Ahad, 7 Jun 2009

Pendidikan strategi utama ke arah Malaysia berjaya

KUALA LUMPUR 6 Jun - Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, pencapaian cemerlang dalam bidang pendidikan adalah strategi utama untuk menjadikan Malaysia sebuah negara berpendapatan tinggi.

Sehubungan itu, Perdana Menteri menggesa rakyat Malaysia supaya meletakkan kerangka minda beserta kemahiran dan kebudayaan di landasan yang betul ke arah menjadikan Malaysia negara berjaya.

''Menjadikan Malaysia sebuah negara berpendapatan sederhana kepada tinggi adalah matlamat kerajaan dan sebab itu untuk mencapainya saya memulakan formula 1Malaysia.

''Saya percaya konsep 1Malaysia kalau kita hayati akan dapat menjadikan negara Malaysia kita menjadi kuat, lebih gagah dan lebih berjaya,'' katanya.

Najib berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyampaian Anugerah Pelajar Cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2008 anjuran akhbar Malaysia Nanban di sebuah hotel terkemuka di sini malam ini.

Perdana Menteri dalam ucapannya itu juga menggesa rakyat Malaysia supaya tidak lagi sekadar bersikap toleransi antara satu sama lain berikutan perbezaan yang wujud antara rakyat berbilang kaum.

Sebaliknya beliau mahukan rakyat Malaysia menjadikan kewujudan masyarakat majmuk sebagai satu kekuatan kepada negara ini.

''Anak-anak Malaysia berketurunan India yang cemerlang bukan sahaja menguntungkan kaum India sahaja sebaliknya yang untung adalah negara.

"Begitulah juga dengan anak- anak orang Melayu dan Cina, jika mereka mendapat keputusan cemerlang maka yang beruntung adalah negara kita. Inilah semangat yang perlu ada bersesuaian dengan falsafah 1Malaysia,'' jelasnya.

Beliau juga mengingatkan semua pihak bahawa negara ini mempunyai masa depan yang cerah kerana kepelbagaian kaum yang wujud adalah satu satu kekuatan.

Katanya, kaum-kaum yang ada perlu berusaha membawa negara kepada kecemerlangan melalui kerjasama dan muafakat yang berlandaskan realiti politik negara ini.

"Realiti politik itulah yang sebenarnya boleh menguntungkan semua kaum, termasuk kaum India," katanya.

Kata beliau, bertindak di luar realiti politik negara ini tidak akan membantu sesiapa pun untuk maju.

Tambah Najib, dalam konteks sama, proses pembinaan negara bangsa tidak boleh diletakkan sepenuhnya di bahu kerajaan semata-mata tanpa rakyat pelbagai kaum juga berusaha ke arah itu.

Utusan Malaysia Online: 7 Jun 2009

Tiada ulasan: