Selasa, 9 Jun 2009

PPSMI: Jangan korbankan bahasa kebangsaan

KUALA LUMPUR 8 Jun – Bahasa Malaysia yang menjadi bahasa kebangsaan tidak sepatutnya dikorbankan melalui pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Koh Tsu Koon berkata, ia hanya merugikan masyarakat hanya semata-mata kerana mahu mengejar kemajuan dalam dua bidang itu dengan pantas melalui penggunaan bahasa Inggeris.

“Saya khuatir anak-anak kita nanti tidak tahu mengira dalam bahasa kebangsaan. Ini satu kerugian,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi panel ‘Forum Perpaduan Melalui Bahasa Kebangsaan’ sempena Seminar Bahasa Kebangsaan dan Masyarakat Cina anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) di sini hari ini.

Turut menjadi panel dalam forum dipengerusikan bekas Ketua Pengarah DBP, Datuk A. Aziz Deraman itu ialah Timbalan Setiausaha Agung Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Bersekutu Malaysia (ACCCIM), Datuk David Chua Kok Tee.

Tsu Koon yang merupakan bekas pendidik berkata, amat merugikan jika dari peringkat asas pembelajaran kanak-kanak sudah tidak ada istilah atau unsur sains dan matematik dalam bahasa kebangsaan akibat penggunaan bahasa asing dalam pengajaran dan pembelajarannya.

Sehubungan itu, katanya, kerajaan diminta membuat satu keputusan munasabah untuk memastikan perkara itu tidak terjadi dan pada masa sama, terus memperkukuhkan bahasa Inggeris.

Utusan Malaysia Online: 9 Jun 2009

Tiada ulasan: