MACHANG 8 Jun - Seorang guru maut, manakala enam lagi parah apabila sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) bertembung dengan sebuah Proton Iswara dalam kemalangan ngeri di Kilometer 50.2, Jalan Kota Bharu-Kuala Krai dekat sini awal pagi ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 6.30 pagi itu, guru terbabit, Noraznita Mokhtar, 35, meninggal dunia di tempat kejadian selepas tersepit dalam kereta Iswara yang dinaiki bersama suami dan seorang anak perempuannya.
Suaminya, Raja Azman Raja Ismail, 37, dan anak mereka, Raja Aliyah Zulaikha, 11, cedera parah dan kini dirawat di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian. Keadaan mereka dilaporkan stabil.
Pemandu MPV terbabit, Ahmad Jessree Kamaruddin, 39, yang merupakan seorang kakitangan kerajaan serta tiga anaknya Aliyah Shahirah, 2, Anis Syafiqah, 5, dan Mohd. Arif, 7, turut parah dalam kemalangan itu.
Bagaimanapun, isteri kepada Ahmad Jessree, Susilawati Zakaria, 30-an, hanya cedera ringan.
Kejadian berlaku ketika kenderaan yang dinaiki keluarga Ahmad Jessree dalam perjalanan dari Kuala Lumpur untuk pulang ke Kota Bharu.
Ketua Polis Daerah Machang, Asisten Supritendan Loo Lian Lay berkata, sebaik tiba di tempat kejadian, MPV terbabit dipercayai terbabas lalu masuk ke laluan bertentangan sebelum bertembung dengan kereta yang dinaiki keluarga Noraznita.
"Berikutan pertembungan itu, guru terbabit tersepit di dalam kenderaannya dan dia terpaksa dikeluarkan oleh sepasukan anggota bomba dan penyelamat.
"Kesemua mangsa yang cedera parah dikejarkan ke HUSM oleh ambulans dan semua mereka kini dilaporkan dalam keadaan stabil," katanya di sini hari ini.
Lian Lay memberitahu, mayat mangsa kemudian dibawa ke Hospital Machang untuk bedah siasat sebelum diserahkan kepada keluarganya yang tinggal di Kampung Temangan, Machang untuk urusan pengkebumian.
Berdasarkan siasatan awal polis, kata beliau, kemalangan itu dipercayai berpunca daripada pemandu MPV yang disyaki mengantuk dan gagal mengawal kenderaannya lalu bertembung dengan kereta mangsa.
Tambahnya, siasatan kini dilakukan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Utusan Malaysia Online: 9 Jun 2009
Tiada ulasan:
Catat Ulasan