kafa Kelantan tunggu elaun tertunggak lima bulan

SEBAGAI guru kelas al-Quran dan fardu ain (Kafa) saya sedih kerana belum menerima bayaran elaun sejak mula bertugas awal Februari tahun ini.

Kelewatan pembayaran itu memang berlaku setiap tahun tetapi tidaklah sampai sehingga cuti pertengahan tahun. Saya percaya di kalangan petugas sama ada sektor awam atau swasta, hanya guru Kafa yang belum menerima imbuhan mereka.

Masalah itu berlarutan sejak awal tahun, namun ada arahan supaya guru Kafa tidak mendedahkannya kepada umum. Sikap tidak prihatin itu menyebabkan kami tidak boleh membendung kekecewaan dan berharap ia segera diselesaikan.

Mungkin masalah itu tidak menjejaskan guru Kafa yang bertugas sebagai guru Pendidikan Islam, tetapi bagi guru Kafa seperti kami, keadaan itu membebankan.

Melalui ruangan ini, saya merayu pihak berkenaan agar memberi sedikit perhatian terhadap masalah kami. Sebagai guru Kafa, kami sering dikerah, siang dan malam bagi meramaikan majlis anjuran Kerajaan Persekutuan di Kelantan, ketika kakitangan lain memberikan berbagai alasan untuk tidak menghadiri majlis itu.

Jika pihak berkenaan mempunyai masalah untuk membayar elaun kami, cukuplah sekadar memberi pendahuluan untuk kami gunakan sebagai tambang kenderaan ke sekolah tempat kami bertugas.

Harapan kami, elaun tertunggak sejak lima bulan lalu perlu segera dilunaskan bagi membolehkan kami menyelesaikan masalah dan menyara kehidupan seharian.



GURU KAFA,

Wakaf Baru, Kelantan.

Berita Harian Online: 10 Jun 2009

Tiada ulasan: