Isnin, 8 Jun 2009

Fokus: Nilai sendiri pelajar

Oleh Norliza Abdullah

Proses penilaian peringkat sekolah meningkatkan kredibiliti guru dalam memantau prestasi murid

SISTEM penilaian peringkat sekolah yang akan dilaksanakan Kementerian Pelajaran menggantikan kaedah dilaksanakan ketika ini meningkatkan kredibiliti seseorang guru yang juga bertindak penilai prestasi pelajar.

Penilaian dan markah peperiksaan akan diambil kira dalam memberikan pelajar gred sebagai keputusan yang menentukan hala tuju selepas menamatkan alam persekolahan.

Dekan Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Datin Dr Siti Rahaya Ariffin, berkata penilaian peringkat sekolah membolehkan guru menilai prestasi serta membimbing murid tadi untuk memberikan yang terbaik sepanjang proses pembelajaran.

Beliau berkata, bagi melaksanakan sistem ini, guru perlu terbuka dalam menilai pencapaian murid kerana setiap individu itu mempunyai kelebihan dan kelemahan yang dapat dilihat guru.

Proses ini, katanya memerlukan latihan, selain modul khas yang perlu dijadikan panduan dalam melaksanakan kaedah berkenaan.

“Jika guru sudah dilatih menilai berasaskan sekolah, ia lebih baik kerana mereka yang paling rapat dengan pelajar. Pendekatan ini membolehkan guru memantau perkembangan dari semasa ke semasa.

“Ia penting kerana pelajar berada di landasan tepat mencapai kejayaan,” katanya kepada Berita Harian.

Menerusi kaedah ini, Siti Rahaya berkata, guru boleh menyediakan ujian berdasarkan prestasi pelajar. Bagi murid cerdas mereka boleh menjawab soalan yang lebih mencabar berbanding dilaksanakan menerusi sistem peperiksaan berpusat.

Wajar katanya, jika kaedah penilaian ini dilaksanakan secara saksama iaitu 50 peratus berasaskan penilaian dan peperiksaan.

“Kementerian Pelajaran ada mengadakan perbincangan dalam usaha memberikan latihan kepada guru, sekali gus membolehkan mereka mendapat gambaran tepat mengenai pelaksanaan sistem berkenaan.

“Guru didedahkan dengan kemahiran proses penilaian mengikut kriteria ditetapkan berasaskan penanda aras yang sesuai dengan tahap pencapaian murid. Ini termasuk penilaian terhadap kesungguhan serta inisiatif pelajar ketika belajar,” katanya.

Di peringkat universiti pula, Siti Rahaya berkata, pihaknya yang melahirkan sekitar 3,000 guru setahun sudah menyiapkan graduan kemahiran menilai pelajar berdasarkan prestasi masing-masing.

Beliau berkata, kemahiran diperoleh graduan itu dapat dilaksanakan di peringkat sekolah membabitkan ujian bulanan mahupun peperiksaan penggal.

Menerusi transformasi ini, katanya, diharapkan kemahiran itu dikembangkan dengan menilai prestasi pelajar secara keseluruhan.

Penilaian dikenali peperiksaan formatif itu menguji pelajar pada peringkat pertama setiap sesi persekolahan. Ia diikuti peperiksaan summatif iaitu ujian formal yang menentukan tahap sebenar pencapaian pelajar.

Kedua-dua peperiksaan itu membolehkan pelajar diuji dalam dua kategori penilaian, sekali gus memastikan pelajar bersedia sama ada menerusi ujian di peringkat sekolah mahupun pusat.

Penilaian ini, kata Rahaya, sudah dilaksanakan dalam sistem persekolahan di kebanyakan negara maju antaranya, United Kingdom, Amerika Syarikat dan sebahagian negara di Eropah.

Di sana beliau berkata, guru sentiasa memastikan perkembangan pelajar berdasarkan prestasi mereka sama ada di dalam kelas mahu ketika menjayakan projek. Semua aktiviti mendapat markah yang kemudian dinilai sebagai keputusan akhir pencapaian dan diberikan gred.

“Saya mengharapkan sistem penilaian peringkat sekolah ini memberi peluang guru mengenal pelajar masing-masing dengan lebih dekat.

“Diharapkan guru menilai dengan penuh tanggungjawab, selain jujur, telus dan tidak membelakangkan etika perguruan dengan mengenepikan rasa pilih kasih kerana penilaian mereka penentu masa depan pelajar,” katanya.

Berita Harian Online: 8 Jun 2009

Tiada ulasan: