KUALA TERENGGANU 7 Jun - Kerajaan mungkin mewujudkan sistem pendidikan yang dapat mempertemukan tiga aliran pendidikan pada satu peringkat bagi memupuk integrasi nasional sejajar dengan konsep 1Malaysia.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi (gambar) berkata, perkara itu baru dibincangkan di Kabinet dan ia masih perlu diperincikan pelaksanaannya.
Menurutnya, ketika ini sistem pendidikan iaitu kebangsaan, jenis Cina atau India dan agama tidak membantu mempertemukan fikiran bagi membentuk perpaduan negara.
Beliau yang juga Menteri Pertahanan berkata, cadangan tersebut dibuat bukan bermaksud untuk menolak sistem pendidikan sedia ada.
''Usaha perlu dicari pada satu tahap atau peringkat untuk membentuk integrasi melalui pendidikan. Kurikulum kebangsaan harus diberikan penekanan dan bukan ada agenda mengikut sistem pendidikan sekarang.
''Ia harus dibuat bagi mencapai tahap negara bangsa dengan kemajmukan dan kepelbagaian tanpa kompromi integrasi nasional," ujarnya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Seminar Gagasan Satu Malaysia: Kesinambungan Satu Perjuangan di sini hari ini yang turut dihadiri Menteri Besar, Datuk Ahmad Said.
Ahmad Zahid berkata, aliran sedia ada baik, tetapi pada satu peringkat perlu mengikut satu sistem pendidikan kebangsaan yang sama iaitu mungkin di peringkat sekolah menengah atau menengah atas.
''Kita menghormati pendidikan asas bahasa ibunda namun pada satu peringkat kita perlu mewujudkan satu pendidikan kebangsaan bagi memupuk integrasi," jelasnya.
Utusan Malaysia Online: 8 Jun 2009
Tiada ulasan:
Catat Ulasan