Rabu, 3 Jun 2009

Sabah & Sarawak: Masalah penginapan pelajar selesai

KIULU: Masalah penginapan yang dihadapi pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tun Fuad Stephens di sini, dijangka dapat dikurangkan selepas ada pihak tampil menyumbang pembinaan asrama tambahan untuk sekolah itu.

Asrama mampu menampung 100 pelajar bernilai RM200,000 itu disumbangkan bekas pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Kulim, Kedah 1979-1983 dan Perbadanan Pinjaman Sabah (PPS) yang dijadualkan siap pembinaannya penghujung tahun ini.

Pengetua SMK Tun Fuad Stephens, Martha Anthony Bongkok, berkata ketika ini sekolah itu dilengkapi asrama yang cuma mampu menampung 254 daripada 1,200 pelajarnya.

"Masalah dihadapi SMK Tun Fuad Stephens ialah penempatan pelajar yang sebahagian besarnya datang dari kampung terpencil di Kiulu.

"Lebih 100 pelajar yang benar-benar memerlukan tempat tinggal terpaksa menumpang di rumah saudara atau menyewa rumah hampir setiap tahun," katanya pada majlis pertemuan bagi pembinaan asrama itu di sini, kelmarin.

Bekas pelajar MRSM Kulim diketuai Raja Ali Raja Othman manakala PPS oleh Pengurus Besarnya, Datuk Vincent Pung.

SMK Tun Fuad Stephens diwakili Pengetuanya, Martha Anthony Bongkok manakala Persatuan Ibu Bapa Guru (PIBG) SMK Tun Fuad Stephens oleh Pengerusinya, Joisin Romut.

Martha berkata, daripada sembilan sekolah menengah di Tuaran, hanya SMK Tun Fuad Stephens beroperasi di kawasan yang luas dengan rangkaian jalan raya belum begitu baik.

Katanya, antara langkah diambil PIBG ialah membina beberapa asrama desa di sekitar sekolah untuk menempatkan pelajar yang tidak mempunyai tempat tinggal.

Berita Harian Online: 3 Jun 2009

Tiada ulasan: