|
|
CYBERJAYA 8 Jun - Tun Dr. Mahathir Mohamad menyifatkan cadangan mewajibkan pelajar lulus mata pelajaran Bahasa Inggeris dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) adalah langkah yang baik demi masa depan generasi akan datang.
Bekas Perdana Menteri itu berkata, langkah tersebut membolehkan para pelajar menyiapkan diri dengan proses globalisasi dan memastikan mereka mendapat jaminan peluang pekerjaan.
''Akhirnya ia adalah terpulang kepada ibu bapa untuk membuat keputusan kerana perkara itu melibatkan masa depan anak-anak mereka dan bukannya kerajaan.
''Tanpa penguasaan yang kuat dalam bahasa itu , adalah sukar untuk para pelajar menyambung pengajian ke luar negara dan menjamin peluang pekerjaan kerana mereka perlu mempunyai kebolehan berinteraksi dengan baik di peringkat antarabangsa," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menerima anugerah Ijazah Doktor Kehormat bagi Kemanusiaan daripada Universiti Kreatif dan Teknologi Limkokwing (LUCT) di sini hari ini.
Dr. Mahathir mengulas kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini yang melontarkan persoalan sama ada pelajar perlu wajib lulus mata pelajaran bahasa Inggeris bagi SPM atau kekal seperti amalan sekarang.
Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran mahu masyarakat memberikan maklum balas kepada kerajaan mengenai persoalan itu dan beliau juga akan menjelaskan perkara tersebut kepada kementeriannya.
Menurut Dr. Mahathir, pihak yang menolak cadangan itu adalah mereka yang mementingkan soal politik dan bukannya pendidikan.
''Mereka tidak berminat dengan pendidikan anak-anak atau soal mendapatkan ilmu sebaliknya apa yang mereka mahukan ialah sejauh mana mereka mendapat sokongan.
''Saya bimbang, jika mereka menolaknya, negara ini akan hancur," katanya.
Mengenai penangguhan keputusan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI), Dr. Mahahir berkata, beliau kecewa sekiranya kerajaan memutuskan untuk menggunakan semula bahasa Malaysia.
''Jika itulah jadinya, pada masa depan semua orang Melayu dan rakyat Malaysia akan jadi bodoh," katanya.
Utusan Malaysia Online: 9 Jun 2009
Tiada ulasan:
Catat Ulasan