Selasa, 24 Mac 2009

Guru Kemas menangis


MURID-MURID Tabika Kemas terpaksa belajar
di bawah khemah
dan beralaskan tikar plastik.


ALOR SETAR - "Apalah dosa anak murid saya sehingga diperlakukan begini."

Demikian rintihan guru Tabika Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) Taman Rakyat Mergong di sini, Che Gayah Wahab, 42, berikutan 32 muridnya terpaksa belajar di luar kelas.

Kelmarin, pelajar tabika di taman itu terpaksa belajar beralaskan tikar getah namun semalam keadaan mereka semakin baik apabila diletakkan di bawah khemah dan berada di atas platform kayu.

Sambil menitiskan air mata, Che Gayah berkata, dia begitu sedih dan kecewa apabila melihat muridnya terpaksa belajar seperti orang pelarian yang merempat.

"Kelmarin mereka belajar tanpa bumbung dan akibatnya seorang daripada murid terbabit tidak dapat hadir kerana demam," katanya ketika ditemui Kosmo!.

Kosmo! semalam melaporkan seramai 32 murid Tabika Kemas Taman Rakyat Mergong di sini terpaksa belajar beralaskan tikar getah apabila mereka diusir oleh Badan Amal Penduduk Islam Taman Rakyat Mergong yang menguruskan bangunan dua tingkat yang menempatkan sebuah surau di tingkat atas.

Sementara itu, pengerusi persatuan penduduk kawasan itu, Md. Suhaimi Abdul Aziz berkata, tindakan mengusir 32 murid terbabit tidak bermotifkan politik.


CHE GAYAH terharu melihat keadaan murid Tabika Kemas Taman Rakyat Mergong, Kedah semalam.


Menurut beliau, pihaknya mempunyai alasan tersendiri mengapa Kemas terpaksa diusir dari bangunan yang ditadbir oleh badan berkenaan sejak setahun lalu.

Beliau mendakwa, selain bayaran sewa, Kemas langsung tidak melayan permohonan penduduk di situ yang mahukan prasarana rosak seperti tandas dibaiki.

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Sewajarnya KEMAS sudah mempunyai bangunan sendiri. PASTI yang diurus oleh PAS pun sudah mampu walaupun dengan bantuan masyarakat sahaja. Inikan pula di bawah kelolaan KPWLB.

Jangan sedih cikgu...sabarlah, ada orang lain lebih susah daripada kita untuk menikmati peluang belajar ini...