Rabu, 3 Jun 2009

Sekolah Terbilang: Transformasi ICT

Oleh Norliza Abdullah
lizz@bharian.com.my


Alimuddin (kiri) melancarkan Program Pembestarian Sekolah Luar Bandar di SMK Besout, Sungkai, baru-baru ini.

Guru SMK Felda Besout gigih dedah kemahiran komputer kepada pelajar

GURU perlu sabar dan tekun dalam menerapkan kesedaran celik teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) di kalangan pelajar kerana usaha mengubah minda individu itu memerlukan kesabaran serta dedikasi berterusan.

Proses transformasi itu memerlukan masa dan masing-masing perlu peka kepada perubahan semasa dan mengguna pakai dalam kegiatan pengajaran dan pembelajaran (P&P) supaya sebati dengan kegiatan harian pelajar.

Sehubungan itu, Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Felda Besout, Sungkai, Perak, Abdul Kifli Mat Sih, berkata walaupun terletak di jauh ke pedalaman, ia tidak menjadi halangan baginya meningkatkan kesedaran ICT di kalangan pelajar.

Bermula dengan pendidikan asas, beliau berkata, semua pelajar Tingkatan Satu digalak menggunakan ICT dalam proses pembelajaran masing-masing.

“Kesungguhan serta kegigihan 77 guru mendidik pelajar menerusi penggunaan ICT membolehkan hampir semua 970 pelajar mampu menguasai kemahiran berkenaan, sekali gus melancarkan proses P&P.

SMK Felda Besout menjadi tuan rumah majlis pelancaran program pembestarian sekolah luar bandar.

“Kami akan memastikan pelajar Tingkatan Satu sudah menggunakan kemudahan maklumat komputer dengan sebaik mungkin.

“Semua kemudahan disediakan dengan tiga makmal komputer dan satu bilik sokongan ICT serta tenaga pakar yang mengendalikannya bagi memastikan sesi pembelajaran berjalan lancar,” katanya kepada Berita Harian, baru-baru ini.

Terdahulu, SMK Besout yang juga Sekolah Bestari menjadi tuan rumah majlis pelancaran program pembestarian sekolah luar bandar yang disempurnakan Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Alimuddin Mohd Dom.

Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif Multimedia Development Corporation (MDeC) Datuk Badlisham Ghazali.

Program dengan kerjasama Kementerian Pelajaran dan MDeC mensasarkan 50 sekolah luar bandar dalam usaha memacu inisiatif MSC Malaysia. Sebagai permulaan, 15 sekolah luar bandar dipilih tahun ini.

Bagi merealisasikan usaha itu, Abdul Kifli berkata, pihaknya mencadangkan ibu bapa menyediakan komputer di rumah dengan kemudahan internet bagi memudahkan anak mereka melayari laman web pendidikan supaya masing-masing dapat meningkatkan pengetahuan sedia ada.

Ketika harga komoditi sawit meningkat, beliau berkata, dia sudah mencadangkan ibu bapa supaya memperuntukkan sedikit wang untuk tujuan itu kerana kemudahannya boleh dinikmati seluruh ahli keluarga.

Begitu juga dengan guru, katanya, semua pendidik digalakkan memiliki komputer peribadi kerana kemudahan itu melancarkan proses pengajaran mereka, selain mendapatkan maklumat tambahan sebagai bahan tambahan di bilik darjah.

Dalam perkembangan berkaitan, Alimuddin berkata, sekolah bestari adalah projek mega negara bagi menyahut cabaran wawasan 2020 membangunkan satu sistem ekonomi yang berasaskan pengetahuan atau k-economi supaya dapat menghadapi persaingan negara maju.

“Cabaran menuntut agar negara membangunkan sumber tenaga yang mempunyai kemahiran k-pekerja, celik dan mahir dalam ICT, mampu bersaing pada peringkat tempatan serta global dengan memiliki jati diri tinggi.

“Selaras hasrat ini, kementerian mengenal pasti ICT sebagai faktor penting membantu pencapaian matlamat pembangunan pendidikan bermula 2001 hingga 2010,” katanya.

Kementerian mensasarkan 500 sekolah mencapai taraf lima bintang, manakala selebihnya sekurang-kurangnya tiga bintang.

Program juga bertujuan mewujudkan model pelaksanaan menaik taraf sekolah luar bandar seperti sekolah menengah harian, sekolah rendah harian, sekolah Orang Asli dan Penan, sekolah agama, sekolah Felda, sekolah jenis kebangsaan (SJK) Cina dan Tamil.

Berita Harian Online: 3 Jun 2009

Tiada ulasan: