Isnin, 8 Jun 2009

Peluang baiki kelemahan murid

SISTEM penilaian peringkat sekolah yang bakal dilaksanakan menggantikan sistem yang ada kini memberi peluang guru menilai sendiri prestasi pelajar mereka berdasarkan kesungguhan mereka menjalankan tugasan.

Penolong Kanan Kokurikulum Sekolah Kebangsaan (SK) Tanjong Malim, Perak, Zaleha Ahmad, berkata kaedah itu sebagai amanah kepada guru yang menilai pelajar.

Beliau berkata, sistem itu juga memberi peluang guru memperbaiki kelemahan murid dan membimbing mereka dalam mencapai kejayaan.

Katanya, walaupun ia menambah tugas sedia ada, berbanding mengajar, amanah yang diberikan semakin besar, sekali gus menuntut kesabaran serta kecekalan dalam melaksanakan tugas dengan dedikasi.

Bagi mengurangkan beban, Zaleha berkata, guru memerlukan modul khas dalam proses menilai prestasi pelajar berdasarkan kecekapan dan pencapaian setiap individu.

Walaupun keadaan ini mungkin menimbulkan masalah, namun diharapkan lama kelamaan ia menjadi mudah dan proses penilaian memberi kebaikan semua pihak terutama pelajar.

“Kami di peringkat sekolah menunggu garis panduan daripada jabatan pelajaran negeri mengenai standard mengukur prestasi pelajar.

“Garis panduan itu perlu standard dan dapat diguna pakai sekolah seluruh negara, sejajar silibus,” katanya ketika ditemui di Behrang, baru-baru ini.

Sementara itu, guru SK Kuala Kubu Bahru, Selangor, Norasikin Mohamad, berkata pihaknya bersedia melaksanakan proses penilaian berkenaan.

Beliau berkata, sebelum ini, pihaknya sudah melaksanakan proses penilaian berdasarkan prestasi dan pencapaian mereka dalam setiap ujian bulanan mahupun peperiksaan pertengahan tahun.

Penilaian ini hanya di peringkat sekolah kerana pada penghujung tahun terutama bagi murid Tahun Enam, mereka akan menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR).

“Lazimnya berdasarkan penilaian awal itu, guru dapat mengenal pasti kelemahan murid dan membantu mereka meningkatkan prestasi dengan memberi tumpuan sepenuhnya kepada mata pelajaran yang lemah,” katanya.

Norasikin berkata, pihaknya mengharapkan kementerian menyediakan latihan dari semasa ke semasa. Persediaan ini membolehkan guru bersedia dari segi fizikal dan mental.

“Segala markah dinilai akan dibawa ke peringkat pusat untuk digabungkan dengan keputusan peperiksaan akhir. Keputusan ini bakal menjadi penanda aras pencapaian pelajar.

“Keputusan diumumkan dalam bentuk gred ini melayakkan murid untuk memohon mendapatkan sekolah berasrama penuh bagi lulusan UPSR dan ke universiti bagi pelajar Tingkatan Lima,” katanya.

Sistem ini, kata Norasikin adil kerana tahap pencapaian setiap murid berbeza. Ada kalanya mereka mencapai keputusan baik ketika di Tahun Satu tetapi merosot pada tahun dua atau sebaliknya.

“Turun naik pencapai murid dapat dikesan lebih awal dan guru akan memberi tumpuan lebih kepada subjek yang memerlukan bimbingan tambahan.

“Jika prestasi dinilai berdasarkan peperiksaan semata-mata, dikhuatiri ada individu yang tidak dapat memberikan yang terbaik ketika peperiksaan mungkin disebabkan pelbagai faktor antaranya kesihatan atau masalah di sekelilingnya.

“Sepanjang proses penilaian ini juga guru dapat mengesan kelebihan yang ada pada murid berkenaan sama ada bakat terpendam atau kebolehan seni yang ada untuk dikembangkan,” katanya.

Berita Harian Online: 8 Jun 2009

Tiada ulasan: