Oleh Khairina Yasin
kayrina@bharian.com.my
SMAP Kajang fokus penyertaan pelajar bagi melahirkan pemimpin warak, berilmu
PENGIKTIRAFAN sebagai sekolah Kluster memberi makna cukup besar kepada warga Sekolah Menengah Agama Persekutuan (SMAP) Kajang, Hulu Langat, Selangor untuk terus melonjakkan kecemerlangan dalam bidang akademik dan kokurikulum.
Memfokuskan tiga bidang kebitaraan iaitu kepimpinan pelajar, nasyid dan sukan memanah serta statusnya sebagai sekolah berasrama penuh (SBP) menjadi pilihan lulusan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah yang berminat mengikuti pengajian aliran agama.
Penolong Kanan Pentadbiran sekolah itu, Mohd Rezazali Ahmad Amsar, berkata kepimpinan pelajar dipilih sebagai bidang kebitaraan kerana diyakini dapat membina insan berilmu, sahsiah mapan dan bersemangat patriotisme sejajar misi Sektor SBP.
Berdasarkan sejarah, katanya, ramai lepasan sekolah itu diberi kepercayaan mengetuai pertubuhan pelajar di peringkat antarabangsa, malah sering dipilih mewakili negara di persidangan dunia.
“Pemupukan kepimpinan pelajar diasah menerusi penyertaan dalam pelbagai pertandingan seperti bahas, debat, pidato yang jelas mampu melahirkan pemimpin warak dan berilmu, memiliki jati diri tinggi di samping berkemahiran insaniah sebagai wahana merealisasikan Falsafah Pendidikan Negara dan wawasan negara,” katanya.
SMAP Kajang juga terkenal menerusi kehebatan kumpulan nasyid All For Ummah yang berjaya mengharumkan nama sekolah itu di peringkat negeri dan kebangsaan.
“Kumpulan ini pernah dinobatkan johan persembahan terbaik Festival Nasyid Sekolah-sekolah Menengah Kementerian Pelajaran selama tiga tahun berturut-turut sejak 2004.
“Malah, guru penasihat kumpulan, Mohd Aminuddin Abd Rahaman turut dinobatkan sebagai pencipta lagu terbaik pada 2004, 2006 dan 2007 pertandingan sama,” katanya.
Mohd Rezazali berkata, matlamat penubuhan kumpulan itu adalah untuk melahirkan pelajar berketerampilan termasuk fasih pelbagai bahasa, berkemahiran membaca al-Quran dengan bertajwid dan bertaranum di samping mahir dalam istinbat kedua-dua sumber tersebut.
Malah katanya, peserta kumpulan nasyid turut diterapkan nilai murni seperti rajin, menepati masa, bekerjasama, tolak ansur dan kasih sayang.
Dalam sukan pula, katanya, sekolah itu berjaya membangunkan pasukan memanah dikenali Ar-Rimayah Al-Mumtazah dalam usaha memupuk pembangunan diri serta tingkah laku terpuji.
“Pasukan memanah SMAPK adalah antara yang disegani di negara ini kerana pelbagai kejayaan dicapai sejak lapan tahun lalu.
“Antaranya, pasukan lelaki pernah menjuarai Kejohanan Memanah Majlis Sukan Sekolah-sekolah Selangor (MSSS) dan Majlis Sukan Sekolah-sekolah Malaysia (MSSM) pada 2004, manakala pasukan perempuan pula juara Kejohanan Memanah MSSS dan MSSM pada 2006 hingga 2008.
“Pencapaian ini terus cemerlang apabila Amir Syahmi Madzlan muncul johan Olimpik Round Individu dan naib johan berpasukan di 1st Southeast Asia Junior Outdoor Championsip 2007 di Singapura,” katanya.
Berita harian Online: 10 Jun 2009
Tiada ulasan:
Catat Ulasan