Selasa, 31 Mac 2009

Syor PPSMI bermula Tahun Empat

Oleh Sazarina Shahrim dan Liza Wasilan
bhnews@bharian.com.my

KUALA LUMPUR: Kementerian Pelajaran mencadangkan mata pelajaran Sains dan Matematik diajar semula dalam bahasa ibunda di sekolah rendah, manakala penggunaan bahasa Inggeris dalam dua subjek itu diteruskan di sekolah menengah.

Kementerian turut mencadangkan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) hanya dimulakan pada Tahun Empat hingga sekolah menengah atau menggunakan bahasa Melayu dan bahasa ibunda di sekolah rendah dan sekolah menengah bagi mata pelajaran terbabit.

Selain itu, sekolah diberi kuasa menentukan penggunaan bahasa pengantar dua subjek itu, penggunaan bahasa Melayu atau bahasa ibunda di Tahun Satu hingga Tiga diikuti dwibahasa pada Tahun Empat hingga Enam dan penggunaan bahasa Inggeris sepenuhnya di sekolah menengah.

Menterinya, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, perkara itu adalah antara cadangan dikemukakan kementeriannya kepada Kabinet berhubung PPSMI.

"Kerajaan tidak akan menolak dasar PPSMI ataupun menerima dasar itu secara bulat-bulat. Kita tidak perlu melihat perkara ini sebagai situasi kalah-kalah, tolak bulat-bulat atau terima bulat-bulat.

"Apa yang kita hendak lihat adalah menyesuaikannya mengikut pencapaian anak-anak kita," katanya ketika menjawab soalan tambahan Senator Datuk Dr Firdaus Abdullah di Dewan Negara, semalam.

Hishammuddin berkata, cadangan itu dibuat hasil daripada pelbagai perbincangan, mesyuarat dan persidangan secara terbuka yang dibuat, antaranya membabitkan ahli akademik, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), pihak kerajaan dan pembangkang.



Pada sidang media selepas itu, beliau yang juga Naib Presiden Umno menafikan dakwaan kononnya beliau cuba menidakkan peranan parti komponen Barisan Nasional (BN) dalam proses kemerdekaan negara ketika memberikan ucapan penggulungan pada Perhimpunan Agung Umno, Sabtu lalu.

Beliau berkata, dakwaan itu yang disiarkan dalam akhbar berbahasa Cina, tidak bertanggungjawab kerana ucapannya sudah disalah tafsir.

Berita Harian Online: 31 Mac 2009

Program sekolah bestari diperluas

CYBERJAYA: Selepas 88 sekolah dipilih untuk program sekolah bestari, Kementerian Pelajaran akan memperluaskan rancangan ini kepada 15 sekolah di kawasan luar bandar di seluruh negara.

Ketua Pegawai Eksekutif Multimedia Development Corporation Sdn Bhd (MDeC) Datuk Badlisham Ghazali berkata nama sekolah-sekolah itu dijangka diumumkan bulan depan.

Beliau berkata dua sekolah, Sekolah Menengah Ampang Pecah, Kuala Kubu Baru, Selangor dan Sekolah Kebangsaan Felda Palong 14, Gemas, Negeri Sembilan adalah antara 15 sekolah itu yang menjadi sekolah contoh.

Antara faedah yang diperoleh oleh dua sekolah ini termasuk komputer notebook, hubungan Internet tanpa wayar (Wi-Fi) dan WiMAX.

"Kita nak buat showcase sebab kita tahu mungkin di sekolah-sekolah luar bandar ini ada masalah lain seperti bekalan elektrik yang tidak terjamin.

"Kita mahu kaji bagaimana kita sebenarnya boleh mengatasi atau mengurangkan masalah ini dan manfaatnya. Jika kementerian bersetuju mungkin mereka akan membenarkan lebih banyak pelaksanaannya," katanya pada majlis prapelancaran program ini di sini hari ini. - Bernama

myMetro: 31 Mac 2009

Guru cemerlang disaran hasilkan buku

KOTA BHARU 30 Mac – Guru-guru cemerlang di negara ini disaran agar mengabadikan pengalaman dan kepakaran mereka dalam bentuk buku yang boleh dimanfaatkan oleh masyarakat secara meluas.

Timbalan Pengarah Bahagian Teknologi Pendidikan (BTP) Kementerian Pelajaran, Dr. Masnah Ali Muda berharap, lebih ramai guru cemerlang melibatkan diri dalam penghasilan buku ilmiah dan juga fiksyen bagi mengisi pasaran.

‘‘Adalah merugikan sekiranya kepakaran dan pengalaman ribuan guru cemerlang yang kaya dengan idea bernas tidak dimanifestasikan dalam bentuk penulisan.

‘‘Malaysia ketandusan judul buku dalam bahasa Melayu bagi mengimbangi lambakan buku picisan di pasaran,” ujarnya semasa berucap pada majlis perasmian Pesta Buku Kelantan 2009 di Dewan Jubli Perak di sini hari ini.

Menurut Dr. Masnah, untuk mencapai hasrat ini, perkongsian pintar boleh diwujudkan antara pihak kementerian, Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) dan syarikat penerbitan yang akan menerbitkan buku-buku nukilan guru cemerlang.

“Kita akan kehilangan khazanah ilmu daripada kelompok guru cemerlang ini sekiranya kepakaran mereka tidak diterjemahkan dalam bentuk penulisan buku,” katanya.

Katanya lagi, walaupun perkembangan dalam bidang teknologi maklumat dan komunikasi menyaksikan ilmu semakin banyak disebar dalam bentuk yang lain, buku tetap menjadi alat menjana minda yang penting di peringkat sekolah.

Beliau seterusnya bangga dengan kejayaan Zainon Hamzah, guru besar Sekolah Kebangsaan Bechah Laut, Tanah Merah, yang telah menghasilkan buku bertajuk Grammar Vocabulary.

Buku itu berjaya menarik minat pelajar sekolah rendah sehingga menjadi rujukan meluas oleh pelajar.

Dr. Masnah berkata, syarikat penerbitan boleh menganjurkan bengkel penulisan dengan kerjasama JPN kepada guru cemerlang dan guru-guru lain yang berminat.

Katanya, langkah itu boleh menghasilkan lebih banyak judul buku daripada kalangan warga pendidik.

Pada majlis tersebut, Zainon turut menerima sijil dan RM1,000 sebagai tanda penghargaan atas usahanya menghasilkan buku tersebut.

Sementara itu, Dr. Masnah memberitahu, setiap tahun, pihak BTP memohon kepada bahagian perbendaharaan Kementerian Pelajaran Malaysia untuk pembelian buku bagi memastikan setiap pusat sumber sekolah (PSS) dibekalkan dengan nisbah buku yang ditetapkan.

Katanya lagi, pengurangan kepada peruntukan yang dipohon biasanya hanya dilakukan sekiranya ada penjimatan.

Utusan Malaysia Online: 31 Mac 2009

Guru sekolah maut, suami parah dalam kemalangan


ANGGOTA bomba dan penyelamat mengangkat mangsa yang cedera dalam kemalangan di Kilometer 405.6 Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) awal pagi, semalam. - UTUSAN/ABD. RAHMAN SALEH


HULU SELANGOR 30 Mac - Seorang guru wanita terbunuh manakala suaminya parah apabila kereta Proton Saga yang mereka naiki terbabas sebelum merempuh sebuah kereta di Kilometer 405.7, Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS) berhampiran susur keluar Slim River, dekat sini awal pagi ini.

Mangsa, Rakiah Ashari Hassan Basri, 46, meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala dan kaki dalam kejadian pukul 5.30 pagi.

Difahamkan, ketika kejadian, Rakiah bersama suaminya, Zainal Hamzah, 49, dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Tapah, Perak.

Allahyarham Rakiah dikatakan sedang mengambil kursus pengajian di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Tanjung Malim. Ketika kejadian, suaminya baru sahaja menjemput mangsa untuk bercuti di rumah mereka.

Bagaimanapun, sebaik tiba di lokasi kejadian, suami mangsa dikatakan gagal mengawal kenderaan yang dipandunya lalu merempuh belakang sebuah kereta jenis Mercedes Benz E 240.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Supritendan Norel Azmi Yahya Affendi berkata, berikutan rempuhan yang kuat itu, kereta pasangan tersebut terbabas ke kiri lebuh raya.

"Dua buah kereta lain iaitu Toyota Vios dan sebuah van merempuh kereta mangsa dari arah yang sama.

"Berikutan rempuhan itu, mangsa dan suaminya tersepit dalam kenderaan mereka," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Katanya, ekoran kemalangan terbabit, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Slim River dikejarkan ke tempat kejadian bagi mengeluarkan mangsa yang tersepit.

Menurut Norel Azmi, kejadian itu melibatkan empat buah kenderaan dan 13 penumpang serta pemandu.

"Mangsa yang berasal dari Taman Indah, Tapah meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan di kepala dan kaki.

"Suaminya pula cedera parah di kaki dan kepala dikejarkan ke Hospital Slim River. Keadaannya kini dilaporkan stabil," katanya.

Katanya, mayat Allahyarham Rakiah yang bertugas di sebuah sekolah di Taiping, Perak dihantar ke Hospital Kuala Kubu Bharu untuk bedah siasat.

Sehubungan itu, polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kemalangan itu supaya menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hulu Selangor di talian 03-60641222 bagi membantu siasatan.

Utusan Malaysia Online: 31 Mac 2009

PPSMI diteruskan di sekolah menengah?

KUALA LUMPUR 30 Mac - Keputusan kerajaan berhubung isu Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) yang akan diumumkan tidak lama lagi, tidak semestinya dengan meneruskan dasar itu bulat-bulat atau menolaknya sama sekali.

Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, apa yang diutamakan ialah menyesuaikan dasar itu mengikut pencapaian kanak-kanak tempatan.

"Sama ada kita memansuhkan PPSMI atau tidak, saya percaya itu tidak menentukan atau memastikan bahasa kebangsaan dimartabatkan.

"Kementerian mempunyai cadangan yang hendak dibentangkan kepada Jemaah Menteri. Salah satu ialah menggunakan bahasa Melayu di sekolah rendah tetapi meneruskan PPSMI di sekolah menengah," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan daripada Senator Datuk Dr. Firdaus Abdullah pada sesi soal jawab di Dewan Negara di sini hari ini.

Jelas Hishammuddin, cadangan lain ialah memulakan PPSMI di tahun empat sehingga sekolah menengah dan menggunakan bahasa penghantar yang ditentukan oleh sekolah sendiri.

"Satu lagi cadangan ialah menggunakan bahasa Melayu atau bahasa ibunda di tahun satu hingga tiga diikuti dwibahasa pada tahun empat hingga enam dan penggunaan bahasa Inggeris sepenuhnya di sekolah menengah.

"Jangan lihat PPSMI saja yang menentukan kelangsungan dan kedudukan bahasa kebangsaan kerana usaha memartabatkan bahasa memerlukan pelbagai pendekatan serta penggemblengan semua pihak," katanya.

Sementara itu dalam jawapan kepada soalan asal Firdaus, Hishammuddin menjelaskan, empat perkara utama yang diambil kira berhubung isu PPSMI ialah kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan terus dimartabatkan dan penguasaan bahasa Inggeris di kalangan para pelajar diperkasakan.

"Dua lagi perkara yang diambil kira ialah kompetensi guru mengajar Sains dan Matematik serta pencapaian murid dalam kedua-dua mata pelajaran itu terus dipertingkatkan," katanya.

Tambah Hishammuddin, dalam konteks PPSMI yang melibatkan pelaburan besar, tenaga pengajar yang ramai iaitu 165,000 guru dan enam juta murid yang melalui dasar ini, pihaknya memerlukan masa untuk meneliti semua kajian.

"Semua pihak tidak perlu terlalu emosi kerana sememangnya isu ini sesuatu isu yang penting. Akhirnya kalau kita silap membuat keputusan, kita akan ralat 10 atau 20 tahun.

"Kemudian ketika itu anak-anak kita toleh ke belakang dan kata mereka inilah yang membuat keputusan tidak bijak dan tidak tepat," katanya.

Utusan Malaysia Online: 31 Mac 2009

Isnin, 30 Mac 2009

Penglibatan PIBG jejaskan guru

IPOH 29 Mac - Biro Pengaduan Awam (BPA) menerima lebih 100 aduan mengenai pertelingkahan antara Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dengan pihak pentadbiran sekolah sejak setahun lalu.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator T. Murugiah berkata, perkembangan itu amat dikesali kerana fungsi PIBG hanya membantu pentadbiran sekolah apabila diperlukan dan bukannya mencampuri urusan pentadbiran sekolah berkenaan.

Katanya, tindakan PIBG mencampuri urusan pentadbiran sekolah harus dihentikan kerana ia boleh memberi tekanan kepada guru sehingga menyebabkan perasaan mereka terganggu dan akhirnya melepaskan geram kepada pelajar.

''Perlu diingatkan bahawa fungsi PIBG dilantik hanya membantu pentadbiran sekolah dan bukannya mencampuri urusan pengurusan di sekolah terbabit.

''BPA menerima banyak aduan daripada PIBG supaya menyiasat salah laku guru besar dan sebagainya tetapi kebanyakannya adalah laporan palsu sehingga menimbulkan ketegangan antara kedua-dua pihak,'' katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui di Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Ampang, Tasek di sini semalam.

Sehubungan itu, katanya, beliau akan berjumpa dengan Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein untuk memaklumkan mengenai aduan yang diterima itu.

Murugiah berkata, Kementerian Pelajaran wajar mempertimbangkan cadangan menggantung mana-mana PIBG sekiranya persatuan itu masih berdegil mahu mencampuri urusan pentadbiran sekolah sehingga mengganggu prestasi guru-guru di situ.

''Sebagai contoh, PIBG Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Tun Sambanthan yang merupakan salah sebuah sekolah wawasan di negara ini juga tidak terlepas daripada dikenakan tindakan gantung selama setahun.

''Tindakan itu dikenakan kerana pihak PIBG dan pentadbir sekolah terbabit bertengkar dalam satu perjumpaan bersama BPA,'' katanya.

Katanya, BPA pernah memanggil PIBG SJKT Tun Sambanthan yang membuat aduan dan pentadbir sekolah untuk mengadakan perbincangan tetapi mereka bertengkar semasa perjumpaan tersebut.

''Kita tidak mahu perkara sama berulang di sekolah-sekolah lain pada masa akan datang'' tegasnya.

Utusan Malaysia Online: 30 Mac 2009

Ahad, 29 Mac 2009

Terkini - Cadangan guru berpolitik terima pelbagai reaksi

29/03/2009 8:37pm
KUALA LUMPUR 29 Mac — Cadangan Menteri Pelajaran Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein agar golongan pendidik terutama guru dalam kumpulan A diberi kelonggaran dan dibenarkan terlibat dalam kegiatan politik mendapat reaksi berbeza-beza pelbagai pihak.

Ada yang berkata langkah itu wajar dilakukan dan ada pula yang tidak bersetuju kerana bimbang ia akan menjejaskan proses pengajaran dan pembelajaran serta kemungkinan terpengaruh dengan parti pembangkang.

Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Hashim Adnan berkata NUTP menyambut baik cadangan Menteri Pelajaran bagi membuka peluang berpolitik kepada guru.

“Ini merupakan perkembangan positif yang diberikan kepada guru, jadi lebih ramailah golongan profesional dan berpendidikan akan terlibat secara langsung.

“Kalau boleh biarlah guru sahaja yang terlibat, bukan pegawai kerana kelak tidak mahu ada masalah di kalangan pegawai,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Bagaimanapun, Hashim tidak menolak ada risiko yang bakal timbul, jadi beliau mencadangkan satu garis panduan yang jelas dan nyata mengenainya dikeluarkan.

Setiausaha Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung, Mohd Nardin Awang turut bersetuju dengan cadangan Hishammuddin itu dan berharap ia dilaksanakan.

“Jika diimbas semula dalam sejarah politik negara, guru adalah pencetus dan penggerak Umno. Guru memainkan peranan kerana sebagai pendidik, guru mempunyai pengaruh untuk memandu pemikiran masyarakat.

“Jadi cadangan Hishammuddin untuk membenarkan guru kumpulan A berpolitik amatlah baik.
Cuma perlu dibuat pindaan tentang perkara ini kerana sekarang terdapat larangan guru menyertai politik,” katanya kepada Bernama.

Cadangan Hishammuddin itu bagaimanapun ditolak Persatuan Bekas Pegawai Perkhidmatan Pendidikan, Abdul Karim Abdullah yang menganggap rancangan Menteri Pelajaran itu bakal menimbulkan masalah kelak.

“Saya khuatir tumpuan sedikit sebanyak terjejas jika guru-guru dibenarkan berpolitik. Ini kerana guru kini sangat berbeza dengan guru zaman dulu.

“Lagipun, kita tak pasti guru itu prokerajaan atau anti kerajaan, jadi nanti timbul salah faham politik dan pelajar pula yang akan jadi mangsa,” katanya kepada Bernama.

Beliau meminta rancangan itu diperhalusi dan dibincangkan ke peringkat akar umbi kerana ia bukan isu remeh.

Semasa menggulung perbahasan mengenai isu pendidikan pada Perhimpunan Agung Umno semalam, Hishammuddin mencadangkan guru kumpulan A diberi kelonggaran untuk berpolitik.

Utusan Malaysia Online: 29 Mac 2009

Terkini - PIBG ganggu pentadbiran sekolah boleh digantung

29/03/2009 4:57pm

IPOH 29 Mac — Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) T. Murugiah berkata Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) yang didapati membuat laporan palsu dan mengganggu pentadbiran sekolah boleh dikenakan tindakan penggantungan.

Beliau berkata Biro Pengaduan Awam (BPA) menerima banyak aduan daripada PIBG supaya menyiasat salah laku guru besar dan sebagainya tetapi kebanyakannya adalah laporan palsu sehingga menimbulkan ketegangan.

“Kementerian Pelajaran boleh menggantung PIBG sekiranya mengganggu (pentadbiran sekolah) (kerana) yang menerima akibatnya adalah pelajar,” kata Murugiah yang bertanggungjawab terhadap BPA kepada pemberita di sini hari ini.

Perlu diingatkan fungsi PIBG yang dilantik berperanan membantu pentadbiran sekolah dan bukannya mencampuri urusan pengurusan di sekolah terbabit, katanya.

Katanya BPA menerima lebih 100 laporan mengenai pertelingkahan antara PIBG dan pihak pentadbir sekolah sejak setahun lepas.

“Saya akan berjumpa Menteri Pelajaran dan memaklumkan tentang laporan ini kerana ianya di bawah bidang kuasa beliau,” katanya.

Utusan Malaysia Online: 29 Mac 2009

Sabtu, 28 Mac 2009

Hishammuddin Cadang Pendidik Diberi Kelonggaran Terlibat Politik

KUALA LUMPUR, 28 Mac (Bernama) -- Naib Presiden Umno yang baru Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein hari ini mencadangkan agar golongan pendidik, terutama guru dalam kumpulan A diberi kelonggaran untuk dibenarkan terlibat dalam sebarang aktiviti politik.

Hishammuddin, yang juga Menteri Pelajaran berkata ia akan membolehkan golongan itu memegang jawatan politik agar kepakaran mereka dapat dimanfaatkan bagi memantapkan lagi parti.

Beliau berkata perjuangan Umno sememangnya tidak dapat dipisahkan daripada pembabitan golongan guru dan menurutnya sejarah membuktikan bahawa kaum gurulah yang menjadi nadi kepada kekuatan UMNO.

"Malangnya hari ini, pengorbanan, sifat dedikasi, kecekalan dan niat yang luhur serta sumbangan guru semakin dipinggirkan. Ini menyebabkan ada antara mereka yang menjauhkan diri dan terus meninggalkan perjuangan parti, walaupun kita tahu mereka sangat sayang parti ini," katanya semasa menggulung usul perbahasan yang menyentuh isu pendidikan pada Perhimpunan Agung Umno, di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, Sabtu.

Menyentuh isu Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) Hishammuddin berkata sebarang keputusan yang dibuat mengenai perkara itu tidak akan menjejaskan kedudukan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

"Saya nak beri keyakinan kepada para perwakilan Umno, percayalah saya nak beri jaminan di sini bahawa apapun keputusan yang bakal dibuat kita tidak akan sekali-kali terpesong daripada perjuangan dalam mempertahankan Bahasa Melayu yang termaktub di dalam perlembagaan," katanya.

Justeru katanya kerajaan akan meminda Akta Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP)yang dijangka dibentangkan di Parlimen tahun ini bagi memberikan kuasa penguatkuasaaan kepada organisasi itu dalam memartabatkan kedudukan Bahasa Melayu dalam negara.

Hishammuddin berkata mata pelajaran Sejarah di dalam sistem pendidikan negara juga akan dinilai semula bagi memastikan pelajar-pelajar mempunyai kefahaman yang tinggi mengenai Rukunegara, Perlembagaan Negara dan Institusi Raja-raja.

"Mereka juga sewajarnya diberikan pendedahan tentang proses memerdekakan negara dan bagaimana Umno serta Raja-raja Melayu begitu terlibat dalam proses ini," katanya.

BERNAMA: 28 Mac 2009

Atlit dilarang sertai sukan

GEORGETOWN: Hanya kerana perbalahan mengenai pakaian sukan, seorang pelajar yang juga atlit cemerlang peringkat sekolah digantung daripada menyertai sebarang acara sukan.

Pelajar berusia 13 tahun dari Sekolah Menengah Kebangsaan Haji Mohd Nor Gelugor di sini, digantung pihak sekolah daripada menyertai sebarang acara sukan peringkat sekolah atau negeri, sejak Rabu lalu.

Arahan itu berikutan dia ingkar dengan kod pakaian sukan yang ditentukan pihak sekolah.

Bapa pelajar terbabit, Mohd Rashid Asrol Mohd Ikbar, 36, mendakwa anaknya bersama tiga lagi rakan yang juga olahragawati sekolah berkenaan tertekan dengan arahan terbabit.

Katanya, anaknya yang cemerlang dalam sukan olahraga memenangi 36 pingat emas, dua perak dan satu gangsa sejak menyertai acara sukan itu mulai peringkat sekolah rendah.

“Saya kecewa dengan tindakan pengetua sekolah terbabit yang mengenakan peraturan tidak masuk akal dengan tidak membenarkan anak saya menyertai acara sukan hanya kerana tidak ikut kod pakaian.

“Pengetua mahu mereka pakai baju labuh, seluar longgar dan tudung untuk bersukan. Apabila anak saya memakai seluar larian jenis ketat dengan baju-T sukan sekolah, dia dikenakan tindakan itu,” katanya ketika ditemui selepas menyertai mesyuarat dengan pengetua sekolah terbabit di sini, semalam.

Turut hadir pada mesyuarat itu, seorang pegawai Ketua Unit Hal Ehwal Pelajar Kementerian Pendidikan Negeri (JPN) Pulau Pinang.

myMetro: 28 Mac 2009

Guru pedalaman

Oleh: Suliati Asri
suliati@hmetro.com.my


WALAUPUN menyedari tanggungjawab dan peranan profesion perguruan, ia bukan satu persetujuan bagi lepasan institusi perguruan untuk menerima tawaran mengajar di kawasan pedalaman.

WALAUPUN menyedari tanggungjawab dan peranan profesion perguruan, ia bukan satu persetujuan bagi lepasan institusi perguruan untuk menerima tawaran mengajar di kawasan pedalaman.

Selain faktor kedudukan sekolah yang jauh, kebanyakan mereka sukar menerima jika dihantar bertugas di luar kawasan disebabkan stigma negatif iaitu kemudahan terhad.


Lantaran itu, ada yang sanggup menganggur dan menukar profesion daripada dihantar bertugas nun jauh di pedalaman.

Mereka yang menyedari tanggungjawab dan peranan sebagai pendidik anak bangsa pula menerima tawaran terbabit walaupun terpaksa.

Guru sekolah pedalaman di Sekolah Kebangsaan (SK) Balur, Gua Musang, Kelantan, Hazizul Mamat, 28, berkata selepas ditawarkan untuk mengajar di Gua Musang, dia menerimanya dengan hati yang gembira kerana masih berada di dalam negeri kelahirannya.

"Namun, selepas sesi taklimat bersama guru besar sekolah itu dan menjejakkan kaki ke sekolah tempat mengajar, hati saya meronta untuk balik ke kampung.

"Perjalanan yang jauh dengan menggunakan kereta pacuan empat roda dan terpaksa merentasi tiga batang sungai saya boleh terima.

"Tetapi sebaik saja sampai ke sekolah itu dan melihat keadaannya, saya hanya mampu menitiskan air mata dan mahu pulang," katanya.

Bagaimanapun, disebabkan tanggungjawab, Hazizul yang pada ketika itu berusia 21 tahun, pasrah dan meneruskan perjuangan sebagai seorang pendidik di sekolah Orang Asli sehingga kini.

Bercerita mengenai pengalaman mengajar di sekolah pedalaman, Hazizul mengakui cabaran utama mereka hanyalah perjalanan dan penyesuaian diri.

"Dari segi mengajar, tidak banyak masalah yang dihadapi kerana kebanyakan pelajar di sekolah itu mempunyai minat untuk belajar.

"Tetapi, penyesuaian diri di perkampungan Orang Asli dan perjalanan ke sekolah adalah cabaran terbesar yang perlu saya tempuh," katanya.

Hazizul berkata, dia terpaksa menempuh banyak halangan dalam perjalanan berikutan sekolah itu yang terletak di kawasan paling pedalaman di Gua Musang.

"Untuk sampai ke sekolah ini, saya terpaksa merentasi laluan hutan yang dipenuhi dengan binatang buas.

"Selain itu, bertembung dengan lori balak dan debu yang tebal sehingga buku lali juga adalah halangan serta risiko yang perlu dihadapi.

"Sepanjang berkhidmat selama tujuh tahun di sekolah ini, pengalaman yang pasti tidak akan saya lupakan ialah terpaksa tidur di tepi sungai apabila air sungai naik," katanya.

Menurutnya, dalam menyesuaikan diri dengan persekitaran serta masyarakat pula, ia sedikit sukar terutama dari segi penginapan.

"Ini kerana, saya adalah satu-satunya guru yang mengajar di sekolah itu selain guru besar. Jadi, tidak ada rumah penempatan untuk guru di sini.

"Namun, alhamdulillah, sekarang keadaan sudah bertambah baik dan ia tidak lagi seperti dulu. Bilangan guru pun sudah bertambah," katanya yang dua kali menolak tawaran pertukaran sekolah.

Sementara itu, Azhar Abdul Aziz, 31, guru pedalaman di SK Bukit Mat Daling, Hulu Tembeling, Pahang berkata, mengajar di sekolah terbabit adalah pengalaman yang cukup bermakna buatnya.

"Ketika menerima surat tawaran, sekolah ini beralamat di Jerantut dan bukannya di Hulu Tembeling. Jadi saya tidak kisah sangat.

"Namun, selepas bertemu dengan guru besar, barulah saya tahu yang sekolah itu terletak di pedalaman dan terpaksa menaiki perahu," katanya.

Menurutnya, pengalaman yang tidak dapat dilupakannya ialah ditipu guru besar yang memaklumkan perjalanan untuk sampai ke sekolah dengan menaiki perahu hanya memakan masa sejam, tetapi sebenarnya perjalanan yang ditempuh selama empat hingga lima jam.

"Ketika baru menaiki perahu, setiap kali saya bertanya kepada guru besar, dia hanya menjawab, dekat lagi. Jadi saya hanya tunggu sehinggalah tiga kali bangun daripada tidur, masih juga tidak sampai dan guru besar hanya mampu tersenyum melihat gelagat saya.

"Selain itu, disebabkan sekolah terbabit dikatakan berada di kawasan pedalaman, keluarga membekalkan saya dengan peralatan memasak seperti periuk, kuali dan bahan mentah kerana beranggapan ia tidak dapat diperoleh di kedai di sini," katanya.

Kini, selepas 10 tahun menjadi guru di sekolah itu, Azhar menjadi lebih matang dan gembira menjalankan tanggungjawab sebagai pendidik.

myMetro: 28 Mac 2009

Guru Besar sebak selepas berkhidmat 34 tahun


ISMAIL Hassan diarak menaiki kereta kuda pada majlis perpisahan persaraannya di Melaka, semalam.


MELAKA 27 Mac - Ismail Hassan, 55, ada sebab tersendiri mengapa dia begitu sebak untuk mengucapkan selamat tinggal kepada bidang perguruan yang diceburinya selama 34 tahun.

Bagi Guru Besar Sekolah Kebangsaan (SK) Klebang Besar, Jalan Pulau Gadong di sini, banyak pahit maung dan kenangan manis yang dilaluinya menerusi profesion sebagai guru yang sangat dicintainya itu.

Hari ini merupakan hari terakhir beliau sebagai insan yang bergelar guru sebelum memulakan alam persaraannya.

Sebagai kenangan manis sebelum melangkah pergi, beliau diarak menggunakan kereta kuda meninggalkan perkarangan sekolah, lokasi terakhirnya menabur bakti sejak dua tahun lalu.

Turut menyaksikan majlis berkenaan ialah Pengarah Jabatan Pelajaran negeri, Isa Abu.

Ditanya apa yang akan dilakukan selepas menempuh alam persaraan ini, Ismail yang dilahirkan di Kampung Solok Duku, Masjid Tanah memberitahu, dia merancang untuk memulakan bidang perniagaan.

''Bagaimanapun, saya terlebih dulu ingin berehat dan tumpukan perhatian kepada keluarga dalam tempoh sebulan dua ini kerana bukan mudah untuk melupakan tempoh yang panjang sebagai seorang guru," katanya berterus-terang.

Mengenai majlis perpisahan beliau itu pula, Ismail berkata, dia terkejut dan terharu dengan penghargaan yang diberi oleh semua guru dan murid pada hari terakhirnya di sekolah berkenaan.

''Saya tak sangka akan diarak menaiki kereta kuda. Pengalaman sebegini tidak akan saya lupakan," ujarnya.

Sepanjang perkhidmatan, Ismail juga merupakan Jurulatih Eksekutif dalam bidang elektrik dan elektronik di Pusat Perkembangan Kurikulum sejak 1989 hingga 1997 dan Jurulatih Utama negeri bagi mata pelajaran Kemahiran Hidup.

Utusan Malaysia Online: 28 Mac 2009

PIBG SK Desa Baiduri minta pagar parit


YAP Pian Hon, (kanan) YDP PIBG SK Desa Baiduri, Ayub Shafie dan ahli jawatankuasanya meninjau parit bersebelahan laluan yang digunakan oleh para pelajar sekolah berkenaan baru-baru ini.


KUALA LUMPUR 27 Mac - Kementerian Pelajaran didesak mengambil tindakan segera membina penghadang sepanjang 275 kaki di tepi parit besar sebelah Sekolah Kebangsaan (SK) Desa Baiduri, Cheras, Hulu Langat sebelum berlaku kejadian tidak diingini ke atas para pelajar.

Menurut bekas Ahli Parlimen Serdang, Datuk Yap Pian Hon, pelajar-pelajar sekolah berkenaan ketika ini terdedah kepada bahaya apabila menggunakan laluan pejalan kaki bersebelahan parit besar yang tidak berpagar berhampiran sekolah berkenaan.

Pian Hon yang meninjau laluan pejalan kaki berkenaan bersama-sama yang dipertua dan pemimpin-pemimpin Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah kebangsaan Desa Baiduri baru-baru ini mendapati, kira-kira 1,800 pelajar sekolah berkenaan menggunakan laluan itu dan berisiko untuk terjatuh ke dalam parit besar tersebut.

"Parit itu selebar 13 kaki dan dalam sembilan kaki. Tiada penghadang dibina untuk menghalang pelajar daripada berjalan hampir dengan parit besar itu.

"Ibu bapa sangat bimbang kerana keadaan ini mengundang bahaya kepada pelajar yang melalui jalan itu kerana mereka boleh terjatuh. Oleh itu, tindakan segera perlu diambil sebelum sesuatu yang buruk berlaku," katanya dalam satu kenyataan akhbar di sini hari ini.

Ujarnya, PIBG sekolah itu bagaimanapun telah mengambil inisiatif sendiri dengan meletakkan tali kuning sebagai tanda amaran supaya pelajar yang menggunakan laluan itu berhati-hati dan peka dengan keadaan bahaya.

"Saya akan memaklumkan kepada Kementerian Pelajaran dan Jabatan Pelajaran Negeri Selangor supaya mengambil tindakan untuk mengatasi risiko bahaya kepada pelajar-pelajar dengan segera membina pagar agar keselamatan pelajar sekolah ini lebih terjamin," katanya.

Utusan Malaysia Online: 28 Mac 2009

Jumaat, 27 Mac 2009

Penguasaan BI guru disasarkan

KOTA BHARU 26 Mac – Tahap penguasaan bahasa Inggeris (BI) bagi semua guru di negeri ini disasarkan mencecah 100 peratus pada tahun depan, kata Timbalan Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri (JPN), Ishak Ismail.

Beliau berkata, langkah itu juga bagi memastikan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) dilaksanakan dengan lebih berkesan.

Katanya, sasaran itu melibatkan lebih 1,500 guru di 547 sekolah rendah dan menengah yang dipertanggungjawabkan bagi mengajar dalam dua mata pelajaran itu.

Menurut beliau, untuk mencapai sasaran, pelbagai jenis program latihan dan bimbingan yang dipertingkatkan akan dilaksanakan sepanjang tahun ini antaranya Sistem Bimbingan Taulan (SBT) yang melibatkan pembelajaran sesama warga pendidik.

“Melalui SBT, guru yang mahir dalam BI akan menjadi pembimbing kepada rakan-rakan yang kurang menguasainya terutama sekali mereka yang mengajar mata pelajaran Sains dan Matematik.

“Dengan cara ini, kita dapat menyediakan barisan pendidik yang berkemampuan dan memastikan para pelajar tidak ketinggalan daripada menguasai BI dengan baik,” katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita ketika Seminar Pemantapan Mata Pelajaran Matematik dan Sains Dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) tahun 2009 yang disertai 300 pendidik daripada semua sekolah seluruh negeri di sini kelmarin.

Ishak berkata, Kelantan merupakan antara negeri yang mencatatkan keputusan cemerlang untuk Sains dan Matematik dalam UPSR lepas walaupun kedua-dua subjek itu diajar dalam BI.

Pencapaian subjek Sains tahun 2008 mencatat keputusan kelulusan 82.40 peratus berbanding tahun sebelumnya iaitu 75.92 peratus, manakala bagi subjek Matematik pula 82.38 peratus berbanding 83.9 peratus pada tahun 2007.

Justeru, katanya, keputusan itu sebagai bukti PPSMI perlu diteruskan dan JPN sendiri akan memastikan ia dijayakan dengan baik dengan langkah-langkah yang sewajarnya.

“Selain pelbagai jenis program, setiap guru yang mengajar dalam BI akan diberi elaun sebanyak 10 peratus daripada gaji pokok mereka sebagai insentif.

“Bagaimanapun, saya tidak mahu ada pihak yang menyalah anggap pemberian insentif ini kerana walaupun tidak diberikan, guru-guru ini akan tetap mengajar dalam BI,” jelasnya.

Sementara itu, jelasnya, tidak ada sebarang tentangan yang dihadapi JPN di negeri ini untuk memastikan PPSMI berjaya dilaksanakan.

Beliau berkata, JPN bersedia bersemuka dengan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) seluruh negeri untuk menerangkan bagaimana keprihatinan jabatannya untuk memastikan tidak ada pelajar di negeri ini yang ketinggalan.

Utusan Malaysia Online: 27 Mac 2009

Khamis, 26 Mac 2009

Semak semula PPSMI

Oleh Salbiah Ani
dahiya@bharian.com.my

Kajian Pembina dapati pelajar luar bandar, pulau, Orang Asli, sekolah rendah dan menengah Felda terjejas teruk

PERWAKILAN Perhimpunan Agung Umno dan Kementerian Pelajaran diminta memberi perhatian serius terhadap dapatan Kajian Tahap Kompetensi Guru Dalam Pengajaran Dan Pembelajaran Sains Dan Matematik Menggunakan Bahasa Inggeris (PPSMI) Serta Implikasinya Terhadap Pembangunan Modal Insan Murid.

Ini kerana dapatan kajian Pemuafakatan Badan IImiah Nasional (Pembina) yang membabitkan 160 sekolah, iaitu 70 Sekolah Menengah (pelajar Tingkatan 4 Sains dan Sastera) dan 90 Sekolah Rendah (murid Darjah 5) di seluruh negara, menunjukkan PPSMI gagal meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris pelajar.

Pengarah Eksekutif Pembina, Datuk Abdul Raef Hussin, berkata kajian Pembina bertujuan menilai secara terperinci keberkesanan PPSMI di seluruh negara dan kerana itu pendekatan saintifik dan analitik digunakan untuk mengenalpasti tahap kompetensi guru, penguasaan pembelajaran murid serta minat mereka dalam Sains dan Matematik.

“Pada dasarnya pembina menjalankan kajian ini tanpa sebarang prejudis, sebaliknya dengan harapan kajian ini dapat memberi input kepada Kementerian Pelajaran dalam menentukan dasar, matlamat, hala tuju PPSMI pada landasan yang betul, tepat lagi relevan,” katanya dalam kiriman e-mel kepada Sastera, Khamis, lalu.

Kajian Pembina menunjukkan peratusan pencapaian pelajar sekolah rendah yang gagal lebih tinggi (29.86 - 50.56 %) berbanding bilangan cemerlang (10.12 - 31.00 %) dan pelajar sekolah menengah aliran Sastera, trend yang sama berlaku dengan peratusan jumlah pelajar gagal lebih tinggi (49.44 - 85.08 %) berbanding cemerlang (1.11% - 20.03 %) dan pelajar sekolah menengah aliran sains, peratusan gagal (24.59 - 69.96 %) lebih tinggi daripada cemerlang (0.78 - 28.06 %).

Abdul Raef berkata, kesan berganda hasil daripada sistem PPSMI mengakibatkan bilangan pelajar berkualiti tinggi terhad atau dalam perkataan lain bilangan mereka yang berpencapaian rendah mendominasi arus perdana pendidikan peringkat menengah dan akan memberi kesan kepada pendidikan peringkat universiti.

“Adalah diharapkan Kementerian Pelajaran bertindak segera memberhentikan PPSMI untuk memastikan tragedi kepupusan intelektual tidak berterusan. Dapatan kajian sudah membuktikan ada kemunduran dalam melahirkan modal insan cemerlang. Saya khuatir lebih banyak lagi masalah perlu ditangani dan menyebabkan rasa tidak puas hati kalangan masyarakat dan guru,” ujarnya.

Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman, berharap rumusan kajian yang mendapati PPSMI gagal memberi manfaat kepada pelajar khususnya Melayu dan Bumiputera di luar bandar dipandang serius memandangkan ia akan menjejaskan usaha kerajaan meramaikan kelompok itu dalam aliran Sains bagi mengikuti kursus kritikal di universiti.

“Dapatan kajian PPSMI itu penting bagi pemimpin Umno dan kerajaan membuat keputusan berdasarkan fakta dan maklumat tanpa takut dan memihak kepada mana juga pihak berkepentingan demi kepentingan semua pihak dalam jangka panjang,” katanya merangkap Pengerusi Pembina ketika berucap pada Pertemuan Ketiga Laporan Pembentangan Pembina di Hotel Marriot, Putrajaya, pada 3 Julai 2008

Beliau berkata, walaupun Kementerian Pelajaran menggunakan kaedah Rujukan Norma dalam menentukan keputusan, Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR), Peperiksaan Menengah Rendah (PMR), Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM), didapati masih ramai murid yang gagal mencapai prestasi yang baik.

Justeru, semua pihak memandang serius nasib sebilangan besar pelajar yang lemah penguasaan Bahasa Inggeris kerana mereka ialah pelajar Melayu dan Bumiputera di luar bandar, pedalaman, pulau, sekolah Orang Asli dan Sekolah Rendah Felda serta Sekolah Menengah Felda.

“Golongan inilah yang patut dibela, bukannya murid yang cerdik dan pandai yang hanya mewakili antara 20 hingga 25 peratus dan datang dari sekolah elit di bandar dan sedia terbela, tanpa menafikan mereka mesti berusaha meningkatkan penguasaan Bahasa Inggeris bagi membolehkan mereka menguasai globalisasi dunia,” tegasnya.

Abdul Ghani yakin bahawa langkah memperkasakan Bahasa Inggeris perlu dilaksanakan melalui mata pelajaran terbabit, iaitu melalui kurikulum, kaedah dan pedagogi yang lebih berkesan dan teratur serta tidak yakin pendekatan PPSMI boleh meningkatkan kemahiran dan kemampuan berbahasa Inggeris pelajar.

“Perlu diingatkan bahawa penggunaan Bahasa Inggeris tidak boleh dikaitkan dengan peningkatan keputusan yang dicapai oleh pelajar dalam mata pelajaran Sains, Matematik, Matematik Tambahan, Fizik, Kimia dan Biologi yang menggunakan Bahasa Inggeris dalam UPSR, PMR, SPM atau STPM,” katanya.

Beliau tetap lebih yakin Bahasa Melayu paling berkesan untuk digunakan dalam mengajar Sains dan Matematik di samping bahasa Melayu mesti dipraktikkan serta dimartabatkan sebagai bahasa pengantar tunggal sistem pendidikan negara kerana bahasa ibunda adalah cara terbaik bagi sesebuah bangsa mendalami ilmu pengetahuan.

Ketua Penyelidik Pembina, Prof Madya Dr Mohd Sahandri Gani Hamzah, memperakukan semua data yang dipungut dalam penyelidikan yang berteraskan penilaian, pencerapan adalah data primer dan sahih serta dianalisis mahupun diterjemah secara sistematik lagi saintifik, tanpa prasangka yang boleh mendorong kepada kepentingan mana pihak juga.

“Laporan ini benar dalam konteks penyelidikan yang diamanahkan dan diharapkan menjadi panduan rujukan Kementerian Pelajaran bagi menentukan prinsip, hala tuju dan pendekatan yang tepat lagi betul bagi melaksanakan tanggungjawab dalam sistem pendidikan negara,” katanya.

Seramai 50 pensyarah dari tujuh universiti, iaitu Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Pendidikan Sultan Idris (Upsi), Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Utara Malaysia (UUM), Universiti Malaysia Sabah (UMS) Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) terbabit dalam kajian ini.

Berita Harian Online: 26 Mac 2009

Sentral: 'Polemik PPSMI belum tamat'

Oleh Nurul Farina Nazlan
nfarina@bharian.com.my

GMP terap perjuangkan apa yang termaktub dalam Perlembagaan

KUALA LUMPUR: Pengerusi Gerakan Mansuh Pengajaran dan Pembelajaran Sains Matematik Dalam Bahasa Inggeris (GMP), Datuk Dr Hassan Ahmad menyifatkan belum tiba masanya untuk menamatkan polemik berhubung isu berkenaan.

Beliau berkata, banyak pihak salah sangka dengan tindakan GMP membantah Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) sedangkan perkara itu sebenarnya sudah termaktub dalam Perlembagaan.

“Apa yang GMP perjuangkan ialah Sains dan Matematik diajar kembali dalam bahasa Malaysia kerana pelajar kita tidak akan bodoh kalau mempelajarinya dalam bahasa rasmi negara kerana sejarah membuktikan mereka yang cemerlang belajar mata pelajaran terbabit dalam bahasa kita.

“Orang Inggeris juga pasti akan membantah jika mereka disuruh belajar Sains dan Matematik dalam bahasa Jepun... begitulah juga dengan apa yang berlaku dalam diri kebanyakan masyarakat kita sekarang,” katanya ketika dihubungi Berita Harian, semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak dalam ucapannya pada perasmian serentak Perwakilan Wanita, Pemuda dan Puteri Umno, kelmarin yang meminta polemik berkenaan PPSMI ditamatkan.

“Usahlah bimbang mempelajari pelbagai bahasa tidak akan melunturkan jati diri kita sebagai orang Melayu sebaliknya akan lebih mengukuhkan keyakinan diri bangsa untuk berdepan dengan era globalisasi,” kata Najib.

Hassan berkata, isu tidak boleh sewenang-wenangnya ditamatkan kerana ia ibarat membunuh bahasa Malaysia dalam mata pelajaran Sains dan Matematik namun bahasa Inggeris perlu dikekalkan serta dipertingkatkan sebagai mata mata pelajaran wajib seperti sedia ada.

“Kita tidak menentang penggunaan Bahasa Inggeris sebagai bahasa ilmu, tetapi ingin menuntut apa yang termaktub di dalam Perlembagaan iaitu Bahasa Malaysia sebagai bahasa yang menyatupadukan rakyat yang berbilang kaum di negara ini.

“GMP meminta agar modul pengajaran Bahasa Inggeris sebagai mata pelajaran wajib diperbaiki supaya semua pelajar di negara kita terutama yang tinggal di luar bandar dapat menguasainya dengan cekap dan baik.

“Namun, kita bertegas menolak jika ia digunakan dalam pengajaran Sains dan Matematik kerana ilmu itu boleh diungkap dan disampaikan menggunakan bahasa rasmi kita sekali gus memartabatkan lagi bahasa Melayu,” katanya.

Berita Harian Online: 26 Mac 2009

SMK Datuk Hamzah pelopori pilihan raya di sekolah


PELAJAR SMK Datuk Hamzah diberi peluang mengundi untuk memilih Ketua Pelajar melalui pilihan raya di sekolah itu baru-baru ini.

Pilihan raya merupakan suatu perkara asing dalam alam persekolahan harian di negara ini. Walaupun belum mencecah usia 21 tahun, pelajar-pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Datuk Hamzah, Pelabuhan Kelang, telah berpeluang untuk membuang undi dan merasai amalan sistem demokrasi dijalankan di negara ini.

Ini adalah hasil usaha pihak sekolah mewujudkan pilihan raya Pemilihan Ketua Pemimpin Pelajar Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) 2009 yang membenarkan semua pelajar termasuk guru-guru sekolah memilih sendiri Ketua Pelajar sekolah itu.

Menurut Penolong Kanan Hal Ehwal Murid (PKHEM), Abdul Ghaffar Bakar, Ketua Pelajar Sekolah adalah berbeza dengan Ketua Pengawas Sekolah kerana Ketua Pengawas Sekolah dipilih sendiri oleh pihak sekolah manakala Ketua Pelajar Sekolah adalah pilihan pelajar dan guru.

Tiga calon Ketua Pelajar Sekolah dipilih daripada kalangan Ketua atau Presiden Persatuan, Kelab dan Badan-badan Beruniform di sekolah berkenaan setelah nama mereka disenarai pendekkan daripada tujuh calon.

Bagi MPP 2009 calon-calon yang terpilih ialah Muhd Syafiq Othman, 17, yang merupakan Ketua Pengawas Sekolah, Nurliyana Abd. Malek, 19, pelajar tingkatan enam atas yang juga Ketua Kelab Pencegahan Jenayah dan Andy Darrel Gomes, 19, pelajar tingkatan enam atas, Timbalan Ketua Pengawas.

Apa yang menarik seperti mana pilihan raya umum, pelajar juga turut diberi tempoh untuk berkempen menggunakan pendekatan tersendiri dan tempoh diberi selama tiga hari.

Setiap calon mengeluarkan wang sendiri untuk membiayai kos berkempen termasuk memasang kain pemidang, risalah-risalah malah ada yang memberi `buah tangan' berupa gula-gula yang dilekatkan nama calon dengan perkataan `undilah saya'.

Malah satu perhimpunan khas diadakan di sekolah itu semata-mata untuk memberi peluang calon-calon berceramah, berpidato dan membentangkan manifesto masing-masing selama tujuh minit di hadapan para pelajar lain dan guru-guru.


AHLI Jawatankuasa Pemilih dan calon yang bertanding dalam pilihan raya di SMK Datuk Hamzah Kelang baru-baru ini.

Dengan moto MPP `Daripada Pelajar Untuk Pelajar' setiap pelajar bebas menggunakan sebarang pendekatan kempen dengan mematuhi peraturan yang ditetapkan dan tanpa campur tangan pihak luar mahupun memainkan isu-isu semasa dan politik.

Menurut Abdul Ghaffar, idea untuk membentuk MPP di sekolah tersebut telah lama dibincangkan bertujuan meningkatkan imej sekolah dan pelajar malah semasa mesyuarat Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah, perkara tersebut mendapat sokongan ibu bapa.

``Pilihan raya ini juga adalah untuk mengasah bakat kepimpinan para pelajar kerana adalah tidak adil bagi pelajar jika bakat memimpin tidak diserlahkan di samping kita mahu mengenal pasti kewibawaan pelajar,'' katanya.

Jika Ketua Pengawas Sekolah diberi tugas untuk menjaga disiplin pelajar sekolah, Ketua Pelajar Sekolah dan barisan MPP mempunyai tugas yang berbeza.

Mereka akan mengambil alih tugas mengurus dan mengendalikan perhimpunan rasmi, majlis-majlis dan sambutan perayaan di sekolah seperti Hari Guru dan Hari Kantin yang selalunya dikendali oleh pihak guru.

``Kali ini kita beri pelajar untuk menguruskan hal ini dan guru sebagai pemantau kerana kalau kita tidak buat macam ini kita tidak tahu bakat kepimpinan mereka,'' katanya.

Menurut beliau selepas pemilihan dan pelantikan MPP, kesemua barisan kepimpinan MPP akan mengikuti kursus kepimpinan selama dua hari yang akan dikendalikan oleh guru-guru dan tokoh motivator luar.

Mereka akan didedahkan dengan pelbagai aspek kepimpinan termasuk protokol, pengurusan majlis rasmi dan cara-cara mengendalikan mesyuarat.

Namun begitu Abdul Ghaffar yang merupakan Pengerusi Majlis Timbalan Ketua HEM Daerah Kelang berkata, pilihan raya yang dilaksanakan itu hanya menyumbang 20 peratus daripada pengundian pemilihan Ketua MPP manakala markah pemilihan lain dibuat berdasarkan temuduga (40 peratus) yang dikendalikan oleh guru dan persembahan pidato sebanyak 40 peratus.

``Ini kerana kami tidak mahu Ketua Pelajar yang dipilih adalah berdasarkan populariti mereka dalam kalangan pelajar dan guru tetapi kami mahu mereka yang benar-benar bertanggungjawab sebagai seorang ketua,'' katanya.

Pelajar-pelajar yang membuang undi untuk pemilihan Ketua Pelajar MPP tahun ini terdiri daripada pelajar tingkatan 3, 4, 5 dan 6 Atas dan pada tahun depan pemilihan akan dibuat lebih awal untuk memberi peluang kepada pelajar tingkatan 1 dan 2 termasuk pelajar tingkatan 6 Bawah.

Sementara itu proses pembuangan undi di dewan sekolah berkenaan berjalan lancar bermula pada pukul 8.00 pagi dan berakhir kira-kira pukul 12.00 tengahari.

Kira-kira 1,000 pelajar dan 70 guru membuang undi pada pilihan raya kali ini dan proses itu dibuat ketika di akhir pengajaran dan pembelajaran (P&P) mata pelajaran dengan pelajar setiap kelas diiringi guru untuk proses tersebut.

Proses pengiraan undi dijalankan sebaik sahaja tamat tempoh pengundian di hadapan calon-calon dan penyokong masing-masing dan keputusan memihak kepada Andy Darrel Gomes dengan jumlah undi sebanyak 406, Mohd Syafiq menerima 175 undi dan Nurliyana mendapat 64 undi manakala sebanyak 29 adalah undi rosak.

Proses itu dikendali oleh Ketua dan Presiden Kelab-Kelab, Persatuan dan Badan Beruniform dengan dipantau oleh guru penyelaras dan guru penasihat Norliza Mat Radzi dan Aliaton Izzaty Datuk Aziz.

Norliza yang merupakan bekas Panitia Sejarah dan Ketua Guru Disiplin sekolah berkenaan kini menjalani praktikal Kursus Profesional Perkhidmatan Pendidikan Kebangsaan (NPQEL) selama lima bulan di sekolah itu untuk dilatih menjadi pemimpin pendidikan sekolah.

Katanya, pilihan raya itu adalah salah satu daripada usahanya untuk mendedahkan pelajar tentang proses pilihan raya yang sering dibaca oleh pelajar dalam mata pelajaran Sejarah di samping merasai sendiri amalan demokrasi sebenar.

Portal Pendidikan Utusan : 26 Mac 2009

Rabu, 25 Mac 2009

Sekolah Terbilang: Sekolah warisan

Oleh Johan Afandi
johan@bharian.com.my


ZULKIPLI menunjukkan seragam yang menjadi sebahagian barangan koleksi di Muzium Mini Tun Hussein Onn, MSAB, baru-baru ini.

Maktab Sultan Abu Bakar sasar gemilang kurikulum, kokurikulum menjelang 2010

JIKA negeri Perak berbangga dengan Maktab Melayu Kuala Kangsar dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pula Victoria Institution, rakyat Johor juga boleh berbangga kerana mempunyai institusi pendidikan warisan seumpamanya, iaitu Maktab Sultan Abu Bakar (MSAB).

Namun nama maktab itu mungkin asing bagi sesetengah penduduk negeri selatan Semenanjung itu kerana ia terletak di Jalan Sungai Chat, Johor Bahru, yang sering dirujuk dengan panggilan EC atau 'English College'.

Bagi sekolah yang genap 95 tahun penubuhannya pada Sabtu lalu, MSAB menyimpan pelbagai lipatan sejarah seiring dengan usianya sama ada dalam bidang akademik mahupun kokurikulum.

Menyingkap sejarah penubuhannya, ia dikenali dengan nama EC selepas ditubuhkan pada 21 Mac 1914 di Istana Jalan Sungai Chat dengan 21 pelajar dipilih sebagai perintis nukleus dari Sekolah Bukit Zahrah, Johor Bahru.

Setelah itu, EC melalui pelbagai rintangan dan cabaran bukan saja di kalangan pelajarnya, malah sekolah itu sendiri kerana ia pernah dijadikan sebagai kilang senjata pada zaman penjajahan Jepun dengan bangunannya dicat dengan warna hitam.

ANTARA tokoh yang mendapat pendidikan di MSAB.

Pengetua MSAB, Zulkipli Mahmud, berkata nama MSAB ditukar secara rasmi pada 1960 selepas negara mencapai kemerdekaan dan ia memberikan imej tempatan, namun nama EC tetap dikekalkan sebagai tanda kenangan.

"Sekolah ini, melahirkan ramai bekas pelajar yang menabur bakti kepada negara sebagai pemimpin. Antaranya Tun Hussein Onn, Tun Dr Ismail dan Tan Sri Mohamed Rahmat.

"Malah, Sultan Johor, Sultan Iskandar serta anakanda baginda, Tunku Mahkota Johor, Tunku Ibrahim Ismail dan Tunku Bendahara Johor, Tunku Abdul Majid Idris turut mendapat pendidikan di sini.

"Ia sememangnya menjadi kebanggaan sekolah ini, guru serta pelajarnya sehingga kini. Pada masa sama, ia sebagai suntikan semangat kepada pelajar yang sedang menuntut supaya berusaha mencapai kejayaan seperti bekas pelajar MSAB," katanya kepada Berita Harian, baru-baru ini.

KOLEKSI buku yang memberi inspirasi kepada warga MSAB disusun rapi di Sudut Buku Rujukan institusi pendidikan itu.

Beliau berkata, MSAB dilengkapi asrama yang mampu menampung 100 pelajar kini mempunyai kira-kira 1,400 pelajar Tingkatan Satu hingga Enam Atas, bagaimanapun pelajar lelaki hanya dari Tingkatan Satu hingga Lima.

Berbekalkan visi 'MSAB (EC) Gemilang Tahun 2010', Zulkipli berkata, pihak sekolah amat menitikberatkan kecemerlangan akademik tetapi pada sama mahu kejayaan kokurikulum turut dicapai pelajarnya.

Katanya, dalam keputusan Penilaian Menengah Rendah, Sijil Pelajaran Malaysia dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia, maktab itu sentiasa berusaha mengekalkan kelulusan 100 peratus atau sekurang-kurangnya 95 peratus.

"Sekolah ini bertaraf Sekolah Premier pada 2006 dengan semua pelajar yang memasuki Tingkatan Satu di sini, perlu memperoleh sekurang-kurangnya 4A dalam UPSR.

"Sebab itu, saya sering menekankan kepada guru di sini supaya tidak ada sebab pelajar MSAB tidak boleh berjaya kerana mereka mempunyai asas pelajaran yang cemerlang ketika UPSR," katanya.

Mungkin ramai yang tidak mengetahui bahawa MSAB yang mempunyai 118 tenaga pengajar serta 22 staf sokongan turut menempatkan pelajar di kalangan Orang Kurang Upaya (OKU) yang cacat penglihatan serta rabun.

Zulkipli berkata, pelajar OKU terbabit ditempatkan di Unit Pendidikan Khas yang ditubuhkan sejak 1967 dan sehingga kini, ramai pelajar berkenaan mencipta kegemilangan dalam bidang akademik.

Buat masa ini, katanya, terdapat 29 pelajar OKU yang dibantu dua guru khas.

Beliau berkata, dalam bidang kokurikulum pula, MSAB tidak boleh dipisahkan dengan sukan hoki, bola sepak serta ragbi dan pelbagai kejayaan dan kegemilangan dalam sukan berkenaan diraih.

"Motto sekolah ini adalah ‘Usaha dan Jasa’, dengan lencana sekolah hanya mempunyai dua warna iaitu kuning sebagai tanda kesetiaan kepada raja serta negara dan hijau melambangkan kesucian.

"MSAB diasaskan Sultan Johor, Almarhum Sultan Abu Bakar dan ia adalah warisan negeri ini dan sentiasa menjadi sebahagian daripada sejarah Johor Bahru dan Johor amnya," katanya.

Berita Harian Online: 25 Mac 2009

Standard markah SPM semakin tinggi

KUALA LUMPUR 24 Mac - Kementerian Pelajaran menolak dakwaan pihak tertentu yang mempertikaikan sistem pemarkahan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) berikutan peningkatan jumlah pelajar cemerlang pada setiap tahun.

Ketua Pengarahnya, Datuk Alimuddin Mohd. Dom berkata, peningkatan tersebut tidak mempunyai kaitan dengan sistem yang diwujudkan kerana standard pemarkahan setiap tahun adalah semakin tinggi.

''Saya yakin kecemerlangan pelajar-pelajar yang menduduki peperiksaan SPM pada tahun lalu bukan disebabkan oleh sistem pemarkahan, ia tidak ada kaitan langsung.

''Selain sistem pemarkahan, standard pembelajaran dalam semua subjek juga semakin mencabar, saya rasa perkara seperti ini tidak sepatutnya sengaja ditimbulkan,'' katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Anugerah Cemerlang SPM 2008 Yayasan Pendidikan Cheras (YPC) di sini hari ini.

Turut hadir Pengerusi YPC, Senator Datuk Wira Syed Ali AlHabshee.

Menurut Alimuddin, terdapat banyak faktor yang menyumbang kepada kecemerlangan para pelajar terbabit antaranya menerusi kemudahan pembelajaran yang semakin canggih seperti penggunaan Internet.

''Pelajar sekarang mempunyai banyak pilihan dan alternatif untuk melengkapkan diri dengan ilmu selain bahan seperti buku.

''Selain itu, pengalaman dan kreativiti guru-guru dalam pengajaran juga turut menyumbang kepada kejayaan ini diikuti peranan ibu bapa dan motivasi terhadap pelajar itu sendiri,'' ujarnya.

Terdahulu, seramai 79 pelajar daripada 12 buah sekolah angkat YPC yang berjaya meraih semua A dalam setiap mata pelajaran telah menerima anugerah pada majlis itu.

Selain itu, Anugerah Khas turut disampaikan kepada seorang pelajar kurang upaya (OKU), James Low Hung Ping dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Bintang Utara yang berjaya mendapat keputusan 10A.

Kesemua pelajar cemerlang terbabit menerima wang tunai RM300, dua buah buku motivasi dan sijil penghargaan.

Utusan Malaysia Online: 25 Mac 2009

Sentral: Guru.net galak peningkatan ilmu

Oleh Zabidi Hitam, Khairina Yasin dan Noor Azlina Zainudin
bhnews@bharian.com.my


Pelajar Sekolah Kebangsaan Meru Kelang melihat Portal Pendidikan Berita Harian guru.net.my selepas pelancarannya di Balai Berita, semalam.

Pendidik puji portal pendidikan interaktif baru Berita Harian sesuai perkembangan semasa

KUALA LUMPUR: Langkah Berita Harian (BH) memperkenalkan portal pendidikan guru.net.my mendapat reaksi positif di kalangan guru yang turut menyifatkannya sebagai gerbang pendidikan baru dalam meningkatkan pencapaian pelajar.

Selain menjadi sumber rujukan alternatif terhadap pembelajaran di sekolah, mereka juga berpendapat portal dibangunkan secara interaktif itu menggalakkan pengembangan pengetahuan secara lebih meluas.

Penolong Kanan Akademik Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Gemereh, Segamat, Johor, Mohd Noor Abdullah, berkata portal itu wajar dimanfaatkan kerana ia sesuai serta selaras dengan proses pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah.

“Usaha Berita Harian ini patut dipuji dan dicontohi pihak lain dalam membantu masyarakat khususnya guru dan pelajar memanfaatkan teknologi maklumat dan komunikasi dalam pembelajaran,” katanya ketika dihubungi semalam.

Guru Sekolah Kebangsaan (SK) Puncak Alam, Selangor, Ismail Mokhtar, berkata usaha mewujudkan talian pembelajaran elektronik itu sesuai dengan perkembangan semasa serta seiring pembangunan teknologi maklumat dalam dunia pendidikan.

Katanya, kaedah pembelajaran secara maya yang boleh diakses pada bila-bila masa memudahkan guru dan pelajar mencari maklumat serta bahan pembelajaran tambahan.

“Selain itu, portal ini boleh mendorong pelajar membuat ulang kaji awal dan berusaha mencari bahan latihan sendiri serta tidak bergantung tugasan guru semata-mata.

“Proses pembelajaran secara elektronik sangat menguntungkan kerana ia boleh dilayari 24 jam di mana saja asalkan ada talian internet,” katanya.

M Khalimi Dalhan dari SK Bukit Kapar, Klang, pula berkata portal itu boleh dianggap sebagai guru tuisyen maya kerana pelajar bukan saja dapat membuat banyak latihan, malah jawapan turut diberi termasuk bagi soalan subjektif.

Guru SMK Meru (Model Khas), Klang, Norman Ahman, berkata kewujudan portal itu amat bermakna kerana dapat menarik minat pelajar memperoleh bahan alternatif.

“Ia berfaedah kerana selain akademik, kandungan berbentuk permainan multimedia menjurus pendidikan turut disediakan,” katanya.

Sementara itu, guru SMK Datuk Harun, Tanjung Karang, Shariff Ibrahim, berkata portal itu mempunyai keistimewaan tersendiri yang mampu memupuk budaya belajar tanpa sempadan serta mendidik penggunaan teknologi.

Berita Harian Online: 25 Mac 2009

Selasa, 24 Mac 2009

Guru Kemas menangis


MURID-MURID Tabika Kemas terpaksa belajar
di bawah khemah
dan beralaskan tikar plastik.


ALOR SETAR - "Apalah dosa anak murid saya sehingga diperlakukan begini."

Demikian rintihan guru Tabika Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) Taman Rakyat Mergong di sini, Che Gayah Wahab, 42, berikutan 32 muridnya terpaksa belajar di luar kelas.

Kelmarin, pelajar tabika di taman itu terpaksa belajar beralaskan tikar getah namun semalam keadaan mereka semakin baik apabila diletakkan di bawah khemah dan berada di atas platform kayu.

Sambil menitiskan air mata, Che Gayah berkata, dia begitu sedih dan kecewa apabila melihat muridnya terpaksa belajar seperti orang pelarian yang merempat.

"Kelmarin mereka belajar tanpa bumbung dan akibatnya seorang daripada murid terbabit tidak dapat hadir kerana demam," katanya ketika ditemui Kosmo!.

Kosmo! semalam melaporkan seramai 32 murid Tabika Kemas Taman Rakyat Mergong di sini terpaksa belajar beralaskan tikar getah apabila mereka diusir oleh Badan Amal Penduduk Islam Taman Rakyat Mergong yang menguruskan bangunan dua tingkat yang menempatkan sebuah surau di tingkat atas.

Sementara itu, pengerusi persatuan penduduk kawasan itu, Md. Suhaimi Abdul Aziz berkata, tindakan mengusir 32 murid terbabit tidak bermotifkan politik.


CHE GAYAH terharu melihat keadaan murid Tabika Kemas Taman Rakyat Mergong, Kedah semalam.


Menurut beliau, pihaknya mempunyai alasan tersendiri mengapa Kemas terpaksa diusir dari bangunan yang ditadbir oleh badan berkenaan sejak setahun lalu.

Beliau mendakwa, selain bayaran sewa, Kemas langsung tidak melayan permohonan penduduk di situ yang mahukan prasarana rosak seperti tandas dibaiki.

Guru penggerak kesedaran HIV, AIDS

KUALA LUMPUR 23 Mac - Golongan pendidik adalah penggerak dalam memberi kesedaran peringkat awal mengenai gejala HIV dan AIDS kepada golongan remaja.

Ahli Lembaga Eksekutif Kebangsaan, Persatuan Pandu Puteri Malaysia (PPPM), Tek Md. Nor berkata, ini kerana guru dan pensyarah adalah golongan paling dekat dengan remaja dan belia.

Katanya, pendidik mempunyai peluang yang lebih kerap untuk mendekati pelajar yang bermasalah berbanding pihak lain dan boleh bergaul dengan lebih selesa.

"Mereka mempunyai hubungan yang rapat dengan pelajar ketika berada di kawasan sekolah dan sebagai pengawas kepada kelompok ini selain ibu bapa,'' katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis penutupan kursus Projek Kesedaran HIV/AIDS anjuran PPPM dengan kerjasama Bahagian Pendidikan Guru, Kementerian Pelajaran di sini hari ini.

Seramai 75 orang guru-guru pelatih dari Institut Pendidikan Guru (IPG) dan ahli-ahli kadet pandu puteri di seluruh negara menyertai kursus itu.

Tambahnya, guru-guru pelatih dan kadet PPPM dipilih menyertai kursus itu kerana mereka adalah individu yang bakal menjadi pemimpin dalam masyarakat.

Katanya, golongan tersebut perlu dibekalkan dengan ilmu pengetahuan yang cukup sebelum memberi kesedaran kepada masyarakat mengenai bahaya HIV dan AIDS.

Tek berkata, peserta kursus tersebut akan melatih 30 pelatih di bawah seliaan mereka dalam tempoh empat bulan.

"Selepas tamat tempoh mereka akan menghantar laporan kepada PPPM dan melalui laporan tersebut, kami akan menyediakan modul seterusnya untuk projek akan datang,'' katanya.

Utusan Malaysia Online: 24 Mac 2009

Isnin, 23 Mac 2009

Curiga tayar pancit selamatkan guru

KUALA LUMPUR: Perasaan curiga seorang guru menyelamatkan dirinya daripada menjadi mangsa samun dua lelaki menunggang motosikal yang memintanya memberhentikan kereta apabila mendakwa mendakwa tayar belakang keretanya bocor.

Menurut guru berusia 30 tahun itu, ketika kejadian jam 2.45 petang kelmarin di Jalan Ipoh, di sini, dia memandu keretanya berseorangan dalam perjalanan pulang ke rumah di Bukit Beruntung selepas menghadiri seminar di Maktab Perguruan Teknik di Cheras.

Ketika sampai di Jalan Ipoh, dia tiba-tiba dikejutkan dengan kehadiran dua lelaki menunggang sebuah motosikal melambai ke arahnya seperti mahu memberitahu sesuatu.

“Saya kemudian memperlahankan kenderaan dan menurunkan cermin tingkap, dan salah seorang daripada mereka memberitahu tayar belakang kereta saya bocor.

“Anehnya saya tidak merasa ada yang tidak kena dengan keadaan kereta, dan tidak merasa tayar kereta bocor seperti didakwa,” katanya.

Katanya, lelaki terbabit turut mendakwa, kereta berada di belakang beberapa kali memberi isyarat lampu tapi dia tidak sedar.

Mangsa yang memberhentikan kenderaan di bahu jalan, untuk memeriksa keadaan tayar kereta mula curiga apabila lelaki bermotosikal di belakang mula berkejar ke arahnya.

Kerana risau mangsa kemudian segera memecut keretanya meninggalkan dua lelaki terbabit, sebelum berhenti untuk memeriksa tayar di sebuah stesen minyak kira-kira dua kilometer dari tempat kejadian.

Selepas selesai memeriksa mangsa kemudian mendapati, kesemua empat tayar keretanya dalam keadaan baik dan tidak bocor seperti didakwa lelaki bermotosikal itu.

myMetro: 23 Mac 2009

Awas penipuan terancang ejen insurans di sekolah

SAYA terpanggil untuk mendedahkan penyalahgunaan kebenaran oleh pihak tertentu khususnya ejen takaful atau insurans yang memasuki premis sekolah-sekolah di daerah Muar, baru-baru ini.

Wakil dari sebuah syarikat insurans telah menggunakan nama sebuah kesatuan guru Melayu dan mempromosikan skim kelompok mereka di bawah kesatuan berkenaan.

Dalam masa yang sama, mereka juga menjual pelan tertentu yang tidak diberikan butiran yang jelas dan menyembunyikan maklumat sebenar iaitu 'pelan kad hospital' yang dikeluarkan oleh syarikat berkenaan.

Berselindung di sebalik kesatuan berkenaan, pada mulanya ceramah mereka adalah berkaitan kesatuan dan skim kelompok mereka. Tetapi apabila peluang diberikan, sebenarnya agenda utama ialah menjual kad hospital yang kononnya diberikan secara percuma melalui tambahan satu pelan insurans hayat.

Untuk makluman, suami saya terlibat dalam bidang insurans dan beliau telah menghubungi banyak pihak untuk mendapatkan kepastian dan kebenaran tentang pelan kad hospital yang dinyatakan oleh ejen berkenaan.

Namun didapati ejen syarikat insurans itu amat licik dan menggunakan berbagai cara meyakinkan pelanggan.

Ramai kakitangan sekolah terpedaya dengan taktik jualan 'pelan kad hospital' yang dikatakan adalah 'simpanan' sedangkan setiap sen yang dibayar untuk kad itu adalah 'rider' yang tidak dikembalikan.

Takrifan kad hospital sebagai 'tabungan' adalah taktik yang semakin berleluasa digunakan oleh ramai ejen insurans dan takaful untuk 'memperdaya' pelanggan.

Saya merasakan sesuatu perlu dilakukan bagi menyedarkan banyak pihak yang terpedaya.

Saya memohon syarikat insurans tersebut mengambil tindakan yang wajar kepada ejen mereka yang menyalahgunakan premis sekolah dan menyembunyikan butiran maklumat produk mereka.

Jika sikap ini diamalkan ia akan menyebabkan orang ramai khususnya orang Melayu tidak akan mempercayai lagi ejen insurans kerana memalsukan fakta sesuatu produk. Malah yang menyedihkan ialah apabila ejen-ejen ini yang 'semuanya Melayu', memperdaya 'guru-guru Melayu' dengan menggunakan 'kesatuan guru Melayu'.

Kementerian Pelajaran dan Jabatan Pelajaran Negeri Johor wajar menyiasat serta mengambil langkah kepada kesatuan guru yang terlibat agar para pendidik tidak dijadikan mangsa penipuan yang sistematik begini oleh ejen insurans yang tidak bertanggungjawab.

GURU TAK TERPEDAYA

Muar, Johor

Utusan Malaysia Online: 23 Mac 2009

Ahad, 22 Mac 2009

Ramai guru sakit jiwa

Profesion perguruan terdedah kepada risiko tinggi untuk mengalami tekanan mental.


PESAKIT mental terpaksa berjumpa pakar psikiatri secara berkala.


BEBANAN kerja sebagai guru semakin kompleks kerana selain mengajar, mereka juga terpaksa menyediakan soalan-soalan peperiksaan dari semasa ke semasa, mengisi buku kedatangan, buku disiplin dan ringkasan mengajar, borang kesihatan dan rekod kemajuan murid, kelab dan persatuan, serta mengendalikan persiapan hari sukan.

Justeru, guru-guru dikatakan terdedah kepada risiko tinggi untuk mengalami tekanan sehingga boleh membawa kepada penyakit mental yang serius seperti bipolar, kebimbangan melampau dan kemurungan.

Kajian oleh Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) mendapati 70 peratus daripada 9,000 guru di seluruh negara tertekan bukan sahaja kerana beban tugas tetapi juga terpaksa berdepan dengan kerenah pengetua, kerani, ibu bapa dan juga pelajar.

Bagi Noreha (bukan nama sebenar), selain terpaksa berdepan dengan masalah rumah tangga, dia turut tertekan dengan kerenah pengetua sekolah tempatnya bertugas.

Guru berusia 46 tahun itu yang ditemui di Wad Psikiatri, Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) berkata, dek kerana tekanan, dia sering diketepikan dalam pelbagai aktiviti sekolah.

"Sebelum ini saya memang sudah mengalami tekanan. Pengetua pula selalu mempertikaikan cuti yang saya pohon sedangkan surat daripada doktor disertakan.

"Bila kerja semakin bertambah, dicampur pula dengan tekanan daripada orang atas dan kerenah anak-anak, saya semakin runsing," katanya.

Noreha yang merupakan penanda kertas peperiksaan Matematik untuk peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR) memberitahu, dia sebenarnya seronok menjadi guru.

"Saya memang suka mengajar, lebih-lebih lagi apabila murid banyak bertanya dan cemerlang dalam peperiksaan. Tetapi keadaan sekeliling seperti pengurusan sekolah dan rakan sejawatan banyak memberi tekanan.

"Ada juga yang faham keadaan saya, tetapi lebih ramai yang mengatakan saya gila. Mereka tidak faham mengapa saya perlu cuti untuk pergi berjumpa pakar psikiatri. Mereka juga anggap saya terlalu ikutkan perasaan," jelasnya.


HARAPAN yang tinggi terhadap keputusan peperiksaan pelajar turut memberi tekanan kepada golongan guru.


Noreha yang berasal dari Pulau Pinang tidak menafikan pihak sekolah ada memberi pelepasan kepadanya tetapi apa yang menyesakkan fikirannya ialah cutinya sering menjadi buah mulut orang.

Ada yang mendakwa Noreha sengaja menjadikan tekanan yang dialaminya sebagai alasan untuk bercuti.

"Secara fizikalnya saya memang sihat, tetapi dalaman saya berkecamuk. Saya bukan buat-buat sakit. Ikutkan hati, saya tak mahu masuk hospital dan tinggalkan keluarga dan kerjaya saya," katanya.

Ibu kepada dua orang anak ini juga memberitahu, dia cuba untuk mengawal perasaannya daripada terus tertekan, tetapi adakalanya semakin dia cuba untuk tenang, semakin agresif pula jadinya.

"Kadang-kadang saya tak rasa tertekan. Saya rasa sihat, tetapi orang sekeliling tak anggap begitu, mereka mula sorokkan pisau. Kebelakangan ini saya kerap dimasukkan ke wad berbanding dulu," katanya.

Kerja tujuh hari seminggu

Berbeza dengan Norehan, akibat terbeban dengan kerja sebagai guru JQAF, Zaimah Mishan, 42, pernah mengalami sakit jiwa.

Dia yang mengajar sekolah aliran agama tidak mampu untuk menanggung beban tersebut lebih-lebih lagi banyak masa dihabiskan di sekolah berbanding bersama keluarga.

"Saya pernah mengalami masalah jiwa iaitu kecelaruan bipolar sehingga saya tidak mampu mengajar. Enam bulan saya dirawat dan direhatkan.

"Ramai melihat guru JQAF tidak banyak kerja memandangkan mereka hanya mengajar agama tidak seperti sekolah aliran kebangsaan. Namun, mereka juga dibebani dengan komitmen luar," katanya.


NOR ZURAIDA





Zaimah yang pernah mengajar di beberapa buah sekolah berkata, ada pengurusan sekolah yang memahami tanggungjawab guru JQAF namun ada juga sekolah yang menyamakan guru JQAF seperti guru-guru lain.

"Semasa saya mengajar di sekolah A, saya pernah bekerja tujuh hari seminggu, dari pagi hinggalah petang sampaikan tiada masa untuk suami dan anak-anak.

"Hari Isnin hingga Jumaat, saya mengajar seperti biasa. Kadang-kadang saya diminta menggantikan guru lain mengajar subjek bukan aliran JQAF.

"Hari Sabtu pula, ada kegiatan kokurikulum yang mana semua guru terlibat dan hari Ahad pula saya selaku guru JQAF diwajibkan terlibat dalam Kem Bestari Solat," katanya.

Menurut Zaimah, beban terlalu berat yang tidak dipantau oleh pegawai yang sepatutnya itu ternyata memberi kesan kepada guru-guru JQAF.

"Kami terbeban, tersepit, letih, dan hampir kena mental block. Masa yang ada untuk berehat ialah waktu malam, itu pun kami terpaksa bawa pulang buku latihan murid-murid untuk ditanda.

"Itu tidak termasuk kursus atau kertas kerja yang perlu dibereskan untuk aktiviti gerak kerja," katanya.

Zaimah yang baru lima bulan mengajar semula selepas bercuti panjang menjelaskan, keadaan dirinya ketika 'sakit' dahulu bertambah teruk lebih-lebih lagi apabila suaminya berkahwin lain dan anak-anak enggan berjumpa dengannya.

"Bila saya tertekan dengan kerja, suami kata dia nak kahwin lain dengan alasan saya terlalu sibuk dengan kerja. Keadaan saya bertambah teruk waktu itu.

"Bila sakit saya datang, anak-anak tidak mahu dekat dengan saya. Hanya keluarga saya yang datang memberi sokongan untuk saya jalani terapi dan rawatan di hospital.

"Selepas bercuti lama, saya mengajar di sekolah lain. Alhamdulillah, selepas menjalani rawatan dan sesi kaunseling, saya sudah boleh mengawal tekanan di tempat kerja. Suami dan anak-anak pula sudah kembali pada saya," katanya.

Berisiko mendapat penyakit kritikal

MENURUT Pakar Perunding Kanan Psikiatri, Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Prof. Nor Zuraida Zainal, setiap tahun dianggarkan 22,000 pesakit mendapatkan rawatan di klinik dan wad psikiatri hospital berkenaan. Kira-kira 10 peratus daripada mereka terdiri daripada golongan guru.

“Guru sekarang tidak seperti guru zaman dahulu. Guru sekarang terbeban kerana banyak tugasan baru yang perlu dilaksanakan selain mengajar.

“Di samping sibuk dengan aktiviti persatuan, panitia, kelab, rumah sukan, kursus dan gerak kerja luar sekolah, guru-guru juga perlu berdepan dengan tekanan lain.

“Mereka turut berhadapan dengan perangai pelajar dan kerenah ibu bapa serta pengetua yang sentiasa menaruh harapan tinggi untuk melahirkan pelajar cemerlang dalam peperiksaan,” katanya.

Ramai ibu bapa, tidak kira di bandar atau di luar bandar, masih menganggap bahawa sekolah dan pusat tuisyen ialah tempat untuk mendidik anak mereka dan menyerahkan tanggungjawab itu sepenuhnya kepada guru.

Apabila ada anak yang gagal, sesetengah ibu bapa terus menuding jari kepada guru sedangkan kejayaan para pelajar tidak hanya bergantung kepada pengajaran di sekolah.

Bercakap mengenai gejala tekanan yang sering dialami oleh pesakit-pesakitnya yang juga guru, Nor Zuraida memberitahu, kebanyakan mereka menghidap kecelaruan bipolar iaitu kewujudan pelbagai karakter yang berlawanan dengan keadaan guru terbabit sebelumnya. Ini diikuti kebimbangan melampau dan kemurungan.

“Mereka yang mengalami kecelaruan bipolar nampak sihat seperti biasa, malah pada tahap hipoaktif, mereka menjadi rajin dan produktif dalam melakukan sebarang kerja walaupun tidak mempunyai waktu rehat yang cukup.

“Tetapi kerja yang dilakukan tidak pernah habis dan ini yang mendatangkan sangsi kepada orang di sekeliling mereka,” katanya.

Tiga faktor utama yang menyebabkan tekanan ialah keturunan, faktor sekeliling seperti kerja dan jaringan sosial seperti keluarga, rakan-rakan dan masyarakat.

Sekiranya terdapat keturunan yang mempunyai masalah jiwa, risiko untuk guru mendapat tekanan menjadi lebih tinggi.

Malah, jelas Nor Zuraida, guru yang tertekan berisiko empat kali ganda lebih tinggi untuk mendapat penyakit kritikal seperti sakit jantung, darah tinggi, kencing manis dan buah pinggang.

“Tanda-tanda awal penyakit ini bermula dengan kemurungan. Guru akan mula hilang tumpuan mengajar, bosan, pendiam dan jika berlarutan mereka tidak mampu lagi untuk mengajar dan melakukan aktiviti harian.

“Sekiranya wujud keadaan-keadaan seperti ini, pihak pengurusan sekolah perlu memahami dan membantu guru berkenaan dengan mengurangkan waktu dan kelas mengajar serta memberi kelonggaran untuk menjalani terapi dan kaunseling,” jelas Nor Zuraida.

Kosmo Online: 22 Mac 2009

Sabtu, 21 Mac 2009

1,000 ditawar guru kontrak

PUTRAJAYA 20 Mac - Sebanyak 1,000 siswazah akan dilantik sebagai guru kontrak di bawah program Tenaga Pengajar Secara Kontrak dengan peruntukan RM48 juta.

Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, guru-guru yang terpilih dijangka dapat memulakan perkhidmatan selewat-lewatnya pada Mei ini.

Beliau berkata, peluang tersebut dibuka kepada semua peringkat pencari kerja sama ada siswazah atau mereka yang sedang mencari pekerjaan.

"Proses pengambilan akan bermula dalam tempoh terdekat dan makluman tentang tawaran itu akan dikeluarkan dalam portal kementerian sedikit masa lagi.

"Pengambilan mereka akan melibatkan semua kategori sekolah sama ada sekolah rendah atau menengah di seluruh negara termasuk sekolah sukan, sekolah menengah teknik, sekolah agama dan lain-lain," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Program tersebut merupakan sebahagian daripada peruntukan belanja mengurus sebanyak RM144 juta, diagihkan di bawah bajet mini yang diumumkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada 10 Mac lalu.

Daripada keseluruhan RM60 bilion yang diperuntukkan dalam pakej rangsangan ekonomi kedua itu, sebanyak RM2.093 bilion disediakan kepada bidang pendidikan iaitu meliputi RM1.949 bilion bagi pembangunan pendidikan selain RM144 juta untuk belanja mengurus.

Hishammuddin berkata, setakat ini kementerian sedang menunggu syarat-syarat pelantikan yang sedang diselaraskan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) bagi digunakan oleh semua kementerian.

"Kementerian bagaimanapun telah membuat persediaan bagi membuat pelantikan itu demi memastikan segala keputusan yang dihasratkan menerusi pakej rangsangan ekonomi tersebut dapat dilaksanakan seberapa segera," katanya.

Beliau turut menyambut baik kenyataan Menteri Tenaga Air dan Komunikasi, Datuk Shaziman Abu Mansor untuk menempatkan 3,000 siswazah yang mempunyai kelulusan dalam bidang teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) di sekolah-sekolah.

"Saya berharap usaha ini dapat membantu meningkatkan proses pengajaran dan pembelajaran secara dalam talian sekali gus merangkaikan warga sekolah secara interaktif melalui Schoolnet," katanya.

Utusan Malaysia Online: 21 Mac 2009

Jumaat, 20 Mac 2009

Sabar didik pelajar istimewa


MURID-MURID istimewa ini begitu riang menunjukkan hasil tanaman yang mereka usahakan di SMK Semerah, Batu Pahat, baru-baru ini. - UTUSAN/NORZAINURA ABDUL MAJID


BATU PAHAT 19 Mac – Mengajar pelajar istimewa bukan sesuatu yang mudah kerana seseorang itu harus menjadi sebahagian daripada mereka untuk memahami setiap permasalahan yang dihadapi.

Selain itu, setiap guru pendidikan khas juga harus mempunyai sikap keprihatinan yang tinggi serta semangat jitu dan bijak mendidik mereka menjadi insan berkemahiran selaras dengan kurikulum serta Falsafah Pendidikan Negara.

Ini kerana pendidikan khas di Malaysia adalah satu usaha yang berterusan untuk melahirkan insan berkemahiran, berhaluan, berupaya, beriman, berdedikasi, mampu merancang dan menguruskan kehidupan.

Setiap anak istimewa ini perlu dididik supaya menyedari potensi diri sebagai seorang individu dan ahli masyarakat yang seimbang dan produktif.

Penyelaras Kelas Integrasi Pendidikan Khas (KIPK) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Semerah, Mohamad Zaad Hisham berkata, setiap anak istimewa yang belajar di situ diberi peluang dan bimbingan seluas-luasnya agar mereka dapat menyesuaikan diri dalam masyarakat.

‘‘Mereka juga diajar berinteraksi dan berkomunikasi, mengenal hal diri dan alam sekitar, menjaga kesihatan dan keselamatan diri dan menguruskan hal kehidupan seharian,’’ katanya ketika ditemui Utusan Malaysia baru-baru ini.

‘‘Penubuhan KIPK bertujuan memberi keyakinan dan konsep kendiri yang positif, menghayati dan mengamalkan nilai murni serta menguasai kemahiran asas ke arah bidang kerjaya kepada golongan istimewa,’’ katanya.

Setakat ini, katanya, SMK Semerah mempunyai 24 pelajar istimewa termasuk dua beradik kembar dengan lima orang guru serta dua pembantu.

Mohamad Zaad berkata, kebanyakan pelajar KIPK di SMK Semerah mempunyai masalah lembam dalam pembelajaran, sindrom Down, hiperaktif, cerebral pulsy dan menghadapi masalah percakapan.

Guru KIPK, Norasidah Abdul Rasid, 29, yang baru setahun mengajar di KIPK mengakui pada mulanya beliau menangis apabila melihat golongan istimewa tersebut dan hatinya cukup tersentuh.

‘‘Masa itu saya tidak tahu, apa yang patut dibuat sebab tidak kenal diri mereka. Namun, dari situ saya cuba mendekati dan menyelami masalah mereka,” ujarnya.

Norasidah berkata, untuk mengajar golongan istimewa, beliau perlu mengenali kelemahan, kelebihan dan kekurangan yang ada pada mereka dan sentiasa sabar menghadapi kerenah golongan berkenaan.

Utusan Malaysia Online: 20 Mac 2009

PPSMI: Maklum balas masih terbuka


HISHAMMUDDIN Tun Hussein bersama A. Samad Said (kanan) dan Hassan Ahmad (tengah) selepas sesi penjelasan mengenai isu PPSMI di Putrajaya, semalam.


PUTRAJAYA 19 Mac – Kementerian Pelajaran masih membuka ruang untuk mendengar pandangan pelbagai pihak mengenai kedudukan muktamad dasar pelaksanaan program Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI).

Menterinya, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, suara dan hasrat dari semua peringkat akar umbi akan didengar dan setiap maklum balas diteliti serta diambil kira sebelum keputusan akhir dibuat.

‘‘Walaupun kertas Kabinet mengenai PPSMI ini sudah di peringkat penilaian oleh setiap kementerian sebelum dibawa ke Mesyuarat Jemaah Menteri, saya masih lagi terbuka untuk mendengar maklum balas daripada mana-mana pihak.

‘‘Saya akan menggunakan sepenuhnya ruang dan peluang sempena mesyuarat Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) yang berlangsung sekarang dan Perhimpunan Agung UMNO pada minggu depan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Perkara itu, katanya, turut dijelaskan kepada dua tokoh pejuang bahasa, Datuk Dr. Hassan Ahmad dan Datuk A. Samad Said dalam pertemuan beliau dengan dua tokoh berkenaan di sini hari ini.

‘‘Dalam pertemuan itu, kedua-dua tokoh telah menjelaskan hasrat, pandangan dan keprihatinan mereka terhadap isu ini dan berharap kerajaan akan menilai dan membuat keputusan terbaik,” kata Hishammuddin.

Menurutnya, perbincangan bersama kedua-dua tokoh itu turut berkisar mengenai transformasi kurikulum di peringkat sekolah rendah dan prasekolah sebagai gantian kepada Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah termasuk keputusan mewajibkan pengajian Sejarah.

‘‘Selaras dengan transformasi kurikulum tersebut, turut dibincangkan ialah usaha kerajaan untuk menilai semula sistem pentaksiran dan peperiksaan kebangsaan khususnya di peringkat sekolah rendah,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, kerajaan tidak pernah bertolak-ansur dalam agenda memartabatkan bahasa kebangsaan dan segala pendekatan telah dilaksanakan demi mencapai objektif tersebut.

‘‘Saya berharap dalam hal pendidikan jangan kita mempolemik isu ini dan perbincangan mengenainya akan diteruskan secara rasional dan terbuka kerana ia menyentuh tentang kepentingan dan masa depan anak-anak kita.

‘‘Demi mencapai matlamat ini, kerjasama daripada para pejuang bahasa termasuk kedua-dua tokoh ini amatlah diharapkan kerana ia merupakan perjuangan ikhlas kita bersama,” katanya.

Utusan Malaysia Online: 20 Mac 2009

Respons: Pendek akal dan lemah daya fikir punca pelajar terbabit salah laku

BELUM pun reda cerita mengenai kematian seorang pelajar tingkatan empat Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Besi, Kuala Lumpur, Muhd Hadzrin Mohamad, selepas dibelasah 24 remaja, 13 Februari lalu, kita dikejutkan lagi dengan dua kejadian pelajar dipukul sekumpulan remaja, selang beberapa hari selepas itu.

Pelajar SMK Puchong Perdana, Selangor, R Rajakumar dibelasah dengan kayu oleh 30 pelajar ketika dia sedang menunggu untuk menjemput adiknya pulang dari sekolah, manakala satu lagi kejadian berlaku di Pengkalan Chepa, Kelantan apabila seorang pelajar tingkatan empat Sekolah Menengah Teknik Pasir Mas, Ahmad Shafie Ihsanul Kamil, mendakwa dibelasah 10 remaja.

Kejadian itu benar-benar menyentap perasaan kita yang bergelar ibu bapa. Hati siapa yang tidak remuk dan berasa pilu apabila anak yang dibesarkan dengan penuh kasih sayang dan diharapkan satu hari nanti menjadi insan berjaya, secara tiba-tiba pergi buat selama-lamanya, gara-gara dibelasah oleh rakan persekolahan. Bayangkanlah sekiranya kejadian itu berlaku ke atas anak kita sendiri.

Insiden yang sukar diterima itu membuatkan kita tertanya-tanya, apakah disiplin pelajar hari ini sudah tidak terkawal sehingga menyebabkan keselamatan di sekolah tidak terjamin. Siapa yang harus bertanggungjawab sehingga menyebabkan pelajar sanggup melakukan perbuatan tidak berhati perut dan di luar batas kemanusiaan.

Pergaduhan dalam kalangan pelajar sudah banyak dilaporkan menerusi media sebelum ini. Malah ada juga yang tidak didedahkan dan tidak kurang juga disembunyikan oleh pihak sekolah, demi menjaga nama baik sekolah dan ibu bapa. Apa yang menyedihkan kita, ia tidak pernah menjadi iktibar kepada pelajar.

Ia sekali gus membuktikan bahawa disiplin pelajar masih berada di tahap membimbangkan. Oleh itu lebih banyak program insaniah dan bercorak keagamaan secara berterusan harus dilakukan oleh Kementerian Pelajaran untuk memberi kesedaran kepada pelajar. Pelaksanaannya di sekolah juga harus dipantau sepanjang masa bagi memastikan ia tidak dijalankan sekadar melepaskan batuk di tangga.

Apa pun kita yakin dengan penahanan beberapa remaja yang disyaki untuk membantu siasatan polis, akan dapat mengenal pasti mereka yang terbabit untuk diheret ke muka pengadilan. Jaminan Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammudin Hussien untuk membantu polis memburu pelajar yang terbabit sehingga ke lubang cacing meyakinkan kita bahawa tiada penjenayah dapat melepaskan diri daripada menerima hukuman setimpal dengan perbuatan yang mereka lakukan.

Walaupun sesi persekolahan 2009 baru memasuki bulan ketiga minggu depan, namun sudah banyak berlaku insiden yang menggoncang dunia pendidikan kita. Apakah akan berlaku lagi insiden memilukan seperti yang dilalui ibu bapa dan keluarga Muhd Hadzrin? Berikutan kejadian itu, kita percaya ada ibu bapa yang prihatin terhadap keselamatan anak mereka sentiasa dihantui kebimbangan kerana kejadian sama boleh menimpa siapa saja, termasuk anak kita sendiri.

Jika direnung kembali perbuatan salah laku pelajar, yang sesetengahnya boleh dikategorikan sebagai kes jenayah, kita cukup hairan mengapa mereka tergamak melakukan perbuatan itu, sedangkan di sekolah mereka sentiasa diterapkan dengan ajaran nilai murni dan nilai positif, sama menerusi subjek khusus seperti Pendidikan Islam, Moral dan juga Sivik, maupun secara merentas kurikulum, sejak di bangku sekolah rendah lagi.

Benarkah pelajar hari ini tidak matang, pendek akal dan kurang daya fikir. Mereka tidak menghayati dan mengamalkan apa yang dipelajari di sekolah. Tidak dapat dinafikan sistem pendidikan hari ini berjaya melahirkan pelajar yang bijak membaca, menulis dan mengira (3M) tetapi mereka tidak mampu memikir dan mengamal apa yang diajar guru.

Perbuatan salah laku hingga membawa kepada kes jenayah membuktikan pelajar kita hari ini tidak mampu memikir kesan dan akibat buruk bakal menimpa ekoran perbuatan mereka sendiri. Mereka juga gagal mengamalkan segala nilai murni dan nilai positif yang diajar guru.

Jika pelajar berkenaan mampu memikir, nescaya mereka tidak akan melakukan perbuatan yang boleh merosakkan masa depan, selain bakal mengundang hukuman berat. Seluruh keluarga mereka juga bakal menerima aib akibat daripada perbuatan tidak berperikemanusiaan itu. Mereka juga tidak dapat memikir perasaan ibu bapa mangsa kerana kehilangan anak yang disayangi.

Sesuai dengan bulan dakwah yang dilancarkan baru-baru ini, kita merayu semua ibu bapa agar sentiasa berdakwah kepada anak masing-masing supaya tidak melakukan perbuatan bertentangan dengan agama. Jika setiap ibu bapa menjalankan peranan dengan penuh tanggungjawab, kita yakin masalah disiplin dapat ditangani dengan berkesan.

Kita harus menerima hakikat bahawa, baik buruk tingkah laku serta disiplin pelajar bermula dari rumah. Ini bermakna ibu bapa dan ahli keluarga adalah orang yang bertanggungjawab membentuk kelakuan dan perangai anak masing-masing.

Pihak sekolah juga harus sentiasa mengingatkan pelajar akan tanggungjawab mereka secara berterusan dan jangan mudah berputus asa dan mengalah apabila berdepan dengan pelajar yang mempunyai masalah disiplin.

Berita Harian Online: 20 Mac 2009

Sistem baru dilaksana bagi menilai calon STPM

Oleh Norliza Abdullah
lizz@bharian.com.my


PELAJAR terbaik STPM 2008 peringkat Negeri Sembilan, dari kiri; Muhammad Azman Mat Jusoh, Nur Asmiedar Che Jaafar, Suriani Abd Aziz dan Mohd Azzahairi Sulaiman melihat keputusan mereka.

MAJLIS Peperiksaan Malaysia akan melaksanakan sistem modular bagi menilai prestasi pelajar mengikut semester menggantikan kaedah terminal sedia ada untuk calon Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).

Ketua Eksekutifnya, Omar Abu Bakar, berkata pihaknya sedang menyiapkan sistem itu dan pelaksanaannya akan diumumkan Menteri Pelajaran tidak lama lagi.

Beliau berkata, sistem digunakan sedia ada dilaksanakan sejak 1982 menggantikan Higher School Certificate (HSC) itu perlu diubah bagi memenuhi keperluan pendidikan semasa supaya terus berdaya saing.

Kajian semula sistem sedia ada itu juga katanya, dilaksanakan berikutan kemerosotan jumlah calon yang mengambil peperiksaan berkenaan sejak beberapa tahun lalu.

Kaedah taksiran modular yang akan dilaksanakan itu, kata Omar mengambil kira empat komponen iaitu penilaian berasaskan kurikulum dengan amalan peperiksaan biasa, projek sekolah, kerja amali dan ujian berasaskan sistem peperiksaan `open book’.

“Berbanding sistem peperiksaan terminal ini, pelajar perlu mengikuti pengajian selama tiga semeter sebelum melayakkan mereka menduduki peperiksaan STPM.

“Sistem baru ini akan menilai pencapaian pelajar berdasarkan prestasi mereka mengikut semester sepanjang tempoh pengajian Tingkatan Enam bawah dan atas.

“Pendekatan sedemikian lebih berdaya saing dalam usaha melahirkan generasi muda yang cemerlang dalam bidang akademik dan sahsiah. Ia selaras hasrat kerajaan mewujudkan sistem pendidikan holistik,” katanya ketika dihubungi Berita Harian, kelmarin.

Berikutan perubahan itu, Omar berkata, kos taksiran dijangka meningkat dan pihaknya akan mengemukakan peruntukan baru kepada kerajaan bagi memastikan pelaksanaan berjalan lancar.

Beliau berkata, markah pelajar setiap semester dikumpul dan kecemerlangan mereka berdasarkan pencapaian tertinggi bagi ketiga-tiga penilaian.

Mengulas kemerosotan calon menduduki STPM, Omar berkata, lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) kini ada banyak pilihan.

Katanya, masing-masing boleh memilih sama ada mengikuti program matrikulasi, diploma mahupun prauniversiti di institusi pengajian tinggi awam mahupun swasta.

Peningkatan taraf hidup katanya, menjadikan ibu bapa lebih bersedia dan mempunyai simpanan mencukupi bagi menampung pembiayaan anak masing-masing di kolej swasta.

“Tawaran program yang disediakan swasta pula pelbagai dan berdaya saing dengan kadar yuran berpatutan juga antara faktor lepasan SPM mengikuti kursus sama ada di peringkat diploma mahupun sijil.

“Keadaan berbeza kerana sebelum ini, pelajar yang gagal ke universiti terus ke Tingkatan Enam sebelum melayakkan mereka mengikuti pengajian ke peringkat lebih tinggi,” katanya.

Berita Harian Online: 20 Mac 2008

Khamis, 19 Mac 2009

Persatuan setuju pelajar dilarang bawa telefon bimbit

KUALA LUMPUR: Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) dan Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN) bersetuju dengan tindakan pentadbir sekolah merampas telefon bimbit yang dibawa pelajar ke sekolah.

Presiden NUTP, Hashim Adnan, berkata budaya membawa telefon bimbit ke sekolah perlu ditangani segera supaya pelajar dapat memberi tumpuan dalam bilik darjah.

Katanya, telefon bimbit dirampas guru di kawasan sekolah perlu ditebus ibu bapa pelajar atau penjaga sebagai peringatan.

"Selepas NUTP menimbang pelbagai perkara, kami menyokong baik arahan kementerian yang melarang pelajar membawa telefon bimbit kerana ia membawa lebih banyak keburukan daripada kebaikan.

"Tidak ada keperluan mendesak sehingga memerlukan pelajar membawa telefon bimbit, kerana di sekolah ada kemudahan telefon awam," katanya ketika dihubungi semalam.

Sementara itu, Presiden PIBGN, Prof Madya Datuk Mohamad Ali Hassan berkata, pengurusan sekolah perlu bertindak tegas dalam memastikan arahan kementerian diberi perhatian dengan memastikan semua guru kelas yang mengetahui pelajarnya membawa telefon bimbit ke sekolah segera mengambil tindakan.

"Bagi mengatasi masalah ini, guru yang tahu pelajarnya membawa telefon bimbit, tetapi tidak mengambil tindakan perlu juga dikenakan tindakan.

"Selain itu, kita tidak mahu pelajar kurang tumpuan pelajaran hanya disebabkan leka dengan telefon bimbit masing-masing," katanya.

Berita Harian Online: 19 Mac 2009