Isnin, 8 Jun 2009

Jurang besar: Bilangan guru lelaki, wanita diseimbangkan

PONTIAN 7 Jun - Kementerian Pelajaran akan memberi perhatian khusus dalam usaha menyeimbangkan jumlah guru lelaki dan wanita untuk jangka masa panjang.

Pengarah Bahagian Pendidikan Guru (BPG), Kementerian Pelajaran, Datuk Misrah Ibrahim berkata, jurang nisbah peratusan guru lelaki dan wanita masih besar walaupun semakin ramai lelaki meminati profesion perguruan.

''Sebenarnya ramai lelaki yang memohon ke Institut Pendidikan Guru (IPG) setiap tahun iaitu 35 peratus berbanding 65 peratus jumlah wanita yang memohon dan layak,'' katanya.

Beliau menyatakan demikian pada majlis Sambutan Hari Guru peringkat daerah di Sekolah Menengah Kebangsaan Air Baloi, dekat sini baru-baru ini.

Menurutnya, kementerian akan cuba memberi perhatian lebih kepada pemohon lelaki pada pengambilan kali ini, tetapi ia tidak bermaksud mengenepi soal kualiti.

''Namun apabila jumlah permohonan wanita lebih ramai, maka peluang dan kemungkinan golongan itu untuk mendapat tempat adalah lebih cerah.

''Pada masa ini ramai yang berminat menjadi guru apabila 68,000 calon telah membuat permohonan memasuki program Kursus Perguruan Lepasan Ijazah (KPLI) sedangkan kita hanya memerlukan 2,000 calon sahaja,'' katanya.

Misrah berkata, IPG masih kekurangan calon KPLI j-QAF dan meminta mereka yang berlatarbelakang kelayakan mata pelajaran Agama Islam dan Bahasa Arab untuk memohon.

''Bagi KPLI dan KPLI J-Qaf keutamaan akan diberikan kepada calon-calon tempatan di kawasan pedalaman khasnya di Sabah dan Sarawak kerana mengambil kira orang tempatan lebih memahami budaya setempat dan lebih berkesan,'' katanya.

Beliau berkata, program latihan perguruan menetapkan banyak kriteria dan pelbagai saringan yang diambil kira mengikut Standard Guru Malaysia (SGM) sebagai rujukan piawaian kualiti guru.

Pada majlis itu, Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran (SPP), Datuk Kusaini Hasbullah turut dianugerah Tokoh Guru Pontian 2009.

Utusan Malaysia Online: 8 Jun 2009

Tiada ulasan: