Rabu, 10 Jun 2009

Terima Kasih Cikgu galak murid hargai jasa, pengorbanan guru

Oleh Noor Azlina Zainudin

KIRA-KIRA 2,500 penyertaan diterima untuk Peraduan Terima Kasih Cikgu anjuran akhbar sisipan Didik terbitan Berita Harian dengan kerjasama Cerdik Publications Sdn Bhd (Cerdik Publications) yang diadakan sepanjang bulan lalu.

Peraduan sempena sambutan Hari Guru 16 Mei lalu itu mendapat sambutan sangat menggalakkan daripada murid sekolah rendah seluruh negara sehingga proses penghakiman terpaksa dilakukan dengan adil dan teliti.

Proses pemilihan pemenang diadakan di Balai Berita semalam diketuai Pengurus Promosi dan Jualan Wilayah Cerdik Publications, Inder Singh; Pengarang Berita Pendidikan, Berita Harian, Tamrin Anuar serta wartawan Unit Pendidikan Berita Harian, Noor Azlina Zainudin, Rusnita Pechok dan Basir Zahrom.

Menurut Inder, peraduan itu diadakan bertujuan memberi peluang murid mengenang jasa dan pengorbanan guru dalam mendidik anak bangsa sehingga menjadi manusia berguna, tanpa mengenal erti jemu.

Sambil melahirkan rasa kagum dengan daya kreativiti ditunjukkan sebahagian besar peserta, Inder berkata, pihaknya bercadang menjadikan Terima Kasih Cikgu sebagai peraduan tahunan bagi membolehkan murid melahirkan rasa hormat atau sayang kepada guru masing-masing mengikut cara tersendiri.

“Setiap murid mempunyai kaedah tersendiri menzahirkan penghargaan mereka, namun masing-masing mempunyai perspektif dan tafsiran yang sama iaitu guru adalah insan paling berjasa dalam memberikan pendidikan terbaik.

“Menerusi peraduan seumpama ini, murid dilatih melahirkan rasa terima kasih kepada guru dengan coretan indah, ucapan puitis atau sajak, selain menggunakan kreativiti menghasilkan karya yang tinggi nilai seninya,” katanya.

Selain wang tunai kepada pemenang pertama hingga ketiga, Inder berkata, hadiah utama dan 30 sagu hati akan turut menerima buku terbitan Cerdik Publications yang keseluruhannya bernilai RM3,000.

Pemenang pertama ialah Nur Latifah Leayana Zakaria dari Ipoh, Perak yang akan menerima wang tunai RM300, kedua Amalin Afiqah Mohd Pathiuddin dari Kota Bharu, Kelantan (RM200) dan ketiga Muhammad Amir Syahmi Abd Jabar dari Kuantan, Pahang (RM100).

Senarai 30 pemenang sagu hati akan disiarkan dalam akhbar Didik, Isnin ini. Surat pemberitahuan dan hadiah juga akan dihantar kepada pemenang mulai bulan ini.

Selain itu, Inder turut mengumumkan Sekolah Kebangsaan Kubang Krian (3), Kota Bharu, Kelantan sebagai penerima hadiah khas sekolah yang menghantar penyertaan kreatif terbanyak. Hadiah berupa buku terbitan Cerdik Publications bernilai RM1,500 untuk pusat sumber sekolah itu.

Berita Harian Online: 10 Jun 2009

Tiada ulasan: