PEKAN: Pengurusan sekolah, ibu bapa dan komuniti setempat perlu bekerjasama dan komited terhadap usaha meningkatkan prestasi pelajar setiap tahun.
Golongan ini perlu mengadakan perbincangan dari semasa ke semasa supaya peningkatan dan kemampuan pelajar dinilai terlebih dulu sebagai persediaan menghadapi peperiksaan.
Bagi tujuan itu, Ketua Setiausaha Negara (KSN) Tan Sri Mohd Sidek Hassan, berkata pengurusan sekolah perlu memanfaatkan pakej rangsangan pendidikan termasuk skim baucer tuisyen yang diperuntukkan dan mencari jalan terbaik meningkatkan prestasi pelajar.
"Jangan tunggu dan buang masa untuk melaksanakan pelan yang dirancang. Laksanakan terus setiap perancangan kerana ia berkaitan masa depan pelajar," katanya pada majlis taklimat sempena lawatan ke Sekolah Kebangsaan (SK) Cherok Paloh dekat sini, kelmarin.
Menurutnya, kaedah pengajaran dan pembelajaran (P&P) yang dilaksanakan perlu lebih bersistematik dan suasana persekitaran sekolah yang sesuai untuk pelajar.
"Tidak ada gunanya jika kemudahan lengkap yang disediakan seperti perpustakaan berhawa dingin gagal dimanfaatkan guru dan pelajar,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Pelajaran Pahang (JPP), Datuk Mohd Aziz Abdul Latif, berkata pihaknya akan memantau sekolah berkenaan dari semasa ke semasa untuk memastikan peningkatan pelajar dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) September depan.
"Beberapa program jangka panjang akan dilaksanakan sebagai persediaan murid menghadapi peperiksaan terutama pelajar Tahun Lima dan Enam.
“Saya mahu semua guru dan ibu bapa memberi komitmen terhadap usaha ini kerana kejayaan murid melambangkan kejayaan sekolah," katanya.
Berita harian Online: 3 Mac 2009
Tiada ulasan:
Catat Ulasan