Oleh Rosniza Mohd Taha
yoniza@bharian.com.my
BANGUNAN SMK Convent Bukit Nanas yang teguh binaannya hingga kini membayangkan keteguhan sikap dan semangat warga sekolah berusia 110 tahun itu. |
SMK Convent Bukit Nanas diabadikan dalam Setem Kenang-kenangan Sekolah Premier
SEKOLAH Menengah Kebangsaan (SMK) Convent Bukit Nanas (CBN) yang tersenarai salah sebuah sekolah tertua di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL) layak berbangga kerana banyak kejayaan sudah ditempa, selain melahirkan pelajar berwibawa dalam pelbagai bidang.
Antara penghormatan terbaru diterima sekolah berusia 110 tahun itu adalah apabila Pos Malaysia Berhad mengabadikan dalam Setem Kenang-kenangan Sekolah Premier pada 16 Disember lalu.
Sekolah itu bukan saja terkenal dan disegani aspek akademik malah turut mengambil berat pembabitan dan kejayaan kokurikulum pelajar.
Ramai lepasan sekolah berkenaan menjadi tokoh pelbagai bidang termasuk politik, kerjaya profesional, sukan dan seni.
Ann Khoo |
Antaranya bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tan Sri Rafidah Aziz; jaguh gimnastik kebangsaan, Farrah Hani Imran dan artis terkenal Fauziah Ahmad Daud.
Pengetuanya, Ann Khoo, berkata institusi yang ditubuhkan pada 1899 itu mampu berbangga kerana kebanyakan
tokoh wanita di negara ini mendapat pendidikan di sekolah itu dan membesar dengan terapan disiplin tinggi.
Lebih utama, katanya, semangat cintakan sekolah yang menebal membuatkan pelajar, guru dan kakitangan akan terus mengamalkan nilai berkenaan walau ke mana pun mereka pergi.
GURU Kelas Reka Cipta, Woon Seet Leng (kiri), memberi tunjuk ajar kepada pelajarnya, Intan Azwani Kencana Mohd Radzuan dan Khu Sofea Khushairi (tengah). |
“Bangunan sekolah yang teguh binaannya hingga kini membayangkan keteguhan sikap dan semangat warga sekolah yang berusia lebih sedekad ini.
“Ia sejajar misi ‘Warga CBN mendukung cita-cita meneruskan warisan kecemerlangan akademik dan kokurikulum di samping membentuk peribadi mulia dalam persekitaran bersih, ceria dan selamat dengan kerjasama komuniti’.
"Komitmen semua pihak termasuk bekas warga sekolah dan 1,350 pelajar serta 91 guru sentiasa bekerjasama melaksanakan misi ini menunjukkan semangat cintakan sekolah yang tebal,” katanya.
Mengimbau kejayaan sekolah, Ann berkata, ia tersenarai dalam 10 sekolah terbaik peringkat WPKL dalam peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
“Antaranya, pada tahun lalu kami mencapai lonjakan saujana dalam SPM dengan gred purata sekolah 3.03, sekali gus menduduki tempat kelima terbaik di kalangan 93 sekolah di WPKL.
“Pencapaian PMR juga memberangsangkan apabila mencatat 99.6 peratus, manakala jumlah pelajar mendapat 7A dan 8A meningkat kepada 87 berbanding 68 pada tahun sebelumnya,” katanya.
Mengenai pencapaian kokurikulum, Ann berkata, kegiatan bahasa Inggeris, gimrama dan pancaragam sekolah yang menyerlah hingga mencatat pelbagai kemenangan di peringkat antarabangsa dijadikan bidang kebitaraan sesuai statusnya sebagai sekolah kluster.
INFO: Prestasi Kokurikulum dan KoAkademik CBN 2009
Antarabangsa
Kebangsaan
Zon:
Berita Harian Online: 3 Jun 2009
Tiada ulasan:
Catat Ulasan