Isnin, 2 Mac 2009

Guru boleh beri maklumat bahaya elektrik

JOHOR BAHRU 28 Feb. - Golongan pendidik dikenal pasti sebagai ejen perubahan dan penyampai maklumat paling berkesan terutama kepada pelajar dan belia agar lebih memahami kegunaan dan bahaya elektrik.

Naib Presiden Bahagian Penghantaran Tenaga Nasional Berhad (TNB), Ir. Ab'llah Mohd. Salleh berkata, golongan tersebut mempunyai kemahiran dan kemampuan untuk menyalurkan maklumat kepada golongan sasaran.

Menurutnya, guru-guru juga mampu memainkan peranan penting kerana mempunyai hubungan terus dengan para pelajar semasa sesi persekolahan.

"Kami percaya bahawa pendedahan dan pendidikan mengenai perkara ini di peringkat awal, ia akan menghasilkan masyarakat yang berilmu dan berkefahaman tentang elektrik.

"Guru-guru akan dibekalkan dengan tiga buah modul supaya ia mudah untuk disampaikan kepada pelajar," katanya semasa berucap pada majlis perasmian Kempen Kesedaran Keselamatan Elektrik (KKE) peringkat negeri, di sini hari ini.

Majlis tersebut dirasmikan oleh Ketua Wilayah, Suruhanjaya Tenaga Kawasan Johor, Idris Jamaluddin yang mewakili Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tenaga, Air, Komunikasi dan Alam Sekitar negeri, Tan Kok Hong.

Turut hadir ialah Pengurus Besar TNB Johor, Datuk Ir. Mohd. Aminuddin Mohd. Amin.

Ab'llah berkata, kempen yang dijalankan oleh TNB itu akan dijalankan secara berperingkat-peringkat dengan melibatkan 3,000 guru sekolah menengah dan rendah di seluruh negara.

Guru-guru yang terlibat dengan kempen KKE merupakan guru yang mengajar mata pelajaran Kemahiran Hidup dan Sains.

Menurutnya, tiga modul yang dibekalkan kepada guru-guru tersebut merangkumi fokus keselamatan elektrik, keselamatan pepasangan domestik dan keselamatan pepasangan TNB.

Utusan Malaysia Online: 1 Mac 2009

Tiada ulasan: