Rabu, 10 Jun 2009

BI SPM: Talian khas cadangan

KUALA LUMPUR 9 Jun - Kementerian Pelajaran telah menyediakan beberapa saluran khas kepada orang ramai yang mahu mengemukakan cadangan dan pandangan berhubung isu mewajibkan calon lulus Bahasa Inggeris sebagai syarat lulus Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Menurut kenyataan Kementerian Pelajaran yang dikeluarkan di sini hari ini, cadangan tersebut boleh disalurkan ke talian khidmat pelanggan kementerian iaitu di nombor 03-77237070 atau e-mel di kpkpm@moe.gov.my.

''Kementerian Pelajaran hanya ingin mengumpul pandangan berhubung perkara itu maka tiada sebarang tempoh yang ditetapkan untuk orang ramai mengemukakan pendapat,'' kata kenyataan itu.

Semalam, Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin mempelawa orang ramai mengemukakan pandangan mengenai isu mewajibkan calon lulus bahasa Inggeris sebagai syarat lulus SPM.

Sebelum ini, katanya, beliau dimaklumkan bahawa ramai pelajar di luar bandar akan gagal SPM jika Bahasa Inggeris dijadikan syarat untuk lulus peperiksaan tersebut.

Utusan Malaysia Online: 10 Jun 2009

Tiada ulasan: