Jumaat, 6 Mac 2009

Guru BI disimbah asid

Oleh Zulhilmi Hat
hilmi@bharian.com.my


MANGSA cedera mata kanan dirawat di PPUM, Kuala Lumpur semalam.

Mata nyaris buta akibat diserang depan pintu pagar sekolah

KUALA LUMPUR: Seorang guru Bahasa Inggeris nyaris buta mata kanan selepas disimbah dengan cecair dipercayai asid oleh lelaki yang menunggang motosikal di luar pintu pagar Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Bandaraya di sini, petang kelmarin.

Mangsa, 25 tahun yang tidak mahu namanya disiarkan terpaksa dikejarkan ke Pusat Perubatan Hospital Universiti Malaya (PPUM) selepas mata kanannya dimasuki cecair itu.

Ketika kejadian jam 4 petang itu, mangsa sedang menunggu suami untuk pulang ke rumah, bersama beberapa pelajar sekolah.

Katanya, ketika itu seorang lelaki menaiki motosikal jenis Honda, berpakaian hitam dan memakai topi keledar berpenutup penuh masuk ke kawasan sekolah.

"Saya ingatkan dia sedang mencari anaknya. Dia kemudian memberhentikan motosikal berhampiran saya dan mengeluarkan botol mineral mengandungi cecair berwarna merah dan menuangkannya ke dalam cawan plastik sebelum mencurahnya ke arah muka saya. Dia kemudian melarikan diri menaiki motosikalnya.

"Saya terkejut dan meraung kesakitan selepas cecair itu memasuki mata dan terkena muka. Terasa pedih amat sangat seperti terbakar, selain sesak nafas.

"Saya berlari masuk dan mencuci muka. Malah, baju saya juga berlubang akibat terkena cecair itu," katanya ketika ditemui di rumahnya di sini, semalam.

Akibat kejadian itu, kornea matanya 70 peratus terbakar, manakala kulit bawah matanya turut melecur.

Beliau tidak menolak kemungkinan menjadi mangsa keadaan.

Katanya, kira-kira seminggu lalu, berlaku salah faham antara sekumpulan pelajar dengan seorang guru lain di sekolah itu.

Katanya, kejadian itu mungkin menyebabkan timbul perasaan tidak puas hati di kalangan pelajar terbabit dan mengambil tindakan sedemikian seperti membalas dendam.

"Selama satu tahun dua bulan mengajar di sekolah ini, saya tiada musuh atau memarahi sesiapa yang boleh mengakibatkan timbul perasaan tidak puas hati.

"Saya tak tahu motif sebenar tetapi kes ini sudah dilaporkan kepada polis," katanya.

"Doktor yang merawat memberikan cuti kecemasan dan perlu mendapatkan rawatan pakar mata dari semasa ke semasa," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Wan Abdul Bari Wan Abdul Talib yang dihubungi mengesahkan kejadian itu.

Katanya, polis akan menyiasat motif serangan dan meminta orang ramai yang mempunyai maklumat menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields di talian 03-22742222.

Berita Harian Online: 5 Mac 2009

Tiada ulasan: