Selasa, 9 Jun 2009

Latihan kukuhkan bahasa kebangsaan di sekolah Cina


Muhyiddin Yassin menerima cenderamata daripada Pengerusi Persatuan dan Penulisan Kreatif Malaysia, Goh Hin San (kanan) sambil diperhatikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon, Dr. Wee Ka Siong dan Kohilan Pillay pada Seminar Bahasa Kebangsaan dan masyarakat Cina di Kuala Lumpur, semalam. - UTUSAN/Halim KHALID


KUALA LUMPUR 8 Jun - Kementerian Pelajaran melalui Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan menganjurkan siri latihan pengukuhan bahasa kebangsaan untuk guru-guru bagi mata pelajaran Bahasa Malaysia di sekolah-sekolah Cina persendirian.

Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, ia adalah komitmen kerajaan menyemarakkan penggunaan bahasa kebangsaan di sekolah-sekolah tersebut.

"Ia juga satu penghargaan kepada peranan sekolah-sekolah ini dalam membangunkan modal insan negara," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Seminar Bahasa Kebangsaan dan Masyarakat Cina dan pelancaran Festival Bahasa dan Sastera serta Tabung Semarak Perpaduan di DBP di sini hari ini.

Muhyiddin berkata, siri latihan itu yang akan diadakan dalam masa terdekat akan mampu memberi kesedaran tentang kepentingan permuafakatan bagi memperkukuhkan perpaduan berbilang kaum di negara ini melalui bahasa kebangsaan.

"Saya penuh yakin bahawa jati diri rakyat Malaysia dapat diserlahkan melalui penggunaan dan penghayatan bahasa kebangsaan oleh semua rakyat tanpa mengira kaum dan agama.

"Bahasa kebangsaan adalah jiwa negara bangsa yang ingin kita bangunkan, justeru marilah sama-sama kita hayati semangat Satu Bahasa, Satu Malaysia melalui usaha yang akan dilaksanakan ini," katanya.

Dalam pada itu, Muhyiddin berkata, pelbagai pihak diharap berusaha memaparkan karya-karya mengenai sejarah kemerdekaan negara terutama kerjasama antara pemimpin pelbagai kaum terdahulu bagi mencapai kebebasan daripada penjajah.

"Saya harap ia dapat diterbitkan secara meluas untuk tatapan masyarakat negara ini terutama generasi muda dan menjadikan mereka lebih menghargai jasa-jasa tokoh sebelum ini," katanya.

Katanya, apa yang lebih penting adalah bagi semua rakyat Malaysia memahami sejarah negara sekali gus menghargai peranan semua kaum dalam membina negara aman, maju dan makmur.

Di samping itu, Muhyiddin berkata, karya kesusasteraan dan kebudayaan dalam bahasa Cina dan Tamil juga boleh diterjemahkan ke dalam bahasa kebangsaan dan juga sebaliknya.

Sehubungan itu, badan-badan korporat dan individu yang berkemampuan diharap tampil untuk menyumbang kepada Tabung Semarak Perpaduan yang baru dilancarkan bagi menjayakan usaha tersebut.

Utusan Malaysia Online: 9 Jun 2009

Tiada ulasan: